HIBURAN

Bobo pertama tersingkir

Bobo pertama tersingkir


BIARPUN tersingkir awal, kumpulan Bobo telah disenarai pendek untuk muncul dalam program terbitan Astro Prima.


NYATA nasib tidak menyebelahi kumpulan Bobo dan mereka menjadi peserta pertama tersingkir pada minggu kedua Gelanggang Raja Lawak musim kelima yang berlangsung di studio Finas, Hulu Kelang minggu lepas.

Penyingkiran mereka yang diumumkan oleh juri tetap, Sathia adalah berdasarkan undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton.

Berada di tangga terbawah dengan undian sebanyak 4 peratus, kumpulan yang dianggotai Mohd. Hamizi Hashim, 24, (Gbob) dan Mohd. Azwan Sabri, 24, (Wan Awe) ini dikatakan tidak sepatutnya tersingkir.

Jika hendak dibandingkan mereka dengan beberapa peserta seperti kumpulan Kami, kumpulan Bobo dikatakan berjaya membawakan persembahan yang cukup menghiburkan.

Perkara tersebut diakui oleh salah seorang juri tetap Raja Lawak 5, Afdlin Shauki yang meletakkan Bobo sebagai antara peserta yang harus diberi peluang untuk terus beraksi untuk minggu-minggu seterusnya.

Peserta yang menduduki tiga tangga terbawah pada minggu lepas ialah kumpulan Kami dengan 5.3 peratus, kumpulan Kopi O (5.1 peratus) dan seterusnya Bobo (4 peratus) yang menjadi peserta pertama tersingkir pada minggu kedua Gelanggang Raja Lawak.

Kata Afdlin, jika dinilai melalui persembahan di minggu kedua, apa yang dipersembahkan oleh Bobo tidaklah seteruk persembahan beberapa peserta lain.

“Bobo sebenarnya ada potensi pada masa depan, kalau ikutkan juri bukan Bobo yang sepatutnya keluar.

“Mungkin disebabkan topik minggu ini adalah bebas, jadi penceritaan mereka agak kurang menyengat. Ada peserta yang mempunyai idea tapi tidak berani untuk keluar daripada topik,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman penyingkiran Raja Lawak 5 minggu kedua, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi juri tetap yang juga seorang penerbit terkenal, David Teo berkata peserta pada minggu ini terlalu fokus dengan satu topik dan takut untuk menukar topik secara spontan kerana bimbang tidak dapat merealisasikan aksi berkaitan.

“Contohnya Nazmi, dia ada bakat besar, minggu ini topik dia tentang tidak puas hati. Dia cuma ulang-ulang perkataan dahsyat. Cabang dia memang satu tapi sebenarnya dia boleh bermain dengan banyak isu.

“Semua peserta memerlukan lebih banyak pendedahan supaya mereka tahu mengunakan pelbagai cara untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Ketiga-tiga juri sepakat mengatakan persembahan kumpulan R2 pada minggu kedua Raja Lawak 5 antara yang terbaik termasuk juga Man dan Nazmi.

Senarai keputusan untuk minggu kedua program kedua menyaksikan Leman menduduki tangga pertama dengan 19.7 peratus, diikuti Lucky (10.1 peratus), Nazmi (9.2 peratus), R2 (8.9 peratus), Epy dan TBO (8.4 peratus), Man 7.4 peratus, Balas (6.5 peratus) dan Pukaw (6.4 peratus).

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, Bobo sememangnya telah berjaya membawakan persembahan yang cukup bagus.

Katanya, meskipun tersingkir, pihak Astro Prima telah pun meletakkan nama mereka dalam senarai pendek untuk dimasukkan ke dalam beberapa program di saluran tersebut.

“Tetapi semuanya bergantung kepada rezeki. Mereka ada bakat. Tidak semestinya juara sahaja yang akan dapat peluang ‘kerja’ di Astro Prima,” ujarnya.

Bobo tidak kecewa

Gbob yang berasal dari Melaka berkata, dia tidak kecewa kumpulan Bobo tersingkir awal kerena dia dan Wan Awe telah memberikan persembahan yang sebaik mungkin.

“Sudah bukan rezeki kami meskipun juri memberi komen dengan menyatakan ada kemajuan dalam persembahan kami. Kalau ikutkan tema minggu ini, topik bebas memang mudah cuma nak cari topik lain daripada yang lain agak susah.

“Sememangnya bidang ini amat kami minati. Selepas ini, kami berdua akan berusaha untuk mengembangkan bakat kami dan cuba menempatkan diri dalam bidang seni,” katanya.

Wan Awe yang berasal dari Kuala Lumpur menambah, perjuangan mereka tidak akan berakhir walaupun disingkirkan.

“Kami berterima kasih kepada Afdlin dan juri kerana telah memberi kami banyak ilmu untuk kami gunakan pada masa akan datang,” jelasnya.

Process time in ms: 32