RENCANA UTAMA

Pari Pulau Ketam

Pari Pulau Ketam


BOT yang membawa penumpang ke Pulau Ketam sekadar mengenakan tambang sebanyak RM7 seorang.


MELANGKAH ke tahun 2011, industri perikanan negara dikejutkan dengan peristiwa nelayan Pulau Ketam di Selangor menaikkan seekor ikan pari gergasi daripada jenis pari Manta seberat 1,300 kilogram.

Dengan lebar 5.4 meter, saiz pari berkenaan adalah beberapa kali lebih besar daripada seorang lelaki dewasa.

Walaupun ia dikatakan merupakan pari terbesar yang pernah ditangkap nelayan Pulau Ketam, pari itu sebenarnya tertangkap secara tidak sengaja.

Seorang penduduk pulau berkenaan, Kang Mingshun berkata, kira-kira pukul 7 petang 30 Disember tahun lalu, pari tersebut terlanggar tali yang digunakan nelayan untuk menempatkan sangkar ikan, menyebabkannya terperangkap dan tersangkut pada tali itu.


PENGUNJUNG boleh berbasikal mengelilingi kawasan penempatan di Pulau Ketam dalam masa kurang sejam.


Nelayan berkenaan membuka ikatan tali tersebut, namun membuat keputusan untuk membebaskannya pada keesokan hari disebabkan keadaan gelap. Malangnya, pari itu ditemui mati keesokan paginya.

Ketua Kampung Pulau Ketam, Cha Keng Lee, 44 berkata, pari tersebut dinaikkan di kawasan perairan Selat Melaka kira-kira lima kilometer dari Pulau Ketam.

Bagaimanapun, pari itu dibuang begitu sahaja disebabkan saiznya yang terlampau besar, menyebabkan ia sukar diproses untuk dijadikan makanan.

Ketam

Kampung Pulau Ketam boleh dianggap unik dan agak berbeza dengan suasana perkampungan lain di negara ini.

Khabarnya, tiga orang nelayan Hainan dari Bagan Hainan, China merupakan orang pertama yang tiba di Pulau Ketam sekitar tahun 1800 dengan tujuan untuk menangkap ketam.


IKAN pari Manta seberat 1,300kg yang didaratkan oleh sekumpulan nelayan baru-baru ini merupakan satu rekod buat penduduk Pulau Ketam.


Pada peringkat permulaan, mereka berulang alik dari tanah besar ke pulau tersebut untuk menangkap ketam dan ia memakan masa lebih sehari.

Mereka kemudian membina pondok dan membuat keputusan untuk menetap di sana.

Pada tahun 1883, populasi Pulau Ketam meningkat kepada ratusan penduduk. Sesetengahnya membuka kedai runcit dan kedai menjual ikan.

Pada tahun 1950-an, enjin diesel dan jaring nelayan diperkenalkan di Pulau Ketam, meningkatkan kadar penangkapan ikan.

Jumlah penduduk meningkat mendadak dan pelbagai infrastruktur asas seperti pejabat pos dan sekolah rendah dibuka.

Pulau Ketam turut mengalami beberapa tragedi, antaranya kejadian kebakaran pada tahun 1967 dan 1872 yang memusnahkan banyak rumah dan kedai.

Berikutan itu, sebuah balai bomba yang beroperasi secara sukarela dibina.


BEGINILAH pemandangan kediaman kira-kira 6,000 penduduk Pulau Ketam.


Pada tahun 1985, jumlah penduduk Pulau Ketam mencecah 20,000 orang.

Bagaimanapun, populasi penduduk mula berkurang disebabkan faktor penghijrahan penduduk secara beramai-ramai bagi mencari penghidupan baru sehingga ke Mersing, Johor selain kurangnya minat generasi muda Pulau Ketam untuk meneruskan tradisi kerjaya sebagai nelayan.

Sungguhpun demikian, Pulau Ketam kekal sebagai pusat perikanan utama dan memainkan peranan pening untuk membekalkan sumber protein kepada penduduk Lembah Klang.

Basikal

Tarikan utama pulau itu tentunya pelbagai produk makanan laut dan keindahan pemandangannya.

Mudah sahaja untuk ke Pulau Ketam. Dari Kuala Lumpur, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan KTM Komuter ke Pelabuhan Klang.

Dari sana, pengunjung boleh berjalan kaki ke jeti Pulau Ketam yang jaraknya hanya kira-kira 300 meter.

Pengunjung kemudian boleh menaiki bot ke Pulau Ketam dengan bayaran sebanyak RM7. Perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit.

Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai sebuah pulau, hampir 80 peratus daripada penduduk di situ terdiri daripada nelayan, manakala selebihnya mengusahakan rumah penginapan atau berniaga.

Aktiviti masyarakat ternyata sangat dipengaruhi keadaan fizikalnya. Setiap bangunan dibina di atas struktur tiang bagi mengelakkannya daripada tenggelam akibat pasang surut air laut.

Sepanjang kunjungan kru Jurnal ke Pulau Ketam, tidak sekali pun kami berpeluang untuk menjejakkan kaki di atas tanah Pulau Ketam, sebaliknya bergerak melalui pelantar dan lorong sempit yang dibina kira-kira dua meter dari permukaan tanah.

Sesetengahnya hanya muat untuk dua buah basikal berselisih, menjadikan basikal sebagai medium pengangkutan utama yang digunakan di situ.

Tidak hairanlah setiap rumah pasti mempunyai sekurang-kurangnya dua buah basikal dan sebuah kereta tolak, yang digunakan untuk memindahkan barangan berat yang tidak mampu diangkut menggunakan basikal.

Kebanyakan lorong tersebut dibina menggunakan batu dan simen, namun sesetengahnya masih menggunakan kayu, sehingga terdetik sedikit perasaan risau sama ada struktur pelantar itu mampu menampung berat kami.

Kerisauan kami nyata bertempat apabila dimaklumkan oleh Keng Lee bahawa sesetengah lorong kayu itu sudah berusia antara 50 hingga 60 tahun.

“Dulu kesemuanya diperbuat daripada kayu. Antara kayu yang digunakan ialah kayu cengal, itulah sebabnya struktur tersebut mampu tahan lama,” katanya

Bagaimanapun, ada sesetengah struktur sudah sedikit demi sedikit terjejas akibat dimamah usia.

Menurut Keng Lee, proses menaik taraf pelantar dan lorong daripada menggunakan kayu kepada batu oleh kerajaan banyak membantu penduduk setempat.

Para pengunjung yang berminat untuk meneroka kawasan penempatan nelayan ini boleh menyewa basikal yang banyak disediakan dengan kadar sewa RM5 sejam.

Penggunaan basikal nyata lebih menyenangkan daripada berjalan kaki walaupun kawasan itu tidaklah sebesar mana.

Dengan keluasan hanya 63 kilometer persegi, hanya kira-kira 20 peratus daripada keluasan pulau itu didiami manusia, manakala 80 peratus lagi merupakan kawasan hutan paya bakau.

Seseorang boleh berbasikal mengelilingi kawasan penempatan di pulau itu dalam masa kurang sejam.

Process time in ms: 0