VARIA

Misi menyelamat tebusan pesawat

Misi menyelamat tebusan pesawat


LATIHAN operasi menyelamat tebusan oleh Markas 21 Gerup Gerak Khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang baru-baru ini.


KENDERAAN tentera dilihat kerap keluar masuk ke Pusat Latihan Malaysia Airport Berhad (MAB), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sejak dua hari lalu. Kawasan lapangnya pula dipenuhi beberapa khemah dengan corak celoreng.

Sekumpulan lelaki berpakaian seragam hitam, lengkap dengan senjata yang disilang di bahu mundar mandir dan sesekali dilihat bercakap-cakap menggunakan set walkie talkie.

Di dalam Dewan Latihan MAB pula penuh dengan carta-carta dan lakaran peta. Sebuah peta lengkap dengan kedudukan landasan terbang dan tanda-tanda pen berdakwat merah serta contengan angka-angka yang ditandakan di atas lukisan sebuah pesawat penumpang.

Di atas lantai dewan, terdapat satu replika pesawat di atas model sebuah landasan terbang. Beberapa miniatur orang perang disusun di sekitar model tersebut yang ditanda dengan nama-nama tertentu.

Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Brigadier Jeneral Datuk Abdul Samad Yaakob dilihat berbincang dengan beberapa pegawainya. Beliau tekun mendengar pandangan pegawainya itu sambil mata melihat tajam ke atas lakaran dan peta yang ditunjukkan.

Sepanjang 24 jam lalu, pasukannya diletakkan dalam keadaan siap sedia setelah sebuah pesawat penumpang yang dirampas oleh pengganas mendarat di LTAPP.

Arahan yang beliau terima daripada Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin jelas. Misi menyelamatkan tebusan dan menumpaskan perampas dalam satu operasi serbuan taktikal dengan risiko yang minimum.

Berita rampasan pesawat Airbus A320 AirAsia di ruang udara Filipina pada 21 November lalu menggemparkan negara. Dengan 107 penumpang dan bebarapa anak kapal, nasib mereka berada di tangan lima perampas pesawat sebuah kumpulan pengganas antarabangsa.

Mereka menuntut supaya pemimpin kumpulan tersebut iaitu Abu Jahatan dan tiga rakan yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dibebaskan.

Semasa penerbangan memasuki ruang udara Semenanjung, perampas mengarahkan pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengisi minyak sebelum melencong dan mendarat di Melaka.

Penumpang dibunuh


UNIT Lawan Keganasan dalam misi menyelamat mangsa tebusan.


Ketua perampas menggesa tuntutan mereka ditunaikan sebelum pukul 8 malam atau penumpang menjadi mangsa.

Pada pukul 11 malam, 23 November, perampas bertindak kejam apabila seorang penumpang dibunuh dan mayatnya dicampak ke luar landasan setelah berang tuntutan mereka tidak ditunaikan.

Pada pagi 24 November, pesawat berlepas dan mendarat di LTAPP untuk mengisi minyak dan sekali lagi meminta tuntutan mereka dipenuhi.

Memandangkan kumpulan pengganas telah melakukan tindakan yang agresif, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil keputusan tidak membenarkan pesawat meninggalkan LTAPP.

Sebaliknya MKN mengatur gerakan pasukan GGK dari Kem Iskandar, Mersing bagi melaksanakan misi menyelamat tebusan pada kadar segera.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memerintahkan Panglima TD untuk mengatur gerakan pasukan 21 GGK bagi melaksanakan misi tersebut pada kadar segera.

Pada pukul 1 pagi 25 November, sepasukan 15 anggota Unit Lawan Keganasan (ULK) 11 RGK bersedia menggempur pesawat A320 yang berada di landasaan terbang LTAPP.

Lengkap dengan mesingan HK MP5A3 yang dipasang dengan sistem pejera Aimpoint, gogel, helmet kevlar dan sut kalis peluru, ULK menjadi pasukan utama menggempur ke dalam pesawat ini.

Sepasukan kira-kira 40 anggota RGK yang lain termasuk tim penembak tepat di tempatkan di setiap landasan terbang itu sebagai pasukan pengawal utama.

Abdul Samad yang memantau operasi dari rakaman langsung yang disiarkan ke paparan skrin digital yakin anak-anak buahnya dapat melaksanakan tugas tersebut.

Tepat pukul 2.30 pagi, di sebalik kegelapan pagi kendengaran satu dentuman letupan menandakan operasi serbuan bermula. Tim ULK menyerbu masuk melalui bahagian belakang dan hadapan pesawat.

Dalam tempoh 10 minit, seorang anggota ULK dilihat keluar mengiringi para penumpang yang kemudian diarahkan turun menggunakan tangga pesawat.

Operasi terancang


ANGGOTA GGK berkawal di sekeliling pesawat Airbus A320 ketika pasukan Unit Lawan Keganasan menyelamatkan mangsa tebusan bersama anak kapal.


Serbuan awal pagi oleh anggota komando 11 RGK berjaya menamatkan drama rampasan oleh kumpulan pengganas sejak lima hari lalu.

Dalam operasi terancang itu, dua pengganas ditembak mati manakala empat yang lain menyerah diri.

Kesemua 107 penumpang bersama enam anak kapal diselamatkan termasuk seorang penumpang yang dicederakan pengganas dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.

Detik-detik mencemaskan itu adalah rentetan kemuncak Eksesais Thunderbolt Siri 2/2010. Ia adalah latihan operasi menyelamat tebusan di dalam pesawat yang dikoordinasikan oleh Markas 21 Gerup Gerak Khas (GGK).

Ia bagi menguji dan menilai kepakaran kumpulan penggempur Unit Lawan Keganasan (ULK) 11 RGK dalam menangani situasi kritikal sekiranya berlaku krisis keganasan yang melibatkan pesawat udara di negara ini.

Eksesais selama lima hari itu melibatkan beberapa fasa seperti proses pemujukan, rundingan, serbuan dan operasi menyelamatkan penumpang serta tebusan.

Latihan dengan kerjasama Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu melibatkan kira-kira 407 pegawai dan anggota tentera termasuk dari pelbagai unit sokongan.

Ia merupakan latihan kedua selepas kali terakhir diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiga tahun lalu.

Hadir menyaksikan latihan itu ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud dan Pengarah Keselamatan DCA, Rahman Mahat.


SEBAHAGIAN daripada 107 penumpang dan anak kapal Airbus A320 yang berjaya diselamatkan oleh pasukan Unit Lawan Keganasan.


Zulkifeli yang menyaksikan sendiri serbuan yang diadakan di dalam pesawat itu memuji kecekapan dan kemampuan tim ULK 11 RGK melaksanakan latihan tersebut mengikut prosedur Operasi Menyelamat Tebusan (OMT) yang ditetapkan.

Pada sidang medianya, Zulkifeli memberitahu, latihan itu merupakan salah satu kaedah OMT yang turut dilakukan oleh negara-negara lain bagi menangani kumpulan pengganas.

Menurut beliau, kemungkinan wujudnya aktiviti keganasan seperti yang digambarkan dalam latihan ini tidak boleh dinafikan dan GGK bertanggungjawab untuk menanganinya.

Katanya, latihan sedemikian penting bagi memastikan Tentera Darat sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menangani krisis keganasan yang melibatkan pesawat yang dirampas dan dipaksa mendarat di negara ini.

“Kita tidak boleh menafikan pesawat kita atau milik syarikat penerbangan lain mungkin boleh dirampas oleh kumpulan pengganas dan kita perlu bersedia untuk menangani krisis tersebut.

“Dalam latihan ini, kita berjaya simulasikan situasi sebenar kepada 21 GGK dan beginilah senario serupa jika ia benar-benar berlaku,” ujarnya kepada pemberita.

Katanya, selain kecekapan anggota, latihan itu membolehkan Tentera Darat menilai keperluan melengkapi ULK GGK dengan peralatan yang lebih sesuai agar dapat melaksanakan misi lebih efisien.

Process time in ms: 46