RENCANA UTAMA

Kepercayaan penonton meningkat

Kepercayaan penonton meningkat




TAHUN 2010 menyaksikan senario filem-filem karya anak tempatan mendapat tempat di hati peminat dan memungut kutipan sehingga berjuta-juta ringgit.

Perkembangan tersebut sekali gus membuktikan filem tempatan semakin mendapat kepercayaan penonton untuk melaburkan duit mereka. Sebanyak 29 buah filem yang ditayangkan sepanjang tahun 2010 berbanding 27 buah filem pada tahun lepas.

Perbezaan ketara dapat dilihat daripada jumlah kutipan kasar kutipan tiket antara tahun 2009 dan 2010. Hanya tiga buah filem yang melepasi angka RM4 juta kutipan tiketnya tahun lalu iaitu Bohsia.....Jangan Pilih Jalan Hitam (RM4.14 juta), Jangan Pandang Belakang Congkak (RM6.09 juta) dan Geng Pengembaraan Bermula (RM6.20 juta).

Berbeza dengan tahun 2010, sebanyak enam buah filem berjaya melepasi kutipan RM4 juta iaitu Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (RM4.23 juta), Lagenda Budak Setan (RM4.28 juta), Evolusi KL Drift 2 (RM5.67 juta) , Adnan Sempit (RM7.66 juta) dan filem yang berjaya memecah rekod kutipan paling tinggi filem tempatan setakat ini adalah filem Ngangkung terbitan MIG Productions Sdn. Bhd. arahan Ismail Bob Hasim yang mengutip RM8.15 juta.

Sebuah lagi filem yang mencapai kutipan tertinggi adalah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid dan terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd yang setakat hari ini telah mengutip RM6 juta sejak ditayangkan pada 9 Disember lalu.

David Teo paling berpengaruh

MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) milik David Teo merupakan kuasa paling besar dalam menguasai pasaran pecah panggung industri filem tempatan.

Ini kerana lima buah filem terbitannya iaitu Ngangkung, Adnan Sempit, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, V3: Samseng Jalanan dan Cuti Cuti Cinta merupakan antara 10 filem tempatan terlaris sepanjang tahun ini. Sebuah lagi filem yang dalam senarai top 10 filem tempatan terlaris iaitu Niyang Rapik pula diedarkan oleh MIG.


BARISAN pelakon dan tenaga produksi Hantu Kak Limah Balik Rumah sudah boleh berbangga dengan kutipan RM6 juta setakat ini.


Selain filem-filem pecah panggung 2010, dua buah filem terbaru MIG yang ditayangkan pada tahun ini ialah filem cinta remaja, Aku Masih Dara yang mula ditayangkan 9 Disember lalu dan filem seram, Damping Malam yang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Menurut penerbit MIG, David Teo, menerbitkan sebuah filem yang menepati selera penonton adalah kunci utama kejayaan sesebuah filem.

"Sebelum kami menerbitkan sebuah filem, pihak MIG akan menjalankan kaji selidik terhadap kumpulan sasaran terlebih dahulu. Ini bagi memastikan filem yang dikeluarkan memenuhi selera mereka.

"Menerusi kaji selidik juga, kami akan tahu apa yang penonton suka dan tidak suka. Jika sesebuah filem itu telah memberi kembali modal kepada penerbit, ia sudah cukup bagus. Apatah lagi apabila ia mencatat kutipan berjuta-juta, lagi bagus kerana memberi modal untuk menerbitkan filem yang lebih baik pada masa depan," katanya yang berbangga dengan kejayaan filem-filem terbitan MIG.

Produksi milik David yang cukup terkenal kerana menghasilkan bakat-bakat baru serta memegang prinsip bukan artis yang menjual filem sebaliknya jalan cerita yang menarik mampu menarik penonton ke panggung.

"Kebanyakan filem saya tidak mengambil pelakon yang sangat popular, saya sering ambil orang baru dan jadikan mereka pelakon popular. Penonton tetap akan menerima sebuah filem yang dilakonkan oleh pelakon baru jika jalan ceritanya bagus. Kalau saya letak pelakon yang terkenal, jalan cerita tidak menarik pun tidak guna juga," balasnya lagi yang berani melabur wang kepada pengarah baru.

MIG dijangka meneruskan penguasaannya pada tahun hadapan dengan jangkaan penerbitan 20 buah filem setahun yang mana filem-filemnya yang telah siap pembikinannya dan sedang menunggu tayangan termasuklah Kembar Siang, Kongsi, Senario Ops Pocot, Sekali Lagi, Keramat dan 1,2,3 Cinta.

Ini bermakna dari segi keuntungan, David Teo merupakan penerbit filem tempatan yang berada di kedudukan pertama.

Kutipan luar biasa

Bagi Penerbit dan Pengarah Urusan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-lin Pillai ketika dihubungi menghembuskan nafas lega apabila buat pertama kalinya filem terbitannya iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah mencapai kutipan yang di luar jangkaan.


FILEM Magika yang merupakan buah tangan pertama Edry Abdul Halim (kanan) menggandingkan ramai pelakon terkenal tempatan.


Meskipun setakat ini kutipannya mencapai angka RM6 juta, Gayatri menyasarkan filem tersebut mencapai RM7 juta kerana filem tersebut masih lagi ditayangkan di 46 pawagam seluruh negara.

"Itu filem pertama kami yang mencapai kutipan sehingga RM6 juta. Filem ini berjaya kerana pelbagai faktor dan sebab utamanya adalah kebanyakan penontonnya adalah keluarga," ujarnya.

Disebabkan kejayaan filem arahan Mamat Khalid itu, Gayatri memberitahu, pihaknya dan Mamat telah merancang untuk muncul dengan sebuah lagi sekuel berlatarkan Kampung Pisang.

"Kami telah berbincang dan dapat idea yang sangat menarik. Apa yang pasti filem itu amat berbeza dengan apa yang telah dipertontonkan kerana mereka tidak akan jangka apa yang akan dibikin oleh Mamat," katanya.

Bercakap mengenai filem tempatan yang semakin mendapat tempat di hati penonton dan mendapat kutipan yang tinggi, Gayatri memberitahu jumlah filem yang meningkat memberi pilihan kepada penonton dan dalam masa yang sama kualiti filem tempatan juga bertambah baik.

"Tahun ini ada banyak filem Hollywood yang menarik penonton ke panggung, apabila penonton sampai ke panggung wayang dalam masa yang sama mereka juga akan tertarik untuk menonton filem tempatan apabila terlihat iklan dan poster.

"Selain itu, kualiti produksi tempatan dalam membikin filem juga semakin bagus disebabkan banyak persaingan. Bagi saya, itu persaingan yang positif dan baik untuk industri filem tempatan," ucapnya.

Tahun hadapan, sebanyak 10 buah filem terbitan Tayangan Unggul akan menemui penonton. Antaranya ialah, Sini Ada Hantu (James Lee), Cun (Osman Ali), Misteri Jalan Lama (Afdlin Shauki), Tolong Awek Aku Pontianak (James Lee), Ombak Rindu (Osman Ali), Untuk 3 Hari (Afdlin Shauki), Claypot Curry Killer (James Lee) dan Apokalips (Mamat Khalid).

"Kami tidak terbitkan hanya sebuah genre filem sahaja sebaliknya kami pelbagaikan, kami ingin terbitkan 16 buah filem setahun, 13 buah filem Melayu dan tiga buah filem Cina.

"Tahun depan penggambaran filem Papadom 2 akan berjalan serta sebuah projek terbesar kami iaitu sebuah filem seram," katanya lagi.

Ada untung, ada rugi

Sudah adat perniagaan, ada untung dan ada rugi. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Primeworks Studios apabila filem yang diterbitkan mereka tahun ini seperti filem 2 Hati 1 Jiwa, 4 Madu, Aku Tak Bodoh dan Hooperz tidak mengaut untung yang besar.

Terbaru, mereka mempertaruhkan sebuah filem seram berjudul Janin yang telah menemui penonton sejak 23 Disember lalu.

Menurut Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah, meskipun mereka tidak mengaut untung yang besar tetapi itu bukanlah satu halangan buat Primeworks Studios untuk menampilkan filem-filem yang hebat pada tahun hadapan.

"Jika sebuah filem tidak laris, kami jadikan ia sebagai pengajaran dan tidak akan buat lagi filem yang tidak digemari oleh penonton.

"Buat masa ini, semua filem terbitan kami telah siap dan hanya menunggu untuk ditayangkan sahaja, kami menjangkakan filem Nur Kasih, Khurafat dan Songlap akan mencapai kutipan yang tinggi, manakala filem yang menjalani penggambaran pada tahun ini adalah untuk tayangan tahun 2012," katanya.

Tambahnya, jumlah penonton filem Melayu semakin bertambah dan itu satu perkembangan yang bagus bagi penerbit dan pembikin filem.

"Kita sedar penonton yang menonton filem di panggung adalah mereka yang berusia belasan tahun sehingga 30 tahun. Jadi, kita harus buat filem yang memenuhi hasrat golongan ini.

"Apa yang boleh kita buat tingkatkan adalah daripada aspek promosi supaya penonton tahu filem apa yang sedang ditayangkan di panggung," ucapnya.

Baru-baru ini Primeworks Studio telah mengumumkan program Layar Baru yang bertujuan untuk memberi ruang buat pengarah muda berkarya, seterusnya meningkatkan lagi martabat industri perfileman tanah air.

Kesemua filem di bawah program Layar Baru merupakan filem bajet rendah dan setakat hari ini sudah tiga buah filem dihasilkan menerusi program tersebut. Antaranya filem Klip 3GP, Sesuatu Yang Tertinggal dan Penunggu Istana yang akan menemui penonton pada tahun depan.

Selain itu, filem lain terbitan Primeworks Studio yang akan menemui penonton tahun depan adalah Khurafat, Nur Kasih, Songlap, Bohsia 2 dan kini sedang dalam penggambaran adalah filem Chow Kit.

Tahun hadapan filem paling mahal KRU, Hikayat Merong Mahawangsa yang dibikin dengan kos RM6.82 juta merupakan filem yang dinanti-nantikan oleh peminat filem tempatan.

Process time in ms: 47