TERKINI

Tidak kurus, pelanggan tuntut semula wang

Tidak kurus, pelanggan tuntut semula wang

27/12/2010 4:15pm

PUTRAJAYA — “Pertahankan hak anda kerana tidak mudah untuk ”membuat” wang walaupun seringgit,” kata Sarijah Saman yang berjaya mendapatkan semula wangnya melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Pembantu undang-undang itu menuntut kesemua kos rawatan daripada satu syarikat pelangsingan badan yang menjanjikan penurunan berat badan antara 10 kg hingga 15 kg dalam tempoh empat bulan dengan 84 sesi rawatan.

“Saya hanya ingin turun sekitar 10 kg dan mengempiskan perut serta mengecilkan lengan namun itu tidak dapat dipenuhi oleh rawatan yang disediakan syarikat ini,” katanya.

Sarijah berkata dia mengikuti jadual rawatan tanpa gagal di bawah seliaan seorang terapi namun hasilnya setelah melakukan kira-kira 80 sesi rawatan, berat badannya tidak berubah malah meningkat lagi sekitar 100 gram kepada 71.6 kg.

Katanya pada sesi kesembilan, dia telah diminta membeli produk tambahan bagi mempercepatkan kadar penurunan badan walaupun pada awalnya diberitahu bahawa dia tidak perlu menambah apa-apa bayaran lain bagi mendapatkan keputusan yang dijanjikan.

Malang bagi dirinya, Sarijah berkata produk berbentuk minuman bukan sahaja gagal mempercepatkan penurunan berat badan malah meningkatkan selera makannya.

Dia memutuskan untuk menghentikan sesi rawatan yang berbaki tiga sesi atas nasihat doktor setelah turut mengalami tekanan darah tinggi, yang diyakininya kesan daripada rawatan yang diikutinya itu.

Sarijah berkata dia tidak diberikan sebarang nasihat berkaitan diet pemakanan sepanjang menerima rawatan pelangsingan walaupun didakwa sebaliknya oleh syarikat pelangsingan itu.

Nasib menyebelahi Sarijah kerana tiada sebarang perjanjian ditandatangani antara kedua-dua belah pihak walaupun pihak syarikat mendakwa tidak memberikan jaminan bahawa berat badannya akan turun.

"Saya pasti tidak akan bersetuju membayar sejumlah wang yang banyak sekiranya syarikat ini tidak memberi apa-apa jaminan yang badan saya akan susut,” kata ibu tunggal berumur 45 tahun ini.

Penyelesaian diperoleh antara kedua belah pihak di luar kamar Tribunal setelah mendapat nasihat daripada Presidennya, Mohd Nasrim Mohd Salleh yang mengadili perbicaraan itu.

Hasil perbincangan itu adalah pihak syarikat pelangsingan bersetuju membayar semula kepada Sarijah kos keseluruhan rawatan serta pembelian produk minuman yang kesemuanya berjumlah RM4,060.

Setelah penyelesaian diperoleh, Mohd Nasrim menetapkan pembayaran harus dibuat dalam tempoh 14 hari mulai hari ini. - Bernama

Infiniti!»

Berjaya eratkan silaturahim

PEMBERIAN buah tangan atau oleh-oleh mampu mengeratkan silaturahim antara pemberi dan penerima.

Varia!»

Inovasi penggendong bayi

KAIN bedung Ergobaby Swaddler membuatkan tidur bayi lebih lena dan lama.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15