INFINITI

Gajet idaman tahun 2011

Gajet idaman tahun 2011


SEBAGAIMANA hebatnya persaingan telefon pintar, begitu jugalah 'perang' tablet antara Blackberry dengan Apple.


SETIAP kali menjelangnya tahun baru, ramai dalam kalangan penggemar gajet digital yang ternanti-nanti apakah gajet yang bakal mewarnai dunia teknologi tahun yang akan datang.

Persoalan yang sering timbul apakah inovasi terkini benar-benar akan memudahkan lagi urusan seharian kita atau ia sekadar gimik bagi menarik perhatian pengguna untuk memilikinya?

Kosmo! menyenaraikan enam gajet yang bakal menemui anda apabila tahun 2011 membuka tirainya.

Blackberry Playbook

Dikatakan bakal menjadi pesaing terdekat iPad, tablet keluaran Research in Motion (RIM) itu dibekalkan dengan sistem operasi yang dibangun khusus untuknya. Ia dikuasakan dengan unit pemproses dual-core bagi menyokong ciri pelbagai tugasan aplikasi yang lazim terdapat pada telefon pintar Blackberry.

Ciri lain seperti dua unit kamera berdefinisi tinggi (HD) di bahagian hadapan dan belakang serta Bluetooth yang ditawarkan merupakan kelebihan Playbook berbanding iPad keluaran Apple Inc.

Netbook berkuasa Chrome

Netbook yang dikuasakan dengan sistem operasi Chrome yang dibangunkan oleh Google juga dijangka memasuki pasaran tahun hadapan. Selain menjadi satu lagi alternatif kepada sistem operasi yang popular seperti Windows dan Mac OS, ia turut menawarkan sistem operasi pantas yang boleh dihidupkan serta-merta tanpa perlu menunggu boot-time yang kadangkala membosankan.

Tablet Motorola Android 3.0

Motorola juga tidak mahu ketinggalan dalam 'perang tablet' di antara Apple dan Blackberry dengan memperkenalkan tablet keluaran mereka.

Digerakkan menggunakan versi Android terkini yang dikenali sebagai Honeycomb - sistem operasi sumber terbuka yang dibangunkan oleh Google tentunya menjadi pilihan kaki gajet yang inginkan fleksibiliti dan stabiliti dalam sistem operasi digunakan.

iPhone 5

Sungguhpun ia belum lagi sahih, namun ramai penganalisis teknologi yang berpendapat spekulasi itu bakal menjadi kenyataan.

Ini disokong lagi dengan trend Apple yang tidak putus-putus menawarkan versi terbaru iPhone mereka setelah beberapa ia memasuki pasaran.

Namun begitu, spesifikasi dan apakah ciri yang bakal dikekal atau diubah belum dapat dipastikan lagi. Mungkin kita hanya perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum dapat melihat 'kebocoran' gambar prototaipnya di Internet.


PROSES mengecas peranti elektronik kini lebih mudah dengan pengecas wayarles ElectroHub.


LG Star

Jika sebelum ini mungkin kita merungut tentang kualiti grafik yang terdapat pada telefon pintar, isu ini mungkin tidak timbul selepas ini kerana pengeluar chipset grafik Nvidia akhirnya berjaya menghasilkan versi Tegra 2 untuk telefon bimbit LG Star.

Telefon keluaran syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik Korea itu turut menawarkan sistem operasi Android 2.3 (Gingerbread) dengan kamera lapan megapiksel dan berupaya merakam video berdefinisi tinggi.

Pengecas wayarles ElectroHub

Pengecas tanpa wayar ElectroHub itu membolehkan peranti elektronik anda dicas tanpa perlu dicucuk sebarang kabel padanya.

Anda hanya perlu menukarkan bateri asal peranti anda dengan bateri keluaran ElectroHub dan anda boleh mengecasnya dengan hanya perlu meletakkan gajet anda pada pad pengecas.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 94