URBAN

Cabaran kekotak nombor

Cabaran kekotak nombor




PENTAS kecil di pusat beli-belah Shaw Parade di Jalan Changkat Thambi Dollah, Kuala Lumpur pada petang itu sibuk. Seramai 10 peserta akhir Kejohanan Sudoku Malaysia dilihat mengambil tempat masing-masing.

Di bawah pentas, orang ramai termasuk ibu bapa dan adik-beradik para peserta berkenaan menjadi audiens. Sepanjang 30 minit masa yang diberikan, para peserta hanya ditemani alat tulis dan pemadam.

Dalam kejohanan yang kali pertama dianjurkan itu, tiga kertas teka-teki Sudoku yang masing-masing memaparkan kekotak sembilan baris dan sembilan lajur perlu diselesaikan. Hanya jawapan yang tepat dan cepat akan diiktiraf sebagai pemenang.

Baru masuk ke minit ketujuh, kelibat seorang pemuda pantas mengangkat tangan kirinya sebagai tanda isyarat ‘sudah siap’. Peserta yang lain pula menyusul beberapa minit kemudian. Pusingan seterusnya pula, seramai 50 peserta terbaik diuji dengan Sudoku khas, 1Sudoku atau Killer Sudoku yang jauh lebih mencabar.

Hanya satu nombor sebagai petunjuk di tengah-tengah grid sembilan darab sembilan itu. Peserta tiada masa untuk mengeluh panjang lantaran tempoh setengah jam sekali lagi menjadi penentu kemenangan. Kali ini, daya kepantasan menyelesaikan teka-teki semakin menguji minda.

Sekali lagi, pemuda yang sama berjaya menyiapkan semua ujian minda Sudoku itu. Berasal dari Sungai Petani, Kedah, Mohd. Farhan Hassin, 21, sesungguhnya bukan nama baru dalam arena permainan Sudoku tempatan.

Pelajar Institut Perguruan Sultan Abdul Halim di Sungai Petani itu pernah beberapa kali menyertai Pertandingan Sudoku tempatan dan peringkat Asia Pasifik sehingga membawa pulang hadiah-hadiah lumayan.


BERMAIN Sudoku dipercayai mampu meningkatkan kecerdasan minda pemainnya.


Dalam peringkat pertandingan 1Sudoku itu, Farhan berjaya menyiapkan teka-teki tersebut dalam masa sekitar lima minit sekali gus muncul sebagai juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah bernilai RM3,000. Satu pencapaian yang cukup menakjubkan memandangkan dia hanya mula bermain Sudoku pada pertengahan 2008.

Kejohanan Sudoku Malaysia Pertama yang dianjurkan oleh Persatuan Sudoku Malaysia (MaSS) itu berjaya menarik sekitar 300 penyertaan. Seawal pukul 9 pagi, ruang legar Shaw Parade sudah dipenuhi peserta yang berminat untuk mendaftarkan diri.

Daripada peserta muda berusia 13 tahun sehinggalah golongan pesara, rata-ratanya berkumpul demi minat terhadap permainan ini.

Seorang ibu yang hanya ingin dikenali sebagai Chan, 50-an, berkata, penganjuran pertandingan Sudoku tempatan adalah satu langkah yang positif. Hadir bersama anak lelaki yang juga peserta kejohanan itu, Chan memberitahu, selain anaknya, dia dan mendiang bapanya juga peminat Sudoku.

“Anak saya mula bermain teka-teki mencabar minda itu sejak darjah lima. Itu pun sebab saya yang menggalakkannya kerana saya yang terlebih dahulu bermain Sudoku. Sekarang dia sudah berada di tingkatan tiga.

“Ketika bapa saya masih hidup, dia pun tergila-gilakan permainan ini. Bayangkan pada usia 90 tahun, Sudoku sebenarnya boleh memberi kesan positif kepada pemikiran warga emas sepertinya,” jelasnya yang bangga dengan kejayaan anaknya memasuki kumpulan 50 peserta terpantas dalam kejohanan itu.

Teknik dan rahsia

Peserta yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, Maggie Chan, 25, berkata, dia mula berjinak-jinak dalam permainan Sudoku sekitar pertengahan tahun ini. Bermula dengan mencuba permainan Sudoku percuma dalam akhbar-akhbar harian, Maggie semakin tertarik pada Sudoku.

Hakikatnya, seperti kebanyakan pemain, gadis berkulit cerah itu juga tidak pasti teknik dan rahsia kejayaan menyelesaikan Sudoku.

“Sebelum ini, saya tidak pernah merujuk buku panduan dan hanya mendapat hasil selepas membuat percubaan berkali-kali. Saya sendiri mengakui bahawa Sudoku dapat membantu mencerdaskan otak sekali gus menjadikan saya lebih fokus,” katanya yang menyertai kejohanan pertama itu sekadar untuk mencuba nasib.

Jika diikutkan, idea untuk menganjurkan kejohanan tempatan itu telah lama berputik dalam minda pengerusi penganjurnya, Lim Teck Guan, 64. Pesara jurutera itu berkata, penganjuran kejohanan Sudoku tempatan itu sebenarnya memiliki objektif tersendiri.

“Pihak MaSS berharap dapat mengenal pasti empat pemain Sudoku terbaik tempatan untuk mewakili pasukan Malaysia di Kejohanan Sudoku Dunia pada masa terdekat nanti,” ujarnya.


SHAW Parade menjadi saksi kepada kepantasan para peserta menyelesaikan teka-teki Sudoku pada Ahad lalu.


Kejohanan Sudoku Dunia yang bermula sejak tahun 2006 kini didominasi kumpulan peserta dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Dalam kejohanan peringkat dunia, para peserta perlu menyelesaikan sekitar 50 jenis Sudoku dalam tempoh masa tertentu.

Meskipun kejohanan Sudoku tempatan baru di peringkat awal dengan variasi ujian yang amat sedikit, pihak MaSS yakin langkah itu bakal memberi impak positif kerana arena permainan Sudoku di Malaysia.

Cabaran penganjuran

Bercerita lanjut, Teck Guan, memberitahu, antara cabaran untuk menganjurkan acara itu termasuk kesukaran mendapat penaja memandangkan MaSS merupakan sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan. Antara penaja yang mengambil bahagian dalam acara sulung itu adalah Midea, Nestle, Purple Cane, Kao, Shaw Parade, McDonald’s dan Mentor.

Sebagai peminat tegar teka-teki itu, Teck Guan yang juga penulis lima buah buku panduan penyelesaian Sudoku dalam bahasa Inggeris dan Melayu berpendapat, Malaysia sebenarnya mempunyai bakat-bakat besar dalam permainan mencabar minda itu.

Namun, penulis yang menggunakan nama pena, Tee Gee itu berkata, sambutan terhadap Sudoku masih kurang dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Sebenarnya, sebilangan orang yang saya jumpa memberitahu mereka mengelak daripada bermain Sudoku kerana takut dengan nombor dan Matematik. Padahal, Sudoku jauh daripada konteks komplikasi Matematik,” katanya.

Demam Sudoku yang asalnya dari negara-negara Eropah dan Amerika itu mula ‘menyerang’ Malaysia sekitar tahun 2005. Teck Guan sendiri mula mengenali Sudoku sekitar lima tahun lalu atas dorongan anak perempuannya, Janice.

“Apa yang kelakarnya, Janice sendiri bukan pemain Sudoku. Cuma dia menasihati saya agar bermain Sudoku kerana bimbang saya diserang penyakit nyanyuk,” ceritanya yang telah bersara sekitar sembilan tahun lalu.

Pada awal penglibatannya dalam permainan Sudoku, lelaki yang berasal dari Melaka itu mengakui sukar untuk menyelesaikan teka-teki kekotak sembilan darab sembilan itu.

Percubaan berkali-kali tanpa jemu bagaimanapun telah merangsang pemikirannya untuk menyelesaikannya menerusi beberapa teknik seperti teknik hirisan, kiraan, konsep nombor berkembar dan memisahkan nombor berkembar. Jelasnya, otak akan menjadi semakin kreatif apabila seseorang mula belajar menyelesaikan teka-teki itu.

Panduan penyelesaian

Menyedari kekurangan buku panduan yang menunjukkan jalan pintas untuk menyelesaikan Sudoku, Teck Guan menubuhkan syarikat penerbitan sendiri semata-mata bagi merealisasikan impian buku nukilannya.

“Sasaran utama saya adalah menghasilkan lebih banyak buku panduan untuk membantu orang ramai meminati permainan ini. Saya tidak melihat keperluan menghasilkan buku-buku Sudoku klasik kerana bilangannya terlalu banyak di pasaran sekarang.

“Cuma dalam buku panduan saya juga ada halaman teka-teki untuk latihan pembaca,” tambahnya yang turut mereka teka-teki Sudoku tanpa bantuan komputer.

Bagi Teck Guan, rahsia sesebuah teka-teki yang bagus hanya memiliki satu jawapan unik. Tidak seperti Sudoku ciptaan komputer yang mudah ditemui dalam laman-laman web hari ini, Sudoku rekaan minda manusia adalah lebih mencabar. Antara contoh Sudoku terbaik adalah seperti yang diterbitkan syarikat gergasi penerbitan teka-teki dari Jepun, Nikoli.


MOHD. FARHAN (tengah) dan Charissa Cheng (dua dari kiri) masing-masing merupakan juara dan naib juara keseluruhan untuk kategori Sudoku Klasikal dan 1Sudoku.


“Ia mencabar minda pemain dan juga minda orang yang merekanya. Sebab proses mereka teka-teki itu adalah jauh lebih susah daripada menyelesaikannya,” jelasnya.

Namun, apa yang lebih menggembirakan diri Teck Guan adalah ketika dia menerima satu kiriman e-mel daripada seorang pembaca.

“Pembaca itu sebenarnya menemui buku panduan saya di Institut Jantung Negara (IJN) ketika pergi mendapatkan pemeriksaan di sana.

“Dia berterima kasih kepada saya kerana teknik yang dipelajari daripada buku itu dan sejak hari itu, dia mula meminati Sudoku,” terangnya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 32