HIBURAN

Edar single percuma

Edar single percuma


BAKAL muncul dengan single terbaru menjelang Krismas ini, kumpulan ini memiliki strategi tersendiri untuk dikenali khalayak.


BUKANLAH sesuatu yang mudah bagi seseorang untuk masuk dan diterima ke dalam industri seni. Hanya berbekalkan bakat dan rupa paras sememangnya tidak mencukupi. Perkara paling penting untuk dicari ialah peluang.

Tidak terkecuali kumpulan Janice and The Supertank. Mereka boleh dikatakan berbakat dan ada rupa. Bagaimanapun mereka masih tercari-cari peluang keemasan untuk menonjolkan kebolehan mereka kepada khalayak.

Kumpulan itu terdiri daripada lima orang anak muda berbakat besar, iaitu Janice Yap (vokalis, gitar akustik), Ramizu (dram), Mirza (bass), Grace (keyboard) dan Eujin (gitar elektrik).

Menurut penyanyi utama kumpulan tersebut, Janice Yap, cabaran seperti ini merupakan perkara biasa bagi mereka yang bergelar artis baru.

“Mula-mula memang tak ada tempat kami nak buat persembahan. Kami hanya boleh mempersembahkan lagu-lagu kami melalui medium Internet, seperti laman social Facebook dan YouTube.

“Setelah beberapa lama, masyarakat semakin sedar akan kewujudan kami dan kami mula mendapat peluang untuk membuat persembahan di kaca televisyen tempatan dan di kelab-kelab seperti Malones KLCC dan Hard Rock Penang,” katanya dalam satu sesi fotografi yang diadakan di pejabat Utusan baru-baru ini.

Tidak menanti rezeki datang bergolek, Janice and The Supertank bertindak menerbitkan sendiri album single mereka yang diberi judul, And You Know It pada Ogos lalu.

Album Single yang berkonsepkan pop aukustik itu mempunyai tiga buah lagu iaitu And You Know It, Lottery, dan sebuah lagu berbahasa Melayu, Kau Di Mindaku yang diadaptasi dari lagu And You Know It.

Ketiga-tiga lagu tersebut ditulis sendiri oleh Janice.

Menariknya, album single itu tidak dijual di pasaran, sebaliknya ia diedarkan secara percuma kepada peminat, rakan-rakan dan pemain-pemain di dalam industri seni dengan harapan dapat memberikan sedikit publisiti untuk kumpulan mereka.

“Album single ini bukan untuk dijual buat masa ini, nanti orang tertanya-tanya pula, siapa Janice and The Supertank. Bila kami dah mula mendapat tempat dan dikenali peminat, barulah kami akan menjual album yang akan kami terbitkan sendiri nanti.

“Buat masa ini, orang ramai boleh memuat turun lagu-lagu kami secara percuma di Internet, klip video lagu And You Know It pun ada dimuat turun pada laman sesawang YouTube,” katanya.

Bagi Janice, berdasarkan sambutan peminat dan tawaran persembahan yang diterima, pelaburan mereka untuk menerbitkan album single pertama mereka itu boleh dianggap sudah pulang modal.

“Selepas ini, kami akan mengeluarkan single terbaru sempena perayaan Krismas akan datang,” katanya.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan kumpulan ini serta memuat turun lagu-lagu mereka di laman sesawang www.facebook.com/JaniceAndTheSupertank.

Process time in ms: 15