HIBURAN

Kemelut ibu bapa moden

Kemelut ibu bapa moden




NAMANYA cukup sinonim dengan istilah 'puteri' dan 'impian' suatu ketika dahulu. Malah, kerjayanya sebagai aktres layar perak mekar dan kemudian mendaki naik ke puncak populariti selepas melakonkan watak utama dalam filem-filem yang memiliki gabungan dua istilah itu.

Siapa yang boleh lupa dengan karisma dan aksi lakonan bersahaja Amy Mastura sebagai Puteri Nora menerusi filem arahan Aziz M. Osman, Puteri Impian pada tahun 1997 dan sekuel filem itu, Puteri Impian 2 (1999).

Pendek kata ketika itu, Amy Mastura antara aktres yang ditunggu-tunggu kemunculannya di layar perak, khususnya menerusi naskhah arahan Aziz yang cukup aktif menerbitkan filem-filem pecah panggung pada era tersebut.

Namun, Amy yang membuat kemunculan sulung di layar perak menerusi filem Impian pada tahun 1996, tidak lagi muncul di layar perak selepas kali terakhir menjadi teraju filem Bintang Hati (2004).

Enam tahun berlalu, Amy, 39, tidak lagi muncul dengan filem baru, sebaliknya lebih aktif berlakon di layar kaca dan juga teater dalam julat masa tersebut.

Justeru, ada yang menyangka dia tidak lagi mahu berlakon filem, tidak kurang yang melihat zaman keemasan Amy Mastura sebagai aktres layar perak sudah berlalu.

Kemunculannya menerusi filem Hooperz pada tahun ini pula lebih sekadar sebagai pelakon pembantu, namun tiada siapa menyangka ia menandakan Amy bakal kembali aktif di layar perak.

Bukan itu sahaja. Amy juga kembali muncul sebagai teraju utama filem terbaru terbitan Grand Briliance dengan kerjasama J Team Productions, Asia Media Content, RAM Entertainment dan PMP Entertainment yang berjudul, Aku Tak Bodoh.


PELAKON Malaysia yang bertuah dapat meraih pengalaman berlakon di bawah arahan pengarah Singapura, Boris Boo untuk filem Aku Tak Bodoh (dari kiri, Riezman, Rohaizat, Aeril dan Amy (bawah).


Filem yang mula ditayangkan pada hari ini di pawagam seluruh Malaysia menggandingkan Amy bersama aktor Reizman Khuzaimi.

Menghidupkan watak Puan Aishah yang bekerja sebagai pengarang sebuah majalah yang sentiasa sibuk dan tiada masa untuk dua orang anak remajanya, boleh dikatakan inilah pertama kali Amy tampil untuk watak seorang ibu di layar perak.

Sebagai seorang wanita yang mempunyai kerjaya sebegitu, dia mengharapkan tanggungjawab anak-anaknya kepada suaminya yang juga sibuk dengan tugasnya.

Seperti kebanyakan wanita era moden yang lebih mementingkan kerjaya, Aishah hanya tahu membebel kepada dua orang anaknya itu apabila mereka melakukan kesalahan dan bukan menyelesaikannya secara baik.

Setiap pelakon pasti ada cabaran dan kesukaran dalam membawa sesuatu watak. Lain pula bagi Amy.

Walaupun pertama kali melakonkan watak seorang ibu di layar perak, namun watak itu dianggapnya tidak terlalu sukar dilakonkan. Ini kerana seperti watak Aishah itu, Amy Mastura di alam realiti juga merupakan seorang ibu.

Amy mengakui, sedikit sebanyak menggunakan pengalamannya sendiri sebagai ibu kepada dua anak perempuan, Adriana dan Adalia untuk menghayati watak yang dilakonkannya dalam filem, Aku Tak Bodoh. Cuma bezanya, dalam filem itu, dia merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki.

"Watak saya ini lebih kurang sama dengan realiti saya sebagai seorang ibu, jadi kesukarannya untuk membawakan watak seperti ini agak kurang," ujarnya.

Cabaran Boris Boo


BABAK tegang antara anak, lakonan Aeril (kiri) dan bapa yang menampilkan Namron.


Bagaimanapun, apa yang dianggap sebagai cabaran oleh figura yang juga mencipta nama sebagai penyanyi popular itu ialah pengalaman pertama kali dirinya berlakon di bawah arahan pengarah dari Singapura, Boris Boo.

Ini kerana menurut Amy, Boris mempunyai kehendak dan citarasa yang berbeza daripada pengarah yang pernah bekerjasama dengan dirinya sebelum ini.

"Boris mahukan aspek dan mempunyai kehendak yang berbeza dari segi penghayatan watak yang diberikan kepada saya itu.

"Walaupun watak itu senang dilakonkan, namun dia mahukan sesuatu yang lain. Walaupun watak saya hanya seorang ibu, namun Boris tetap mahu mempelbagaikan watak itu dari sudut pandangannya," tambahnya yang turut menjadi teraju utama filem seram terbaru arahan Ahmad Idham, Damping Malam.

Menurut pelakon kecil molek itu, Boris merupakan seorang yang tegas dan pada masa yang sama dia juga merupakan seorang yang pandai berjenaka.

Berlakon sebagai suami watak lakonan Amy ialah aktor tinggi lampai, Riezman.

Pernah menjadi teraju filem Congkak (2008) bersama Nanu, siapa kata pelakon yang meningkat usia dalam industri perfileman Malaysia seperti Reizman dan juga Amy tidak lagi laris mahupun layak untuk menjadi teraju utama.

Riezmen melakonkan watak Hisham, seorang pencipta program komputer yang juga sibuk dengan kariernya tetapi masih tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Oleh kerana terlalu sibuk ingin memberi kemewahan kepada keluarganya, Hisham bagaimanapun kurang meluangkan masa bersama mereka sekeluarga.


BORIS (kiri) gigih di lokasi penggambaran filem Aku Tak Bodoh.


Seperti yang biasa berlaku dalam institusi kekeluargaan masyarakat zaman moden kini, apabila ada masalah yang timbul, seorang bapa dan suami akan meletakkan kesemua hak dan tanggungjawab menjaga anak-anak kepada isterinya kerana mengganggap dirinya sebagai suami yang harus mencari nafkah adalah yang lebih utama.

Bagi Riezman,40, sebagai pelakon yang agak berpengalaman dalam bidang lakonan, katanya, dia tidak menghadapi cabaran yang berat untuk melakonkan watak sebegitu. Ini adalah kerana dengan berbekalkan pengalamannya yang secara realitinya juga seorang suami dan bapa, dia dapat menghayati watak yang dipikul dengan baik.

"Sememangnya tiada cabaran yang berat bagi saya membawakan watak Hisham kerana saya juga seorang bapa dan juga suami. Jadi, saya gunakan pengalaman itu untuk membawa watak ini," jelas Riezman bakal muncul menerusi filem aksi terbaru, berjudul Empire.

Selain Amy dan Riezman, Aku Tak Bodoh diperkuatkan oleh lakonan mantap Adibah Noor, Namron dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Tiga pelakon baru yang diperkenalkan menerusi filem itu ialah Aeril Zafrel, Wan Nor Aizat dan Rohaizat Hassan.

Rohaizat dan Aizat melakonkan watak anak-anak kepada watak lakonan Amy dan Riezman, manakala Aeril melakonkan watak kawan baik kepada watak lakonan Rohaizat.

Stailo!»

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.

Varia!»

Pameran seni anjuran korporat

STOWE (dua dari kanan) dan Serenella (tiga dari kiri) pada pelancaran buku Prudential Malaysia Eye: Contemporary Malaysian Art baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15