TERKINI

'Mangsa' rompakan disiasat kerana buat laporan palsu

'Mangsa' rompakan disiasat kerana buat laporan palsu

23/11/2010 7:01pm

KUCHING - Gara-gara membuat laporan palsu bahawa wang tunai RM5,000 miliknya telah dirompak dua anggota polis, seorang penyelia stor kini disiasat polis.

Dalam insiden itu, lelaki berusia 42 tahun tersebut mendakwa wang berkenaan, kad pengenalan dan kad ATM miliknya telah dilarikan dua lelaki bermotosikal di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di sini pada 8.50 pagi semalam.

'Mangsa' mendakwa kedua-dua lelaki yang berjaket hitam dan berkemeja-T dengan logo polis itu telah mengacukan sesuatu menyerupai pistol ke pinggangnya, sebelum melarikan duit tersebut yang didakwa diletakkan dalam sampul surat.

Lelaki tersebut kemudian membuat laporan di Balai Polis Padungan di sini kira-kira 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong yang mengesahkan kejadian itu berkata, lelaki tersebut bagaimanapun mengaku membuat laporan palsu setelah disoal siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepada Peguam Kanan Persekutuan untuk tindakan lanjut. - Bernama

Process time in ms: 46