DUNIA

Tiga dipenjara kerana bantu Mas Selamat

Tiga dipenjara kerana bantu Mas Selamat


MAS SELAMAT


SINGAPURA - Seramai tiga saudara ekstremis Muslim di Singapura, Mas Selamat Kastari telah dipenjarakan, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam semalam.

Menurutnya, ketiga-tiganya dipenjarakan kerana membantu Mas Selamat melarikan diri ke Malaysia dengan menyamar sebagai seorang wanita.

Beliau memberitahu Parlimen, Mas Selamat diberikan perlindungan di flat mereka selama dua hari semasa satu operasi mencarinya dilakukan selepas dia melarikan diri dari sebuah pusat tahanan.

Adik Mas Selamat, Asmom, adik iparnya, Aisah dan sepupunya, Nur Aini Asnom ditangkap pada awal bulan ini.

Menurut Shanmugam, mereka ditangkap selepas satu siasatan dilakukan.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka mengaku memberikan perlindungan kepada seorang pesalah negara.

Mas Selamat kemudiannya menyamar sebagai seorang wanita, diberikan pakaian dan purdah serta wang, ubat-ubatan, beg galas termasuk kad pengangkutan eletronik, katanya.

"Ekoran tindakan mereka, Nur Aini, Asmom dan Aisah masing-masing dihukum penjara 18 bulan, 12 bulan dan tiga bulan," jelasnya.

Menteri itu memberitahu, Nur Aini yang menjalani latihan perguruan menerima hukuman paling berat kerana beliau memberikan banyak bantuan kepada bapa saudaranya itu.

Mas Selamat dituduh mengetuai sayap Jemaah Islamiah (JI) dan dituduh merancang untuk merempuh sebuah pesawat yang dirampas di Lapangan Terbang Changi dalam operasi seperti serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Menteri itu menyatakan, keputusan keluarga itu untuk memberikan perlindungan kepada Mas Selamat sehingga membolehkannya melarikan diri ke Malaysia merupakan sesuatu yang salah, haram dan memberikan kesan terhadap keselamatan negara. - AFP

Process time in ms: 32