SUKAN

Peluang lakar sejarah

Peluang lakar sejarah


BARISAN pemain negara berpeluang mencipta sejarah pada Sukan Asia 2010 seandainya berjaya menewaskan China pada perlawanan terakhir Kumpulan A hari ini.


SKUAD bola sepak kebangsaan berdepan perlawanan penting menentang tuan rumah, China bagi aksi terakhir saingan Kumpulan A di Stadium Tianhe, Guangzhou malam ini.

Seandainya menang atau seri, Malaysia akan layak ke pusingan kedua (pertama kali selepas 32 tahun), selaku naib juara kumpulan untuk berkemungkinan bertemu Korea Selatan atau Korea Utara pada Isnin ini.

Namun jika tewas kepada China, skuad negara perlu mengharapkan Palestin dan Jordan masing-masing tewas kepada Korea Selatan dan Korea Utara pada aksi terakhir Kumpulan C malam ini.

Ia bagi membolehkan Malaysia layak selaku empat pasukan tempat ketiga terbaik dari kalangan enam kumpulan setelah pasukan tempat ketiga Kumpulan F, Maldives tersingkir apabila hanya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan kelmarin.

Jika Malaysia layak menerusi slot tersebut, lawan mereka pada pusingan kedua Isnin ini berkemungkinan besar adalah Iran.

Namun jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal lebih mahu memberi fokus terhadap perlawanan menentang China malam ini untuk memastikan Malaysia layak terlebih dahulu ke pusingan kedua.

"Saya mahu semua pemain mempamerkan persembahan terbaik. Saya nak mereka semua ambil kesempatan di mana kelemahan China dan berhati-hati juga dengan kekuatan dimiliki China.

"Cuma saya minta para pemain cepat menyerap tekanan kerana China beraksi di depan penyokong sendiri dan mereka juga perlukan kemenangan. Pasti China akan bermain habis-habisan," kata Rajagobal kepada Kosmo! semalam.

Skuad kebangsaan menjalani latihan terakhir di Stadium Huagong pagi semalam dengan pemain sayap, S. Chanturu yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Kyrgyzstan 2-1 Isnin lalu kembali menjalani lati- han penuh.

Rajagobal dijangka terus menggandingkan Norshahrul Idlan Talaha dengan penyerang muda berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan biarpun mereka buntu mencari jaringan ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Jepun, Rabu lalu.

Norshahrul, 24, yang menjaringkan satu gol ketika bertemu Kyrgyzstan berkata: "Memang sebagai seorang penyerang saya mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan.

"Saya berjanji akan memberi persembahan terbaik untuk menang."

Process time in ms: 31