NEGARA

Perlis, Kedah hampir lumpuh

Perlis, Kedah hampir lumpuh


KENDERAAN polis terpaksa dialihkan ke tempat tinggi selepas Ibu Pejabat Trafik Negeri Perlis turut dilanda banjir di Kangar semalam.


ALOR SETAR - Banjir yang melanda Perlis dan Kedah sudah mengatasi bencana yang sama pada 2005 apabila bilangan penduduk yang dipindahkan di kedua-dua negeri melebihi 16,000 orang dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 37,000 orang selain melumpuhkan rangkaian sistem pengangkutan darat dan udara.

Sewaktu banjir besar pada 2005, hanya seramai 21,000 orang dipindahkan di kedua-dua negeri tersebut.

Angka korban juga bertambah empat orang lagi semalam, menjadikan enam mangsa meninggal dunia akibat banjir setakat petang semalam.

Mangsa terbaru yang masih hilang ialah dua beradik berusia 13 tahun dan lapan tahun di Kedah, seorang remaja yang terjatuh di Terusan Arau, Kangar serta penemuan mayat budak perempuan berusia 12 tahun di Bachok, Kelantan.

Di Kedah, semua penerbangan dibatalkan melainkan helikopter apabila Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar ditutup selepas landasannya digenangi air sedalam satu meter.

Lapangan terbang itu yang mengendalikan tujuh penerbangan sehari pernah ditutup sewaktu banjir pada 2005.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Kedah berkata, seramai 25,088 penduduk dipindahkan ke 88 buah pusat penempatan sementara di Kubang Pasu (40 buah), Padang Terap (35), Kota Setar (sembilan) dan Pokok Sena (empat).

Sebanyak 24 batang jalan ditutup termasuk laluan di Kilometer 35.8, Kilometer 34.8 dan Kilometer 32.6 (kedua-dua arah) antara Kepala Batas dan Jitra di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan tren antara bandar bagi laluan Arau-Tunjang dibatalkan untuk jadual perjalanan semalam dan hari ini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Process time in ms: 47