STAILO

Fabrik sulam Bukit Tinggi

Fabrik sulam Bukit Tinggi


KOLEKSI sulam pita (reben) yang bermain dengan banyak warna terang.


BUSANA yang dipenuhi dengan sulaman semestinya mampu menambat hati setiap wanita. Apatah lagi sulaman itu di atas lembaran tekstil polos. Kehalusan sulaman tentunya semakin menyerlah berbanding sulaman di atas fabrik yang dipenuhi lakaran bercorak.

Segelintir kaum wanita sanggup membayar jumlah wang yang besar semata-mata mahu mendapatkan sepasang baju yang mempunyai jahitan sulam berkualiti mengikut keinginan masing-masing.

Bagi fabrik berasal dari Bukit Tinggi, Indonesia, keistimewaannya terletak pada sulaman yang telah dijahit terus ke atas kain.

Itu bermakna, lembar kain yang dibeli sudah siap mempunyai sulaman di bahagian yang sering menjadi permintaan orang ramai.

"Sulaman Bukit Tinggi biasanya terkenal dengan ketelitian jahitannya di atas fabrik tidak bercorak. Fabrik yang digunakan pula seperti sifon, organza dan yuriyu.

"Dari segi sulaman ia akan dijahit di bahagian dada dan lengan. Biasanya di dada corak sulamnya lebih sarat. Selalunya, mereka yang bertudung lebih suka meminta tukang sulam menempatkan corak sulaman ke kedudukan bawah sedikit supaya ia tidak terlindung," terang pembekal fabrik sulaman Nurhikmah 99, Mohd. Adree Badri.

Keistimewaan sulaman seperti sulam peniti, sulam pita (reben) dan sulam suji dari Bukit Tinggi adalah ia langsung tidak menggunakan sebarang bantuan mesin.


KAEDAH cucian tangan disyorkan kepada pemilik pakaian ini sekiranya mahu mengekalkan kehalusan sulaman.


"Saya pernah pergi ke Bukit Tinggi dan melihat sendiri cara sulaman ini dilakukan. Semuanya dilakukan dengan cukup kreatif dan klasik kerana setiap pekerja tekun menggunakan tangan sendiri.

"Bagi sulaman peniti, ia dilakukan dengan menggunakan jarum peniti manakala sulam pita menggunakan teknik ikatan reben tanpa sebarang jahitan benang," jelasnya.

Mutu sulaman

Daripada segi harga pula, Adree memberitahu, pelanggan boleh mendapatkan sepasang fabrik berharga serendah RM80 sehingga RM300.

Fabrik yang paling mahal dinilai dari sudut kualiti kain dan tempoh siap sulaman itu. Kadangkala, tempoh sulaman yang cermat boleh mencecah sehingga dua bulan bagi sehelai kain.

Teknik sulam suji pula, beritahu Adree, sulaman dilakukan menggunakan ram (gelung buluh berbentuk bulat) lebih halus, cantik dan kemas.

Teknik sulaman tersebut dipanggil kerancang. Lazimnya, ia dibuat untuk jenis kain yang mahal dan bermutu tinggi seperti sutera.

"Antara corak yang sering disulam adalah motif rebung, merak, burung, bunga mawar, dedaun dan bunga," ujarnya.


KEKEMASAN sulaman Bukit Tinggi tiada tandingan.


Fabrik sulaman sebenarnya boleh disimpan sehingga bertahun-tahun lamanya jika dijaga dengan baik. Selain pemakaian yang berhati-hati, ia lebih baik dibasuh menggunakan tangan. Cara itu penting untuk menjaga kualiti sulaman terutamanya bagi sulaman pita.

Meskipun teknik sulaman pita konsepnya sekadar mengikat reben, Adree belum pernah menerima sebarang rungutan daripada pelanggan mengenai ikatan yang terburai.

"Pelanggan tidak perlu risau tentang cara mencucinya kerana fabrik tersebut tidak perlu dihantar ke dobi untuk cucian kering. Bagi mengekalkan kualiti, cuma perlu rendam seketika sahaja dan kemudian dijemur," jelasnya. - AQMAR ALLADAD

Process time in ms: 63