HIBURAN

Menyelongkar magis Magika

Menyelongkar magis Magika




PANCING mengena. Barangkali itu predikat yang paling sesuai digambarkan buat filem muzikal sulung arahan Edry Abdul Halim, Magika. Menghimpunkan barisan artis terkenal tanah air seperti Mawi, Diana Danielle, Ziana Zain, Aznil Nawawi, M.Nasir, Ning Baizura, Fimie, Maya Karin, Nabil, Norman Hakim dan ramai lagi, Magika nampaknya memang berjaya mengalirkan magis dalam produksi terbitan KRU Studios.

Bukan sekadar bersandarkan kepada barisan artis, sentuhan magis Edry dalam memanipulasi imaginasi yang diselarikan dengan idea kreatif yang diangkat daripada pelbagai watak mitos tempatan telah menjadikan muzikal tersebut satu eksperimen yang sukses.

Hasilnya, dalam tempoh empat hari sahaja, filem muzikal tersebut telah mengutip sebanyak RM1.4 juta – satu pencapaian yang agak memberangsangkan untuk sebuah percubaan baru terutama untuk pasaran perfileman tempatan berbentuk muzikal.

Menurut penerbitnya, Norman Abdul Halim, kutipan yang agak memberangsangkan itu menunjukkan filem bergenre muzikal mempunyai tarikannya tersendiri.

Katanya, Magika mempunyai tarikan untuk keluarga dan remaja kerana faktor-faktor kekeluargaan dan percintaan yang diselitkan dalam filem itu.


NORMAN bangga dengan produk sulung arahan adiknya, Edry yang berjudul Magika.


“Setakat ini memang Magika menerima maklum balas yang positif. Kami juga menjangkakan peningkatan penonton pada hujung minggu. Hujung minggu ini juga merupakan musim ‘lepas gaji’, jadi kami berharap peningkatan penonton menonton Magika akan terus meningkat,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru baru ini.

Pihak KRU Studios sendiri menyasarkan filem yang menelan bajet sebanyak RM2.4 juta itu mampu mencapai kutipan sebanyak RM4 juta. Tidak menyasarkan kutipan yang terlalu tinggi, kata Norman, RM4 juta itu sudah cukup membuat mereka tersenyum lebar.

“Kami menyasarkan kutipan sebanyak RM4 juta untuk filem ini. Ini berdasarkan kutipan awal Magika yang kita peroleh. Jadi pihak kami melihat Magika mempunyai harapan untuk capai sasaran itu.

“Saya menganggap filem ini sebagai filem yang akan menjadi sebuah naskhah malar segar kerana mungkin empat atau lima tahun lagi orang akan mencari filem ini,” katanya.

Berbicara dengan beberapa orang pelakon yang menjayakan muzikal fantasi itu seperti pelakon utamanya, Diana Danielle, pelakon remaja itu yang amat menyukai konsep filem tersebut memberitahu dia berasa kekok sewaktu kali pertama digandingkan bersama Mawi.

Bagaimanapun, perasaan kekok atau kejanggalan tersebut adalah inti kepada keserasian watak yang diperlukan daripada mereka berdua.


KEMUNCULAN barisan artis-artis popular untuk pelbagai watak epik Melayu antara faktor sokongan padu terhadap filem Magika.


“Jujurnya, saya amat segan untuk berganding dengan Mawi. Tak pasti mengapa rasa begitu kekok. Namun kejanggalan yang tercetus antara kami itulah yang perlu diwujudkan dalam jalan cerita ini sebenarnya,” ujar Diana seperti mengisyaratkan bahawa kolaborasi dia dan Mawi sebenarnya boleh dianggap berjaya.

Manakala bagi Mawi yang membawa watak Badang yang merupakan hero muzikal itu, dia juga berasa kekok ketika berlakon bersama Diana atau pemegang watak Ayu.

“Barangkali kerana ini kali pertama kami berganding. Namun lama-kelamaan selepas beberapa hari di lokasi, kami menjadi serasi dan boleh berganding dengan baik,” katanya yang telah mencuba sedaya upaya merealisasikan watak mitos terkenal Badang dengan sebaik mungkin.

Jelas Aznil Nawawi yang membawa watak sebagai Pak Pandir pula, apa yang membuat dia tertarik dengan muzikal tersebut dan bersetuju untuk terlibat sama adalah kerana kelainan dari segi idea dan dialog muzikal yang ‘dimuntahkan’ dalam bentuk lagu.

Menceritakan pengalamannya terbabit dalam produksi hebat itu, kata Aznil, dia telah diserang ulat bulu sewaktu penggambaran dijalankan. Namun dia tetap seronok berlakon dalam Magika.

“Paling saya teruja berlakon dalam Magika ini kerana saya berpeluang membawa karakter lelaki tua muka berkedut dan perut buncit,” ujarnya.


TIGA tunjang utama Magika, (dari kiri) Fimie, Mawi dan Diana.


Katanya: “Walaupun Edry masih baru dalam dunia pengarahan, tetapi saya melihat kualiti Edry sebagai seorang pengarah, setaraf dengan pengarah ternama yang lain.”

Tambah Ziana Zain pula, dia menyukai watak nenek kebayan yang dibawanya walaupun ketika penggambaran itu berlangsung Ziana sedang mengandung lima bulan.

“Masa ditawarkan untuk memegang watak itu, saya diberi kebebasan untuk mewujudkan karakter nenek kebayan versi saya sendiri dengan mengikut jalan cerita yang disediakan,” katanya.

Bagi M. Nasir yang menjadi Penunggu Tasik Chini: “Walaupun watak saya dalam Magika kecil, tetapi watak itu penting untuk muzikal tersebut. Saya katakan watak ini menarik kerana ia perlu bermain dengan gaya percakapan serta mimik muka.”

Rencana Utama!»

'Obama Indonesia' berjiwa rakyat

JOKOWI(kiri) bersama isterinya, Iriana (kanan) selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia.

Pesona!»

Jalani hidup sebagai penghidap kanser

ujian mamogram perlu dilakukan golongan wanita setahun sekali terutama yang berumur 40 tahun ke atas. – Gambar hiasan

Varia!»

Promosi produk Negeri Sembilan

Noorshila (kiri) dan Nurrul Nadia menunjukkan produknya pada Pameran Keusahawan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16