URBAN

Buku bergambar medan ekspresi

Buku bergambar medan ekspresi


SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai bengkel My First Picture Book di Galeri Petronas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


GURU tadika, Au Ting Wei cukup teruja apabila mengetahui tentang penganjuran sebuah bengkel My First Picture Book oleh Galeri Petronas baru-baru ini.

Wanita berusia 31 tahun itu sememangnya penggemar bengkel kerana menganggap ia peluang terbaik untuk mempelajari pelbagai perkara baru.

Justeru, peluang untuk menghadiri bengkel percuma kendalian pelukis terkenal tempatan, Azalan Hussain itu terus disertainya tanpa berfikir panjang.

Ingin memperkayakan pengetahuan tentang penulisan buku kanak-kanak, Ting Wei cukup berpuas hati dengan pelajaran di bengkel yang berlangsung hampir lima jam itu.

Lebih penting, bengkel sehari yang dianjurkan sempena pameran Words+Pictures=Book yang berlangsung di Galeri Bustle, Galeri Petronas sehingga 3 Oktober ini telah membuka matanya.

“Azalan menunjukkan banyak hasil karya penulis dan pelukis buku dari dalam dan luar negara. Hasil-hasil karya mereka sangat menakjubkan. Saya langsung tidak menyangka berpeluang untuk melihat hasil karya seperti itu,” katanya yang turut mengajak lima orang rakan setugas untuk menghadiri bengkel itu bersamanya.


AZALAN seorang yang berpengalaman dalam dunia penerbitan.


Ting Wei yang juga aktif dalam aktiviti bercerita kepada kanak-kanak berpendapat, bengkel seperti itu harus dianjurkan lebih kerap bagi melahirkan bakat-bakat baru dalam penulisan dan penghasilan buku bergambar tempatan.

Medium terbaik

Pencinta buku bergambar kanak-kanak, Chong Bee Shin, 37, pula menyifatkan buku bergambar sebagai medan ekspresi terbaik bagi jalan cerita yang sukar dijelaskan menerusi perkataan.

Keputusan untuk menyertai bengkel itu terus berputik atas minat mendalamnya terhadap kepentingan imej dan warna dalam buku kanak-kanak.

Dia yang juga seorang guru tadika melihat buku bergambar sebagai medium pembelajaran terbaik untuk orang dewasa dan juga kanak-kanak. Buku bergambar lazimnya terdiri daripada pelbagai genre seperti humor dan pendidikan.

Bagi Bee Shin yang berasal dari Pahang, dia telah menghasilkan buku bergambar genre humor pada bengkel yang bermula pada pukul 10 pagi itu.

Dalam bengkel tersebut, semua peserta dikehendaki menghasilkan sebuah buku bergambar kanak-kanak dalam tempoh lima jam. Buku setebal lapan muka surat itu perlu mengandungi jalan cerita yang ringkas dan diceriakan dengan imej-imej menarik.


AZALAN (kiri) berkongsi pengalaman dengan peserta bengkel yang terdiri daripada kanak-kanak.


“Bagi saya, menghasilkan buku kanak-kanak bukan satu perkara mudah. Jadi, bengkel ini memberi saya pendedahan tentang asas penulisan dan lukisan buku tersebut,” jelas Bee Shin yang menunjukkan hasil karyanya kepada murid-murid didikannya selepas bengkel itu berakhir.

Bengkel yang disertai oleh dua kumpulan peserta berbeza iaitu kanak-kanak dan orang dewasa itu nyata memberi cabaran kepada tenaga pengajarnya, Azalan.

Ketika ditemui, Azalan yang juga seorang penerbit buku berkata, matlamat kanak-kanak dan orang dewasa menghadiri bengkel tersebut adalah berbeza.

“Kanak-kanak sekadar ingin melukis tanpa ada tujuan yang jelas. Berbeza dengan orang dewasa. Sebabnya, orang dewasa akan memikirkan jalan cerita dan benar-benar berhasrat untuk menghasilkan sebuah buku,” katanya yang menyifatkan ilustrator buku kanak-kanak tempatan adalah standing bakat dari luar negara.

Menurutnya, Malaysia memiliki ruang perkembangan yang luas dalam dunia penghasilan buku kanak-kanak. Malangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penerbitan buku kanak-kanak tempatan dianggap merudum.


BENGKEL ilustrator buku kanak-kanak diadakan untuk mencungkil bakat baru.


Nama-nama pelukis tempatan seperti Yusof Gajah, Zainuddin Jamil dan Fauziah Kadir dikatakan pernah mempopularkan dunia penghasilan buku kanak-kanak negara pada suatu ketika dahulu. Namun, perkembangan mendadak dalam industri buku kanak-kanak di beberapa negara Asia lain seperti Filipina, Indonesia dan Thailand telah menenggelamkan bakat-bakat tempatan.

Azalan yang berpengalaman dalam dunia penerbitan juga memberitahu, pemikiran penulis dan ilustrator dalam dunia penghasilan buku bergambar kanak-kanak tidak harus dihadkan. Bagi memajukan semula industri itu, pihak penerbit perlu berani untuk menerbitkan karya-karya baru yang diilhamkan oleh kanak-kanak di Malaysia.

“Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun lalu, cita rasa kanak-kanak terhadap buku tetap sama. Kanak-kanak ada sifat spontan dan akan memilih buku yang disukai.

“Jadi, anak perlu diberi untuk memilih buku yang ingin dibaca sendiri biarpun buku itu sudah dimiliki, orang dewasa harus biarkan saja. Dengan cara ini, kita dapat menggalakkan anak membaca kerana dengan adanya permintaan dan minat ini, industri buku kanak-kanak tempatan akan diberi nafas baru,” tambahnya.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 47