TERKINI
Pakar pelancongan kongsi ilmu di WTC 2010
KUALA LUMPUR — Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) ke-empat yang akan berlangsung di Kota Kinabalu Sabah Isnin ini akan mendedahkan rahsia kejayaan destinasi pelancongan dan pertubuhan-pertubuhan yang terbabit dalam industri pelancongan, yang boleh diterima pakai bagi menjana pendapatan dan memacu pertumbuhan dalam industri tersebut.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata idea-idea yang dibentangkan di persidangan itu juga akan dapat meningkatkan pembangunan produk-produk pelancongan inovatif dan memperkenalkan strategi-strategi baru pemasaran, yang boleh menjadi rujukan buat sektor awam dan swasta untuk menggembleng dan memaksimakan potensi pelancongan.
Beliau berkata, persidangan itu akan menghimpunkan pemimpin-pemimpin tersohor dalam bidang pelancongan, pembuat dasar peringkat tinggi, dan juga kumpulan pakar dari sektor swasta dan awam yang akan menyumbang idea yang tidak ternilai di samping memberi bimbingan demi pembangunan sektor pelancongan.
"Ia direka untuk membolehkan mereka yang terlibat dalam industri ini berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai trend terkini, inovasi, inisiatif kerajaan dan juga kisah-kisah kejayaan mereka,” katanya dalam satu persidangan akhbar di sini hari ini.
Katanya persidangan yang diadakan buat kali kedua di Malaysia itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Lembaga Pelancongan Sabah dan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO).
Ng berkata persidangan di Magellan Sutera, Kota Kinabalu, tahun ini dijangka akan dihadiri oleh 473 perwakilan dari 43 negara, yang termasuk 11 Menteri dan timbalan Menteri.
Persidangan yang bertemakan “Tourism Success Stories and Rising Stars” itu akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu majlis yang juga akan dihadiri oleh Setiausaha Agung UNWTO Taleb Rifai.
Persidangan itu diadakan buat kali pertama di Manila, Filipina pada tahun 1980, diikuti dengan Acapulco, Mexico pada 1982, dan ia terhenti selama 25 tahun sebelum diadakan semula pada 2007 di Kuala Lumpur. — Bernama
Varia!»

Generasi kelima tumbuk kalang
KEUNIKAN persembahan tumbuk kalang perlu dipertahankan dan diteruskan oleh anak-anak muda zaman ini.





Silinder komposit hanya 4.7kg

