VARIA

Geran Pendidikan 1Malaysia

Geran Pendidikan 1Malaysia


TAJUDDIN (empat dari kanan) bersama wakil dari MIC, MCA dan UMNO yang menyumbangkan Geran Pendidikan 1Malaysia pada majlis pelancaran sumbangan Geran Pendidikan 1Malaysia di TAJ International College baru-baru ini.


SERAMAI 2,500 lepasan sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Ipoh, Kolej Antarabangsa Taj bakal menerima manfaat Geran Pendidikan 1Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini.

Menerusi geran berjumlah RM500,000 yang disumbangkan lima organisasi iaitu Pemuda UMNO Perak, Puteri UMNO Perak, Pemuda MIC Perak, Pemuda MCA Perak dan Yayasan Bina Upaya, setiap pelajar yang layak berpeluang mendapat pengecualian yuran pendaftaran sebanyak 50 peratus.

Pengerusi Kolej Antarabangsa Taj, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, peruntukan geran berkenaan bukan sahaja meringankan beban keluarga pelajar terlibat tetapi juga memberi sebanyak mungkin peluang kepada pelajar berkelayakan melanjutkan pengajian.

"Walaupun kolej ini dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera, kita sentiasa mencari jalan membuka peluang seluas-luasnya kepada semua kaum untuk melanjutkan pelajaran.

"Geran Pendidikan 1Malaysia yang disumbangkan lima organisasi mewakili kaum utama di negara termasuk yayasan kebajikan milik penuh kerajaan negeri Perak ini akan membantu golongan miskin tegar untuk meningkatkan taraf mereka melalui pendidikan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Geran Pendidikan 1Malaysia di kampus kolej berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa Taj, Tina Tajuddin; Ketua Pemuda UMNO Perak, Maslin Sham Razman; Ketua Puteri UMNO Perak, Salbiah Mohamed dan Ketua Eksekutif Yayasan Bina Upaya, Khairul Azwan Harun.

Menurut Tajuddin, IPTS yang beroperasi sejak 12 tahun lalu itu berjaya melahirkan lebih 5,000 graduan dalam pelbagai bidang. Lebih membanggakan, ia menjadi tumpuan pelajar bukan Melayu untuk melanjutkan pengajian.

"Buat masa ini, kita mempunyai lebih 900 pelajar yang terdiri daripada 50 peratus Melayu, 35 peratus India manakala bakinya pelajar Cina," katanya.

Dalam pada itu, Tina memberitahu, setiap pelajar yang layak menerima peruntukan geran terbabit hanya perlu melunaskan RM200 iaitu baki 50 peratus yuran pendaftaran yang ditetapkan semasa mendaftar.

"Semua pelajar berkelayakan dan telah mendapat tempat di kolej ini layak memohon pinjaman pelajaran daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Geran Pendidikan 1Malaysia ini juga merupakan sebahagian bukti keprihatinan kerajaan dan organisasi terlibat terhadap pendidikan rakyat," katanya.

Tina berkata, peluang yang ditawarkan itu perlu direbut oleh setiap lepasan sekolah di seluruh negara untuk melanjutkan pengajian di Kolej Antarabangsa Taj.

Pada masa yang sama, Kolej Antarabangsa Taj menawarkan peluang kedua kepada pelajar yang tidak layak ke institusi pengajian tinggi yang lain.

Kolej Antarabangsa Taj pada masa ini menawarkan pengajian pada peringkat sijil dan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, pengurusan automotif, perakaunan serta pengurusan sumber manusia.

Pengajian peringkat ijazah dijangka bermula pada tahun depan.

Process time in ms: 15