SUKAN

Chelsea malu besar

Chelsea malu besar


TEVEZ meraikan jaringannya pada pertemuan menentang Chelsea malam tadi. Manchester City menang 1-0.


LONDON – Rekod bersih Chelsea dalam kempen Liga Perdana England akhirnya tercalar.

Semuanya gara-gara kekalahan 0-1 kepada Manchester City di Stadium Manchester of City malam tadi.

Sebelum perlawanan bermula, Chelsea tampil dengan reputasi tinggi apabila mencipta lima kemenangan berturut-turut serta merekodkan 21 gol.

Beberapa pasukan kerdil seperti West Bromwich Albion, Wigan Athletic, Blackpool, West Ham United, Stoke City menjadi mangsa belasahan skuad The Blues itu.

Bagaimanapun, aksi Chelsea ketika berdepan dengan skuad bimbingan Roberto Mancini itu ibarat pertembungan buku bertemu ruas.

Segala-galanya seperti tidak menjadi buat barisan kendalian Carlo Ancelotti itu sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Carlos Tevez sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ buat Chelsea apabila dia meledak gol kemenangan City pada minit ke-59.

Sementara itu, Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada West Bromwich di Stadium Emirates.

Peter Odemwingie, Gonzalo Jara dan Jerome Thomas masing-masing menyumbang satu gol buat West Bromwich manakala perancang Arsenal, Samir Nasri meledak dua gol.

Liverpool pula terus dirundung malang apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 dengan Sunderland di Anfield.

Darrent Bent menjaringkan dua gol buat pasukan pelawat sementara dua gol Liverpool dihasilkan menerusi Dirk Kuyt dan Steven Gerrard.

Tottenham Hotspur turut kempunan mencipta kemenangan apabila tewas 0-1 kepada West Ham hasil jaringan tunggal Frederic Piquionne di Upton Park.

– Agensi

Process time in ms: 63