URBAN

Hanya produk buatan sendiri

Hanya produk buatan sendiri




LALUAN ke pintu masuk pusat beli-belah, Plaza Shaw Parade di Changkat Thambi Dollah, melalui Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada petang itu cukup sempit dan sesak. Terus-terang, itu bukan satu pemandangan yang dijangka, memandangkan pusat beli-belah itu hampir dilupakan oleh kebanyakan warga kota.

Namun, semua itu sebenarnya tidak penting kerana ada sebab mengapa suasana di pusat beli-belah itu tiba-tiba bertukar meriah. Sekilas pandang, lokasi itu seakan-akan pasar dengan meja-meja pameran yang dipenuhi aneka kraftangan.

Daripada lukisan-lukisan kanvas, hasil kraftangan tanak liat, poskad, anting-anting sehinggalah produk makanan seperti jem. Semuanya melengkapkan kriteria produk buatan sendiri yang telah ditetapkan oleh bazar itu.

Di sebuah meja pameran, pelbagai cincin aneka warna berjaya mencuri perhatian. Setiap bentuk cincin yang rata-ratanya bersaiz duit syiling 50 sen itu diperbuat daripada butang dan fabrik aneka warna serta motif.


WALAUPUN baru kali pertama menyertai Bazar Seni Kaka, Kamariah (kiri) cukup berpuas hati dengan respons pengunjung terhadap hasil karyanya.


Perekanya, Ling Ooi, 27, berkata, hampir kesemua kraftangannya dihasilkan menggunakan barangan terpakai. Cincin-cincin yang menarik perhatian itu juga dihasilkan daripada lebihan cebisan fabrik dan tali pemegang beg kertas.

“Saya menggunakan sumber yang boleh dikitar semula untuk mengelak pembaziran. Cebisan fabrik ini diperoleh daripada kain-kain yang digunakan untuk menghasilkan baju,” katanya yang menghasilkan pelbagai aksesori feminin termasuk anting-anting.

Sejak dua tahun lalu, Ling mula ‘menjaja’ hasil kraftangannya dari satu butik ke butik yang lain sebelum mengambil bahagian dalam bazar seni. Hasrat untuk melihat ramai wanita memakai aksesori buatannya telah mendorong wanita kelahiran Kuala Lumpur itu mengambil keputusan menyertai Bazar Seni Kaka di Shaw Parade baru-baru ini.

Ling berpendapat, bazar seumpama itu membolehkan ramai bakat seni baru berinteraksi sesama pencinta seni yang lain.

Bapanya, Ooi Hong Sin yang berusia dalam lingkungan 50-an turut berada di bazar itu. Sebenarnya, selain memberi sokongan kepada anak perempuannya, Hong Sin ada tugas lain yang lebih penting iaitu memperkenalkan ‘hasil tangan’ isterinya.

Sibuk memperkenalkan jem homemade aneka rasa dan kurang gula kepada pengunjung, dia turut memuji usaha pihak penganjur bazar-bazar seni seumpama itu. Hakikatnya, penyertaan Hong Sin dalam bazar tersebut adalah atas sokongan anaknya.

Jem buatan sendiri


PATUNG-PATUNG buatan tangan membawa identiti unik.


Berkongsi gerai dengan Ling, Hong Sin berkata, peserta lazimnya menjadikan bazar seperti itu sebagai satu platform yang membuahkan hasil positif. Buktinya, produk jem buah-buahan keluarga Ling itu turut menerima sambutan yang cukup memberangsangkan.

“Pada awalnya, mak cuma buat jem ini untuk bapa kerana bapa suka jam tetapi tidak boleh makan jem yang terlalu manis.

“Tak sangka pula, jem ini disukai oleh pengunjung,” cerita Ling.

Pengurus Bazar Seni Kaka, Tuna Lim yang ditemui memberitahu, idea untuk memperkenalkan bazar itu tercetus selepas satu lawatan beliau ke Taiwan kira-kira lima tahun lalu.

Di Taiwan, penganjuran bazar-bazar seni seperti itu adalah satu perkara biasa. Usaha tersebut dipopularkan oleh pihak-pihak penggiat seni yang berhasrat untuk meningkat dan menggalakkan perkembangan positif dunia kreativiti seni kraftangan tempatan.

“Ruang pameran bazar di Taiwan itu adalah dua kali ganda lebih luas dan besar daripada di Shaw Parade.

“Ini jelas menunjukkan penerimaan dan penghargaan masyarakat tempatan terhadap bakat-bakat kreatif di negara tersebut,” katanya memberitahu Bazar Seni Kaka dimulakan sejak bulan Jun 2010.

Walaupun baru kali keempat diadakan, Tuna mengakui menerima banyak permintaan daripada peserta gerai yang berminat. Namun, disebabkan ruang legar yang terhad di Shaw Parade, dia terpaksa mengecewakan sebilangan besar peniaga berpotensi.

Kongsi pengalaman


PARA peserta juga berpeluang untuk berkongsi cerita tentang hasil karya mereka.


Buat masa ini, lokasi pameran bazar itu hanya mampu menampung maksimum 30 buah gerai. Selain membolehkan para peserta mempamerkan hasil kraftangan untuk dijual, mereka juga berpeluang berkongsi pengalaman berkarya mengikut slot yang dijadualkan.

“Melalui cara ini, para peserta boleh mendekati pengunjung dan mengenali hasil karya masing-masing secara mendalam,” tambah Tuna.

Menurutnya, nama Kaka dipilih tanpa ada makna spesifik. Sebaliknya, ia sekadar memudahkan pengunjung untuk mengingati bazar tersebut. Malah, selain pameran hasil-hasil seni dan kraftangan, pihak penganjur, Purple Cane Holdings Sdn. Bhd. turut menyelitkan persembahan daripada buster bagi memeriahkan suasana di ruang pameran.

Meskipun menerima permintaan untuk mengadakan bazar itu lebih kerap, Tuna ada sebab mengapa cadangan tersebut belum mampu dilaksanakan.

“Buat masa ini, bazar hanya diadakan pada hari Sabtu pertama dalam setiap bulan.

“Jadi, jarak masa sebelum bazar seterusnya membolehkan para peserta menyediakan hasil produk mereka,” jelasnya sambil memberitahu kebanyakan peserta mempunyai pekerjaan sepenuh masa.

Kamariah Jasmani dan rakannya, Hamifaizal Mohsin adalah antara peniaga yang pertama kali menyertai Bazar Seni Kaka. Biarpun memiliki pekerjaan sepenuh masa sebagai pereka dalaman dan pereka animasi, mereka tidak ketinggalan mempamerkan hasil karya seni masing-masing untuk tatapan umum. Jika bertuah, hasil karya yang dibawa mungkin dibeli oleh mereka yang tahu menghargainya.


BAZAR Seni Kaka masuk kali keempat dianjurkan di Shaw Parade, Kuala Lumpur.


Bakat kreatif

Bagi Hamifaizal yang menghasilkan subjek figura pada papan, Malaysia memiliki ramai bakat kreatif yang berpotensi untuk berkembang jauh. Malangnya, ketiadaan platform pendedahan di bazar-bazar seumpama itu lebih sedekad lalu telah mengehadkan peluang golongan penggiat seni untuk berinteraksi lebih dekat dengan pengunjung.

Perkara itu diakui oleh Kamariah yang telah membawa 15 buah ilustrasi burung hantu untuk dijual. Berharga RM20 setiap satu, hasil karya Kamariah berjaya menarik perhatian golongan ibu bapa.

“Lazimnya, pengumpul seni yang membeli ilustrasi burung hantu saya. Tetapi, ada juga sesetengah ibu bapa membelinya. Selepas itu anak-anak mereka boleh berlatih mewarna menggunakan ilustrasi ini,” katanya mengenai hasil karya yang berwarna hitam putih itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bazar Seni Kaka, sila hubungi talian 012-3020508 atau layari laman web http://www.kaka.my.

Rencana Utama!»

Barang terbuang jadi sumber pendapatan

Uncle Chang’s Dive Lodge merupakan resort pertama melaksanakan inisiatif hijau di Pulau Mabul, Semporna, Sabah.

Process time in ms: 47