RENCANA UTAMA

Jonggol kota masa depan

Jonggol kota masa depan




JONGGOL merupakan sebuah penempatan sederhana di peta Pulau Jawa, Indonesia dengan kawasan perumahan beratap merah tersusun rapi secara berkelompok di celah-celah dusun pisang dan kilauan takungan sawah padi.

Penempatan mendamaikan dan menyegarkan itu tidak mempunyai pembangunan pesat seperti bandar-bandar utama dunia malah hanya terdapat beberapa bangunan satu tingkat yang menghiasi muka buminya.

Bagaimanapun, dengan keadaan sedemikian rupa, Jonggol yang terletak di daerah Bogor kemungkinan ditakdirkan untuk mengalami transformasi hebat pada masa hadapan.

Ibu negara Indonesia, Jakarta yang mempunyai kepadatan penduduk mencecah kira-kira 9.59 juta kini menjadi semakin sesak dengan penduduk.

Ia yang terletak dalam kawasan zon gempa bumi juga terdedah kepada masalah banjir dan infrastruktur tidak tersusun.

Kini, Jonggol merupakan satu daripada lokasi sedang dalam pertimbangan untuk dibangunkan sebagai pusat pentadbiran baru menggantikan Jakarta tetapi ia dijangka melibatkan peruntukan puluhan bilion ringgit.

Perkhabaran gembira tersebut secara tiba-tiba menjadi perhatian utama di kalangan penduduk setempat. Ini mungkin disebabkan Jonggol hanya mempunyai beberapa buah bangunan satu tingkat dan infrastruktur paling hampir dengan pencakar langit merupakan bangunan setinggi empat tingkat.

Berubah jadi bandar raya

"Anda boleh mengatakan Jonggol adalah sebuah perkampungan. Saya berharap mereka akan mengubahnya menjadi bandar raya kelak," kata seorang penduduk tempatan, Annur.

"Saya tidak keberatan jika Jonggol menjadi ibu negara Indonesia kerana ia akan menukar kawasan ini menjadi lebih hidup dan cantik berbanding sekarang," ujarnya.

Selama bertahun-tahun, pembangunan Indonesia ketinggalan berbanding negara China dan India akibat dibelenggu beberapa masalah seperti infrastruktur, rasuah dan prosedur yang bercelaru.


KEPADATAN penduduk di Jakarta menyebabkan wanita ini dan keluarganya tinggal di bawah jambatan.


Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah menyuarakan cadangan memindahkan pusat pentadbiran ke tempat lain beberapa bulan lalu. Awal bulan ini pula, beliau telah menyarankan agar perbelanjaan lebih besar bagi membangunkan infrastruktur.

Pembangunan tersebut termasuk membina 14 lapangan terbang baru, jalan raya dan laluan kereta api bagi menarik lebih ramai pelabur asing sekali gus meningkatkan ekonomi negara berkenaan.

"Kerajaan sangat serius apabila mencadangkan projek pemindahan pusat pentadbiran itu," kata penasihat Susilo, Velix Wanggai kepada Reuters.

"Bagi Presiden, tidak ada perkara aneh apabila melihat kemungkinan ibu negara dipindahkan kerana Jakarta dibelenggu masalah perbandaran, risiko bencana alam dan kesan pencemaran alam sekitar juga amat besar," katanya.

Sebagai pusat ekonomi terbesar di Asia Tenggara dan menganggotai kumpulan G20, Indonesia bersungguh-sungguh dalam meningkatkan tampang sisinya di persada antarabangsa.

Jakarta mempunyai harapan yang tinggi untuk bersama-sama menyertai kelompok negara pasaran elit BRIC (Brazil, Rusia, India dan China), sekali gus diberi penarafan sebagai pusat pelaburan utama.

Selain itu, Jakarta juga ingin mengurangkan angka sifar dalam mata wang mereka agar segala urus niaga tidak kelihatan seperti negara dunia ketiga dengan meningkatkan kedudukan rupiah di pasaran antarabangsa.

Sebagai ibu negara baru, Jonggol boleh membawa kemajuan kepada Indonesia sekiranya mempunyai perancangan dan infrastruktur dirancang penuh teliti. Sebagai contoh, Brasilia yang kaya dengan seni bina Oscar Niemeyer.

Bagi mendapat gambaran mengenai kecelaruan infrastruktur Jakarta, lihat sahaja Lapangan Terbang Sukarno-Hatta yang menjadi pintu masuk udara negara itu.

Pada waktu puncak, orang ramai yang berbaris di kaunter visa dan imigresen lapangan terbang berkenaan boleh mencecah sehingga beratus meter panjangnya.

Bahkan, pada waktu tertentu penumpang-penumpang terpaksa menunggu sehingga tiga jam semata-mata ingin mengambil bagasi masing-masing.

Apabila memandu di tengah kota Jakarta, pemandangan deretan pusat membeli-belah dibangunkan di antara kawasan miskin, kotor dan tidak tersusun dapat dilihat dengan jelas.

Lebih memburukkan keadaan, trafik pula hanya mampu bergerak pada kelajuan di antara 15 dan 20 kilometer (km) satu jam, manakala masalah banjir merupakan lumrah ketika musim tengkujuh.

Pelaburan besar

"Apa sahaja yang mampu mengurangkan kesesakan di Jakarta sangat dialu-alukan. Jadi, langkah memisahkan pusat komersial dengan pusat pentadbiran kerajaan adalah langkah yang sangat positif," kata Pakar Ekonomi Serantau ING, Tim Condon.

"Bagaimanapun, ia adalah pelaburan yang amat besar. Biasanya, langkah tersebut didorong pertimbangan politik berbanding ekonomi iaitu untuk membangun dan memajukan bahagian lain di negara itu.


SEORANG wanita mencuci pakaian di sebuah sungai yang tercemar di kota Jakarta.


"Adakah ia akan memberi faedah dalam meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan kesesakan di Jakarta?" soalnya.

Pemilihan lokasi juga boleh menimbulkan persoalan terhadap dasar kerajaan dan mencetuskan rasa cemburu rakyat di negara yang mempunyai pelbagai etnik serta agama itu.

Daripada lebih 17,000 pulau, Pulau Jawa yang menjadi pusat kebudayaan dan didiami 58 peratus warga Indonesia masih menjadi pilihan kerajaan.

"Pulau Jawa terus menjadi pentadbir bagi Indonesia," kata Condon. "Jadi idea meletakkan pusat pentadbiran di luar Pulau Jawa adalah langkah radikal."

Pada awalnya, Jonggol dicadang untuk dibangunkan oleh bekas presiden, Suharto, yang meminta seorang daripada anaknya membangunkan bandar satelit untuk dijadikan ibu negara baru.

Kini, antara pemaju hartanah utama di kawasan tersebut termasuklah Ciputra dan Kumpulan Bakrie.

Kumpulan Bakrie dan unit hartanahnya, Bakrielan Development, adalah milik keluarga Pengerusi Golkar, Aburizal Bakrie yang merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan pada hari ini. Beliau khabarnya bercita-cita menjadi presiden pada masa depan.

Dua firma pembinaan utama negara republik berkenaan, PT Wijaya Karya dan PT Adhi Karya dijangka memperoleh banyak faedah jika pembangunan bandar baru dijalankan kelak.

Dalam pada itu, turut dipertimbangkan sebagai lokasi pusat pentadbiran baru Indonesia ialah Malang di Jawa Timur, selain Palangkaraya dan Jayapura yang terletak di luar Pulau Jawa, kata Wanggai.

Palangkaraya di Pulau Borneo pernah menjadi pilihan bekas Presiden, Sukarno sebagai ibu negara kerana kedudukannya berada di luar lingkaran gempa bumi di pusat kepulauan Nusantara.

Sementara itu, Jayapura yang terletak di Papua kaya dengan sumber alam semula jadi mempunyai peluang agak tipis untuk dipilih.

Selain bahan galian, balak dan simpanan bahan bakar, Papua kekal menjadi satu daripada wilayah termiskin di Indonesia.

Membangunkan ibu negara di situ bakal mencipta peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur, selain membawa masuk etnik Jawa serta lain-lain malah berpotensi melemahkan majoriti Papua sekali gus menimbulkan perasaan tidak puas hati.

Projek mega

Pelaksanaan projek mega itu bakal menelan kos berpuluh bilion ringgit wang pembayar cukai malah akan membuka ruang kepada aktiviti spekulasi pasaran hartanah.

"Saya rasa tidak ada contoh terbaik. Saya tidak fikir ia langkah terbaik memilih haluan berkenaan," kata Ketua unit pelaksana Susilo, Kuntoro Mangkusubroto.

Antara contoh pemindahan pusat pentadbiran yang berjaya dapat dilihat di Astana, Kazakhstan yang menelan kos RM37.3 bilion.

Pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya pula dibina 25 kilometer (km) arah selatan Kuala Lumpur dengan kos mencecah RM11.83 bilion.

Bagaimanapun, di Malaysia, ketika kerajaan dan penyokongnya menganggap Putrajaya yang mempunyai seni bina Islam sebagai simbol kemajuan negara, pengkritik menganggapnya projek gajah putih.


PUSAT Pentadbiran baru di Astana, Kazakhstan menelan kos RM37.3 bilion.


Sementara itu, pusat pentadbiran baru Korea Selatan, Sejong, dijangka menelan kos RM59.7 bilion dan sebahagian besar ditanggung syarikat pemaju negara berkenaan.

Sebahagian besar daripada kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Strategi dan Kewangan penuh berpengaruh, akan berpindah ke bandar raya baru iaitu 150 km di selatan Seoul.

Pemindahan berkenaan dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar raya berkenaan.

"Saya tidak melihat banyak faedah yang ketara daripada pemindahan pusat pentadbiran Indonesia," kata pakar ekonomi serantau CIMB Research, Song Seng Wun. - NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Rencana Utama!»

Kehamilan berakhir dengan pengguguran

KLINIK swasta di Hanoi menyediakan perkhidmatan menggugurkan bayi secara terbuka di premis mereka.

Pesona!»

Senaman tingkat stamina kanak-kanak

Persekitaran, susun atur dan peralatan yang digunakan dalam gimnasium Zac & Zibbo direka khas untuk keselesaan kanak-kanak.

Varia!»

Jutawan bumiputera Phyto Science

NUR FAZLIN FAHSYA (dua dari kanan) bersama rangkaiannya, Mkrich88 menjana pendapatan menerusi produk keluaran Pyhto Science.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16