HIBURAN

Sosilawati periang, pemurah

Sosilawati periang, pemurah


SOSILAWATI (tengah) pada majlis hari jadi Roslan yang ke-39 yang diraikan di Restoran Cerana, Cheras, tahun lalu.


MATI dipukul, ditikam, dibakar, disembelih. Biarlah apa sahaja perkataan digunakan oleh media massa bagi mensensasikan berita mengenai misteri kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiyah yang dikatakan telah dibunuh, namun bagi aktres Lydiawati, dia percaya sahabat baiknya itu masih hidup!

Sementelah, ujian DNA yang dikatakan akan diketahui hasilnya dalam masa terdekat ini belum lagi mengesahkan segala bahan bukti, khususnya sejumlah serpihan tulang yang ditemui di lokasi Sosilawati dikatakan mati dibunuh di Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Banting, Selangor itu milik pengasas syarikat kosmetik Nouvelles Visages itu.

Turut dikatakan dibunuh di lokasi sama ialah peguam peribadi Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, pemandunya, Kamarudin Shansudin dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad.

“Saya percaya Sosilawati masih hidup dan mungkin sekarang ini dia masih dikurung dan disorok di mana-mana lokasi dan berada dalam keadaan penuh terseksa,” luah Lydiawati dalam suara sebak menerusi talian telefon. Kali terakhir Lydiawati berhubung dengan Sosilawati adalah menerusi telefon dalam minggu kedua Ramadan lalu.

Menurut pelakon filem Suami, Isteri dan... itu hatinya masih berat untuk menerima bahawa sahabat yang dikenali sejak sekian lama itu sudah tiada lagi di dunia ini.

“Saya boleh terima Sosilawati sudah tiada di alam kehidupan ini jika dibuktikan oleh jasadnya yang tidak bernyawa tetapi dalam keadaan sekarang ini, saya yakin dia belum mati!,” tuturnya lagi.

Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Zaimon yang diberi tangungjawab menguruskan majlis tahlil di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, Selangor sejak lima hari lalu dalam pada itu menegaskan: “Biar media massa melaporkan sahabat saya itu mati disembelih, dibakar dan sebagainya, namun ia semakin menguatkan semangat saya untuk percaya dia masih bernyawa.”

Namun Lydiawati akur sekiranya terbukti nyawa Sosilawati sudah tiada.

“Jika terbukti dia sudah tiada lagi di dunia ini, saya dan anak-anak Sosilawati khususnya akan menerimanya dengan reda,” ucapnya sebelum kedengaran seperti sedang menangis.

Kesuraman yang aneh

Seorang lagi artis yang rapat dengan Sosilawati, pelakon dan penerbit drama, Rosnah Mohd. Noor pula mengakui setiap kali dia bangkit daripada tidur, benda pertama yang muncul dalam visualnya sekarang ini adalah kelibat Sosilawati.

“Ia berlaku seperti sekelip mata, sungguh saya tidak percaya sahabat saya itu sudah tiada lagi,” ujarnya yang mengenali Sosilawati kira-kira 12 tahun lalu sebelum dia menjadi pengusaha Nouvelles Visages lagi.

Menurut Rosnah yang merupakan salah seorang stokis produk Nouvelles Visages, Sosilawati merupakan seorang yang periang dan merendah diri.

“Dia tidak pernah membezakan dirinya yang sudah bergelar jutawan dengan kami,” katanya yang biasa menghabiskan masa senggang dengan Sosilawati bersama rakan-rakan artis termasuk Lydiawati, Ifa Raziah dan Roslan Shah di Hotel The Zon All Suites Residence, Jalan Ampang, selain Restoran Pelita dekat KLCC.

“Sosilawati seorang wanita yang gigih dan sentiasa bercita-cita tinggi dalam meluaskan empayar bisnesnya. Dia pernah kata kepada saya dia mahu buat pelaburan masa depan dalam bisnes besar. Saya sedih sekali, begini malang nasib yang menimpa sahabat saya itu,” luahnya.

Rosnah cukup terkilan apabila dia tidak sempat bertemu dengan sahabatnya itu pada 30 Ogos lalu iaitu tarikh Sosilawati dikatakan pergi ke Banting, Selangor bagi urusan jual beli tanah.

“Pada 30 Ogos itu, saya datang ke ibu pejabat Nouvelles Visages di Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi untuk mengambil produk bagi outlet saya di Keramat.

“Saya dapat tahu dia akan datang ke pejabat itu pada sebelah petang. Cuma saya berasa agak aneh apabila keadaan di pejabat itu yang agak lenggang, kosong dan suram, sedangkan kalau selalunya saya datang, suasana di situ agak hiruk-pikuk serta penuh dengan longgokan produk Nouvelles Visages. Adakah itu sebagai petandanya?” soal Rosnah dalam nada penuh emosi.


IFA menyifatkan Sosilawati sebagai mentornya dalam dunia perniagaan.


Ifa Raziah tidak ketinggalan berkongsi emosi lukanya. Sementelah mengenali Sosilawati sejak sedekad yang lalu, kata figura yang terkenal dengan lagu-lagu dangdutnya itu, Sosilawati yang dikenalinya merupakan seorang yang cukup ceria.

“Dia seorang yang wanita yang tidak kisah untuk berjuang sampai mati dan dia tidak mudah tunduk kepada lelaki,” akuinya.

Dedah rahsia

Ifa yang turut menceburi bisnes produk kecantikan menegaskan bekas isteri penyanyi Nash atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias itu merupakan mentor dirinya dalam mencapai kejayaan.

“Dia tidak lokek berkongsi ilmu kejayaan, biarpun saya memasarkan produk kecantikan yang bersaing dengan produknya. Malah, dia menggalakkan saya berusaha mencapai kejayaan yang sama dan tidak kisah kalau saya mengatasinya – itu yang saya kagum dengan dia. Dan saya cukup terkilan dengan apa yang menimpa dia, kenapa ini harus terjadi kepadanya?” soal Ifa.

Berkongsi momen bersama Sosilawati yang paling tidak akan dilupakan olehnya ialah pada hari pertama dia menjalankan tugas sebagai hos program Wanita Hari Ini di TV3 iaitu pada 3 Januari, 2008.

“Sudahlah itu hari pertama saya ditugaskan sebagai hos program TV, saya hanya tahu saya akan menemu bual Sosilawati lima minit sebelum program itu bermula. Justeru, soalan yang dilontarkan oleh saya kepada Sosilawati semuanya secara spontan.

“Ketika itu dia sedang hangat dengan kes pergolakan rumah tangganya bersama Nash, saya terus ajukan soalan-soalan kontroversi berkaitan hal itu.

“Tapi, dia menjawab segala soalan saya dengan penuh profesional biarpun dia juga tidak mengetahui saya yang akan menemu bual dia. Itulah saat yang paling tidak dilupakan kerana saya sebagai sahabatnya terpaksa menggali isi hatinya menerusi program TV yang ditonton jutaan penonton itu. Dan selepas program itu habis, dia tidak pula mengambil hati dengan saya,” ujar Ifa.


ROSNAH MOHD. NOOR


Dalam pada itu, penyanyi Roslan Shah pula mendedahkan ‘rahsia’ yang dikongsinya bersama Sosilawati selama ini.

“Selama empat tahun berturut-turut dari 2006 hingga 2009, dia telah menaja majlis hari jadi saya yang diraikan setiap 17 November.

“Saya bukan mahu bermegah tetapi saya cuma terharu dengan dia yang sudi menaja majlis hari jadi saya saban tahun sejak empat tahun sebelum ini. Dia suka menghabiskan masa senggang dengan saya, Ifa, Rosnah dan Lydiawati dari pukul 2 hingga 4 pagi kerana itulah cara dia dan kami melepaskan ketegangan selepas seharian sibuk dengan kerja masing-masing.

“Dia paling gemar mendengar saya mendendangkan lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Pelangi Petang. Lagu itu cukup dekat dengan emosinya,” ungkap Roslan yang menyeru supaya sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan tragedi yang sama berlaku terhadap Sosilawati itu menimpa orang lain.

Biarpun masih tidak boleh menerima musibah yang melanda Sosilawati, Roslan dalam nada cukup terkilan menyeru supaya pihak berwajib menghukum pihak yang bertanggungjawab dengan hukuman yang sewajarnya.

Varia!»

Baju baharu pada 1 Syawal

JASLEEN dan Kirpal (berdiri belakang dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julaina dan Bob Komando serta anak-anak mereka di Gulati's, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15