HIBURAN

Gadis Melayu 3 tiada penyingkiran

Gadis Melayu 3 tiada penyingkiran


KELAINAN. Barisan sembilan peserta Gadis Melayu musim ketiga ini bakal bersaing pada peringkat final.


RANCANGAN realiti TV Gadis Melayu yang berteraskan nilai-nilai tradisional sebagai lambang tamadun dan warisan bangsa Melayu kini kembali lagi di TV9 untuk musim ketiga.

Masih berdiri kukuh dengan idea asal program dua musim sebelum ini, Gadis Melayu musim ketiga itu bagaimanapun diberi suntikan elemen tradisional dan kontemporari serta kandungan yang lebih menarik, informatif dan penuh kejutan.

Itu yang akan menjadi landasan buat para peserta musim baru ini berpegang, sekali gus bertarung merebut posisi juara. Lebih menarik, pertarungan musim ini tidak akan menyaksikan penyingkiran kerana pihak produksi berpendapat setiap peserta yang terbabit mempunyai hak untuk diadili sehingga akhir program tersebut.

“Kelainan yang ditampilkan dalam musim ketiga ini ialah tidak akan ada penyingkiran sehingga episod akhir. Ini kerana kami berpendapat, semua peserta yang bertanding mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Jadi jika ada yang tersingkir seawal minggu pertama, ia seperti tidak memberi peluang atau hak untuk mereka menonjolkan apa yang ada dalam diri mereka,” jelas Penerbit Eksekutif Gadis Melayu 3, Wan Sabariah Shikh Ali, sewaktu sidang media memperkenalkan barisan peserta program tersebut.

Telah memulakan episod sulungnya pada Jumaat minggu lalu pukul 9 malam, Gadis Melayu 3 juga hanya akan dibarisi oleh sembilan gadis sahaja, berbanding 12 peserta pada musim terdahulu.

Menjalankan uji bakat terhadap gadis berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun di Kota Bharu (Kelantan), Johor Bahru (Johor), Sungai Petani (Kedah), Shah Alam (Selangor) dan Sri Pentas, kata Wan Sabariah lagi, para peserta perlu bersedia untuk meniti proses pembelajaran dan pendedahan aspek-aspek fizikal dan kerohanian yang membentuk nilai kemelayuan pada diri calon ikon Gadis Melayu.

Munurutnya, sepanjang uji bakat dijalankan pelbagai kerenah dapat dilihat apabila peserta diberi tugasan seperti mengukur kelapa, menyediakan sambal belacan dan menata rias busana Melayu pada patung.

“Apa yang cuba diketengahkan dalam rancangan ini adalah warisan bangsa Melayu tidak harus dibiarkan terhakis begitu sahaja walaupun kita hidup di persekitaran moden dalam gelombang globalisasi.

“Untuk meraih gelaran Ikon Gadis Melayu musim ketiga, peserta bukan sahaja harus menitikberatkan tentang keanggunan dan imej gaya diri, malah pengetahuan dan kemahirannya dalam pelbagai aspek juga harus diasah dan digilap,”ujarnya yang pertama kali menerajui program realiti ini mengganti posisi asal penerbit Shukri Ibrahim.

Sembilan peserta tersebut terdiri daripada, Afiqah Hazwani Md. Nordin, 18 (Johor), Nur Diana Zainuddin, 19, (Pulau Pinang), Nor Shamimi Ernida Mansor, 20, (Kedah), Norhidayah Samsudin, 21, (Johor).

Antara yang lain seperti, Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21, (Selangor), Siti Mastura Mohamad Saleh, 24, (Pahang), Fatheen Nabila Ghazali, 24, (Johor), Norazrina Mohd Salleh, 25, (Selangor) dan Siti Amira Mustakhim, 25, (Kedah).

Gadis Melayu 3 bakal dikendalikan oleh pelakon, Ashraf Muslim, sementara bagi proses pemarkahan pula akan dinilai oleh juri sepenuhnya dan diterajui oleh Ezzah Aziz Fawzy selaku juri tetap.

Process time in ms: 31