HIBURAN

Perjuangan Hawa dan cinta

Perjuangan Hawa dan cinta




KATA pepatah, bukti-bukti daripada keagungan alam yang terindah ialah hati seorang wanita. Betapa tingginya letak hati seorang wanita yang secara tersurat dan tersirat menjadi srikandi dalam hati setiap insan.

Sensasi Bintang kali ini menggandingkan dua wanita manis dan cantik. Ada persamaan yang mereka sulam dalam kehidupan peribadi dan pentas lakonan. Erra Fazira dan Melissa Saila, kedua-duanya ibu yang sentiasa segar dan seakan tidak berubah gaya serta rupa. Manis dipandang sepanjang waktu. Dua figura ini juga terjalin jiwa dalam membawakan watak srikandi negara. Erra membawa watak Tun Siti Hasmah manakala Melissa pernah membawakan tiga watak srikandi dan yang terbaru ialah watak Tun Rahah Mohammad Noah.

Pinjam semangat Tun Dr. Hasmah

Sengaja aura Fazira Wan Chik dipinjamkan mengisi semangat kemerdekaan tanah air yang bakal genap 53 tahun Selasa nanti. Alasannya, dia bukan calang-calang aktres bahkan primadona yang pernah menjadi penghias layar Melayu sehingga tergapai gelaran Aktres Terbaik.

Dia, Erra Fazira yang dikenali umum. Bermula sebagai ratu cantik yang akhirnya membawanya ke pentas antarabangsa, Erra kini menjadi pelakon dan penyanyi dan terkini, dia menumpahkan sepenuh jiwa demi melestarikan watak Tun Dr. Siti Hasmah, wanita yang hidupnya di sisi Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia keempat.

Pentas seni bertanggungjawab menemukan Erra, 36, kepada wanita gemilang sanjungan bangsa. Daripada titik itu juga, seorang primadona seperti Erra menenggelamkan diri sedalam-dalamnya demi menimbulkan karakter wanita yang besar pengaruhnya kepada negara.


BUKAN srikandi pembela bangsa atau pejuang kemerdekaan negara, namun menterjemahkan pengalaman srikandi negara ke pentas teater memberi impak emosi yang kuat terhadap Melissa Saila dan Erra Fazira.


"Menjadi Dr. Siti Hasmah walaupun hanya untuk 30 peratus daripada keseluruhan jalan cerita Muzikal Tun Dr. Mahathir, saya akhirnya mendapat satu gambaran.

"Saya faham dilema yang dihadapi wanita itu. Dialah isteri dan ibu, dia jugalah 'menteri' di dalam rumah tetapi dalam masa yang sama, anak-anak memerlukan seorang ayah. Dia harus berkongsi suami dengan masyarakat, satu perkongsian yang bukan sedikit tetapi sangat besar dan terdedah dengan ancaman dari segenap sudut.

"Itu semua meninggalkan kesan hormat yang sangat menebal dalam jiwa saya. Kebijaksanaan serta kemampuannya memberi didikan kepada anak-anak juga terbukti. Dia wanita yang sangat kuat. Semangat yang kalau boleh mahu saya pinjam," satu luahan tulus terzahir Erra terhadap bayangan srikandi yang mahu diterjemahkan atas pentas teater bermula 24 September nanti.

Isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin itu mengutarakan pandangan, secara tidak langsung teater pengisian Bulan Kemerdekaan itu mendekatkan dirinya kepada bekas pemimpin nombor satu negara, Dr. Mahathir.

"Kualiti hidup, itu pesan Dr. Mahathir kepada saya. Jadi saya harus memberi kualiti kepada setiap apa yang saya lalukan. Kata beliau, tempat seorang isteri adalah di sisi suami. Dr. Siti Hasmah pula berpesan 'Walau sebesar manapun pengaruh suami, tempat seorang isteri adalah berjalan di belakang suaminya, bukan di sisi'.

"Sikap saling hormat-menghormati itulah yang akan saya pegang dalam kehidupan saya. Kepada saya, itulah rahsia keharmonian rumah tangga mereka yang turut menyumbang kepada keharmonian negara sepanjang tadbiran beliau," katanya terheret emosi yang dalam.

Mungkin terjentik oleh naskhah bangsa itu, nasionalisme Erra cepat bangkit, pantang ada yang merendahkan Malaysia tanpa segan. Soalnya, kenapa begitu bangga menidakkan hasil bangsa sendiri tanpa sedar di mana kaki berpijak.

"Paling saya benci apabila ada yang berasa bangga mengaku enggan membeli barangan buatan Malaysia atau tidak menonton filem atau drama Melayu. Itu yang membezakan bangsa kita dengan bangsa lain," getus bonda Engku Aleesya itu berkobar semangat.

Perjuangan Tiga Srikandi


KETEGASAN dalam kelembutan, itu yang mahu Erra tanamkan ke dalam diri untuk menjadi 'menteri' kepada suami dan anak sendiri.


Dalam kehidupan realiti, Melissa Saila, 38, yang senang dipanggil Lis ini memperjuangkan famili yang sedang berkembang. Ibu kepada Noor Megat, 6, Zain Megat, 4, dan Zahrah Megat, 1, itu tidak lupa terhadap perjuangannya sebagai anak pentas yang sekarang mengheret dirinya kepada jiwa pengarahan yang kuat.

Dia yang bergilir dengan kehidupan anak seni terpanggil untuk merubah portfolio seni dengan duduk di kerusi pengarah. Buktinya dengan penubuhan syarikat Kus Semangat Aktor Sdn. Bhd. yang ditubuhkan bersama suaminya, Megat Fauzi pada awal tahun ini. Lis berpeluang untuk mengarahkan drama pertamanya, Rombakan Kabinet. Dia tidak berhenti di situ. Dasar anak seni, dengan darah yang sentiasa mengalir merah semangat juang, Lis membahagikan waktu menjadi pelakon dan orang belakang tabir selain sepenuh masa bergelar isteri dan ibu.

Melihat dalam aspek perjuangan wanita, untuk seorang Melissa Saila, darah pentasnya sudah terbiasa membawakan aura srikandi. Berputik dengan watak Ibu Zain dan kemudian dilakari dengan hitam putih kehidupan seorang seniwati bernama Norizan, Lis sentiasa dilihat mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk membawakan watak Tun Rahah. Figura yang kuat berdiri sebagai tunjang kepada politikus dan pejuang bangsa bernama Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua.

Akui anak seniwati Mariani ini, dirinya yang kurang termometer patriotisme bertukar mendapat semangat itu gara-gara watak kuat yang dibawa masuk sebentar dalam kehidupannya.

"Nilai kehidupan orang dulu lebih tinggi berbanding kini, itu yang saya nampak," ujarnya yang menjuruskan komentar tersebut kepada semangat nasionalisme dan perjuangan yang dibawakan orang lama.


AURA serta karisma Erra dan Melissa cukup terserlah dalam persalinan klasik persis mereka srikandi bangsa paling tidak untuk keluarga sendiri.


Dia berbicara tentang Tun Rahah, figura juga srikandi yang belum sempat ditemui tetapi jiwa wanita itu seakan sudah pernah berada dalam diari pementasannya. Watak wanita hebat itu dipentaskan pada Julai lalu dalam teater Tun Razak - Suatu Pengisahan.

"Tun Rahah orangnya lembut tetapi mempunyai jiwa yang besar dan kuat. Semangat juangnya juga tinggi. Merujuk kepada pepatah orang lama, di belakang seorang lelaki itu hadir seorang wanita, ia memang benar belaka. Sikap juang dan ketabahan wanita itu mempamerkan bahawa kaum Hawa juga bertindak sama seperti lelaki. Lihat sahaja kekuatan setiap ketua negara, pasti hadir wanita yang menjaga dan mengawalnya. Tanggungjawab itu besar," ujar pelakon yang sentiasa diingati gara-gara lakonan cilik dalam drama bersiri PJ Holdings.

Impaknya bukan sedikit buat Lis. Membawakan karakter dan jiwa srikandi negara, ruang sebegitu menjadikan dirinya seorang yang lebih berpengetahuan. "Saya cemburu dengan kekuatan mereka. Membuatkan saya seakan mengerti rupa kehidupan mereka. Perjuangan wanita dahulu sangat dahsyat rupanya hingga timbul apresiasi yang tinggi daripada daya terhadap mereka. Juga membuatkan saya bersyukur dengan kehidupan sekarang," ujarnya yang bakal muncul sebagai Saloma dalam sebuah drama di saluran 8TV.

Rencana Utama!»

Cabaran penggal kedua Rousseff

AKHBAR-AKHBAR Brazil melaporkan kemenangan Rousseff sebagai President Brazil ke-36.

Pesona!»

Bantu baiki taraf hidup wanita

KEMAHIRAN mengurut menjadi punca rezeki buat Saodah untuk menyara keluarganya.

Varia!»

Penceraian yang dilaknat Allah

PERCERAIAN li’an yang melibatkan penafian nasab terhadap anak yang dikandung akan dilakukan selepas kelahiran bayi tersebut. – Gambar hiasan

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16