SUKAN

Sandaran pada Chong Wei

Sandaran pada Chong Wei


CHONG WEI serta gandingan Kien Keat-Boon Heong kini menjadi harapan negara untuk membawa pulang gelaran dunia dari Paris


HARAPAN negara untuk menjulang gelaran dunia kini terletak sepenuhnya di bahu pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei serta beregu emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Semalam, Chong Wei meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Dunia

di Paris, Perancis selepas mencatat kemenangan ke atas rakan senegara, Muhammad Hafiz Hashim pada pusingan kedua.

Dia menang 21-16, 21-16 untuk mara ke pusingan ketiga.

Pemain berusia 28 tahun itu hanya mengambil masa 26 minit untuk memusnahkan impian Hafiz.

Menanti Chong Wei di pusingan ketiga ialah pemain No. 18 dunia, Rajiv Ouseph dari England.

Ouseph menewaskan pemain Denmark, Jan Jorgensen dengan kemenangan 21-12, 25-23.

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Woong Choong Han terpaksa akur dengan kehebatan pemain bukan pilihan dari Jepun, Yamada Kazushi selepas tewas melalui perlawanan tiga set 21-17, 16-21, 18-21.

Perjuangan pemain perseorangan wanita juga musnah apabila Wong Mew Choo ditunjuk jalan keluar oleh pemain Rusia, Diehl Ella selepas tewas 21-11, 15-21, 12-21.

Dalam acara beregu, gandingan negara, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen gagal mengikut jejak Kien Keat-Boon Heong apabila tewas kepada gandingan Jepun, Hashimoto Hirokatsu-Hirata Noriyasu, 21-19, 17-21 dan 19-21.

Pada awal pagi semalam, Kien Keat-Boon Heong mengesahkan tempat ke pusingan ketiga selepas menang 21-15, 21-13 ke atas beregu Republik Czech, Ondrej Kopriva-Tomas Kopriva.

Kien Keat-Boon Heong akan menghadapi beregu China, Chai Biao-Zhang Nan pada pusingan ketiga hari ini.

Process time in ms: 32