RENCANA UTAMA

Menghidup nyawa gamelan

Menghidup nyawa gamelan




SUASANA malam yang ditemani gerimis membuatkan Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu hening seketika. Namun, dari jauh kedengaran alunan muzik yang begitu memukau telinga.

Semakin didekati, irama yang terhasil daripada ketukan kayu dan gading gajah di atas kepingan tembaga berkilau pantas menyelinap masuk ke dalam kalbu mereka yang meminati aktiviti seni tersebut.

Melihat kepantasan tangan yang bergabung dengan kemantapan hafalan minda mengenai kepingan yang diketuk terlebih dahulu, menimbulkan rasa kagum yang bukan sedikit terhadap kumpulan yang beraksi.

Itulah aura dentingan tembaga yang dimainkan oleh peserta Festival Gamelan Sedunia 2010 yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini. Irama lagu gamelan mengikut acuan Melayu, Bali, Jawa dan Jepun itu terlalu asyik hingga membuatkan hati kira-kira 500 pengunjung bagaikan tertambat.

Buktinya, hujan renyai-renyai bukan penghalang untuk mereka terus setia menikmati persembahan permainan alat muzik tradisional zaman silam itu.

Persembahan peserta Malaysia yang terdiri daripada kumpulan Rhythm in Bronze (RiB), Orkestra Tradisonal Malaysia (OTM) Istana Budaya, Hands Percussion, Warisan Terengganu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kesenian Kerajaan Terengganu, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Sahabat Gamelan Universiti Sultan Zainal Abidin (Saga UniSZA) begitu memukau.




Tidak kurang hebat kumpulan gamelan dari Indonesia dan Jepun seperti Sanggar Singamurthi, Garasi Seni Benawa, Gastarana, Japenese gamelan Group dan Lambangsari. Cuma, kumpulan Gamelan Southbank dari United Kingdom tidak dapat menghadirkan diri kali ini.

Mintalah apa sahaja lagu berbentuk tradisional atau moden, pantas sahaja tangan-tangan keramat pemain sama ada yang lama atau baru mengetuk kepingan tembaga berkilau yang telah diraut mengikut not-not tertentu.

Memetik kata-kata seorang pemain gamelan Bali, Indonesia yang telah memperhambakan diri selama dua dekad dalam arena ini, Ni Luh Putu Kartika, 40, ketajaman pendengaran, persefahaman dan kemantapan kerja berpasukan menjadi asas utama bagi seseorang itu untuk berjaya.

Katanya, jika elemen-elemen sedemikian tiada dalam diri setiap pemain gamelan, maka pincanglah irama dan musnahlah lagu walaupun ketika itu ia dimainkan oleh pemain lama yang bertaraf profesional.

"Ini merupakan kali kedua kami diterbangkan ke sini khusus untuk mempersembahkan keaslian gamelan Bali yang begitu popular bukan sahaja di Indonesia malah di segenap pelosok dunia.

"Bukan mahu membangga diri, tetapi itulah realitinya. Kami begitu mementingkan adat walaupun diselubungi oleh arus kemodenan. "Sehubungan itu, kamu melihat pemain termuda kami berusia 14 tahun dan dia mampu memainkan gamelan dengan baik," katanya yang mewakili Kumpulan Sanggar Singamurthi yang terdiri daripada 50 orang ahli.

Pada festival kali ini, Putu Kartika bergandingan dengan Luh Gde Candra Pratini, 20, dan lima rakannya selaku penari yang melakonkan watak Gatot Gaja dan Karna daripada epik terkenal Bali, Mahabrata.

Candra Pratini pula memberitahu, bukan mudah untuk dia mencapai pada tahap sekarang kerana penglibatan dalam seni gamelan menuntut latihan dan semangat yang tinggi sebagai penari.

Gamelan golongan muda


KUMPULAN Sanggar Singamurthi melakonkan watak Gatot Gaja dan Karna daripada epik terkenal Bali, Mahabrata.


"Sekali pandang, ia nampak mudah ketika saya menggerakkan tangan, kaki dan seluruh jasad, tetapi jika tersilap di atas pentas, ia akan mencacatkan segala persembahan," kata mahasiswi Institut Seni Indonesia (ISI) itu.

Dakwaan gadis bertubuh sederhana itu memang ada benarnya apabila penulis sendiri menyaksikan dia begitu bersungguh-sungguh pada sesi latihan bengkel beberapa jam sebelum persembahan pertama.

Pemain alat ceng-ceng dan kajar, I Made Oka Rastra Pastika, 17, memberitahu, dia mula menyertai kumpulan Sanggar Singamurthi sejak berusia lapan tahun.

"Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke luar negara dan saya dapati festival sedemikian amat baik untuk mengetengah dan memanjangkan hayat gamelan kepada golongan muda.

"Selama tiga hari berada di sini, saya lihat warga Malaysia terutamanya penduduk Kuala Terengganu begitu meminati alat muzik ini dan usaha ini perlu diperluaskan," katanya.

Pada malam pembukaan, pengunjung dihiburkan dengan persembahan lagu keramat, Timang Burong yang dimainkan oleh peserta tuan rumah sekali gus bagaikan menyambut kedatangan pengunjung.

Selain itu, festival yang berlangsung di tepi laut itu turut diserikan dengan penari-penari yang begitu bijak menggerakkan tubuh dan anggota jasad mengikut irama muzik.

Dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, festival selama tiga hari tersebut menyaksikan lebih 100 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Jepun menunjukkan kehebatan masing-masing.

Malah, ketika berada di sana penulis dapat merasakan seolah-olah dibawa ke masa lampau di mana gamelan hanya dapat didengari dan ditatapi di istana-istana untuk dipersembahkan secara eksklusif kepada sang raja.

Pada festival sedemikian, sudah pastilah kemahiran jurutera bunyi memainkan peranan penting dalam memastikan setiap bunyi yang terhasil daripada setiap alat muzik yang dimainkan ditangkap oleh mikrofon berteknologi tinggi.

Bagi peserta Kumpulan Lambangsari dari Jepun, Ka Yo Kimutara, 30, ini merupakan kali pertama dia bersama tujuh ahli kumpulannya menyertai festival itu.

"Kami memang sudah bersedia apabila dijemput oleh tuan rumah. Walaupun kami semua sibuk dengan kerja masing-masing tetapi itu bukanlah halangan untuk mempelajari gamelan daripada tenaga pakar Bali, Indonesia.

"Tetapi sayang, persembahan pada malam pertama terpaksa dipendekkan kerana kami hanya dibenarkan untuk memainkan dua buah lagu tradisional Jepun sahaja iaitu Sakura dan Tan Cha Meh," cerita eksekutif sebuah syarikat swasta yang fasih berbahasa Indonesia itu.

Wakil dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Afandi Mahadi, 23, berkata, penglibatan dalam gamelan sejak dua tahun lalu langsung tidak mengganggu prestasi pembelajarannya.

Pelajar tahun akhir Kejuruteraan itu menceritakan dia begitu cemas ketika berada di atas pentas memandangkan itu adalah pengalaman pertama kali menyertai festival sedemikian.

"Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara sahaja kerana selepas beberapa minit saya seakan mendapat semangat lain yang membuatkan saya semakin yakin untuk bermain," kata pemain percussion itu.


IRAMA gamelan seolah-olah membawa pendengar menghayati hiburan istana pada zaman silam.


Tidak jejas pelajaran

Bagi pelajar tahun akhir jurusan pendidikan, Nur Nadia Tukiman, 23, memberitahu, gamelan langsung tidak menjejaskan pembelajarannya apabila dapat mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 sejak menyertai gamelan dua tahun lalu.

"Saya rasa minat merupakan perkara yang penting sekiranya seseorang itu hendak bermain gamelan berbanding pendengaran yang tajam dan komitmen dalam kumpulan.

"Selepas itu, barulah datang latihan yang komprehensif bagi menjadikan muzik yang terhasil sempurna dan harmoni," kata pemain alat saron demong itu.

Bagaimanakah mereka yang langsung tidak pernah mendengar apatah lagi menyaksikan kehebatan alat muzik tradisional nusantara itu?

Lembaga Muzium Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri sanggup menggalas tugas penting demi menghidupkan nyawa gamelan yang semakin terhakis pada pengetahuan golongan muda pada masa kini.

"Tujuan utama kita ialah untuk berkongsi ilmu dengan pemain gamelan dari luar negara di samping merakyatkan kesenian elitis sambil memartabatkan khazanah kesenian bangsa melangkaui sempadan sejagat.

"Selepas mengadakan festival tersebut sejak dua tahun lalu, kita menerima banyak reaksi positif daripada pelbagai pihak hingga kita bersetuju mengadakannya buat kali kedua pula," kata Pengarah Lembaga Muzium Terengganu merangkap Ketua Sekretariat FGS, Mohd. Yusof Abdullah kepada Kosmo!.

Hanya dengan cara itu sahaja alat muzik tradisional yang semakin dilupakan oleh generasi muda dapat dihidupkan kembali.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 47