URBAN

Transformasi produk Islamik

Transformasi produk Islamik


ORANG ramai mengerumuni gerai Kementerian Pelajaran untuk melihat Khat Board yang dicpta oleh Abdul Wahab (duduk kiri).


ADA sesuatu yang unik pada produk ciptaan seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1, Kuala Lumpur, Abdul Wahab Khalid.

Dinamakan Khat Board, inovasi pendidik itu berjaya menarik minat khalayak yang mengerumuni gerainya.

Menurutnya, alat bantu mengajar itu dicipta khas bagi tujuan pembelajaran seni khat di kalangan pelajar sekolah tahun enam.

Abdul Wahab mempamerkan ciptaannya itu sempena Karnival Inovasi Islam (KII) Peringkat Kebangsaan 2010 yang berlangsung di Putrajaya awal bulan lalu.

Hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti penutup botol susu, tiang mikrofon, bingkai gambar dan papan putih, fungsi asasnya membolehkan ia digunakan oleh guru mahupun pensyarah untuk mengajar mata pelajaran lain seperti lukisan, matematik, paparan objek dan sebagainya.




“Idea untuk menghasilkan alat Khat Board itu timbul selepas saya menghadiri satu Kursus Penulisan Khat Peringkat Kebangsaan di salah sebuah hotel pada tahun 2005.

“Masa itu tiada kemudahan papan hitam mahupun putih untuk saya melakar seni khat. Saya terpaksa melukis satu persatu ayat khat di atas kertas putih dan membentangkannya kepada penonton,” jelasnya.

Disebabkan itu, Abdul Wahab mula mencipta Khat Board yang boleh memancarkan paparan tersebut dengan bantuan mekanisma projektor.

“Saya hanya perlu melakarnya di atas kertas dan ia boleh terus dilihat oleh pelajar melalui visual yang besar dan jelas,” katanya yang hanya memperuntukkan sebanyak RM500 untuk mencipta alat tersebut.

Biarpun Abdul Wahab tidak tersenarai sebagai salah seorang pemenang anugerah Inovasi Islam 2010, namun alat ciptaannya itu mempunyai nilai dan keistimewaan tersendiri, sama seperti banyak produk lain yang dipamer dalam karnival tersebut.

Berciri kemasyarakatan


KARNIVAL ini juga mempamerkan bakat dan kemahiran dalam bidang khusus seperti kulinari dan fesyen.


“Produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan yang dipilih untuk pameran karnival ini adalah menjurus kepada produk bercirikan kemasyarakatan.

“Ia juga harus memberi manfaat kepada masyarakat dalam konteks Islam, sekali gus dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai kepentingan budaya inovasi sebagai nilai tambah dalam sistem penyampaian perkhidmatan,” kata Setiausaha Jawatankuasa Induk KII 2010, Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau menambah, penyelidikan produk dan perkhidmatan yang diketengahkan dalam karnival tersebut perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun yang terkini.

Acara yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor itu bukan hanya tertumpu pada produk-produk inovasi.

Ia turut memfokuskan sistem pengurusan dan perkhidmatan inovatif dalam usaha menambah nilai output. Dengan kombinasi produk dan perkhidmatan yang berkualiti, ia mampu mentransformasi pembangunan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Karnival yang julung-julung kali diadakan di Malaysia itu antara lain memperkasakan nama Malaysia sebagai negara Islam contoh di persada dunia.

Berlangsung selama empat hari bermula 5 Ogos lalu, karnival yang bertemakan Inovatif 1Malaysia 1Ummah itu turut menyampaikan Anugerah Inovasi Islam kepada mana-mana pihak atau institusi yang telah memberi sumbangan besar dalam bidang inovasi Islam.

Terdapat lima kategori bagi anugerah tersebut iaitu Anugerah Inovasi Masjid Mandiri, Anugerah Inovasi Produk Halal, Anugerah Inovasi Pendidikan Islam dan Anugerah Inovasi Kewangan Islam.

Masjid Mandiri

Mempunyai kekuatan dari aspek pengurusan dan pengimarahan serta boleh dijadikan penanda aras bagi masjid-masjid lain, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor, berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Inovasi Perkhidmatan Institusi Masjid Mandiri.


YAAKOB menerima Anugerah Khas Inovasi Islam yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Mohd Sunawan Md Som, penganugerahan itu mungkin disebabkan masjid itu diuruskan oleh penduduk sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.

“Masjid ini juga banyak menganjurkan pelbagai aktiviti dan mempunyai kemudahan serta perkhidmatan. Kami menyediakan pusat dialisis, pusat perkembangan seni khat dan jawi, dana bantuan pendidikan, program bazar Ramadan, rakan muda, lawatan sambil belajar serta program membudayakan al-Quran.

“Pusat dialisis yang berada di kawasan masjid ini mempunyai sebanyak 16 mesin dan membantu seramai 74 orang pesakit. Pesakit hanya perlu membuat bayaran sebanyak RM110 untuk setiap kali rawatan,” katanya.

Kit kesan babi

Sementara itu, Anugerah Khas Inovasi Islam pula disandang Prof. Dr. Yaakob Che Man yang merupakan Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.

Penilaian dibuat berdasarkan pada hasil idea kreatif beliau dalam penghasilan produk kit pengesanan kandungan babi dalam makanan. Itu merupakan sumbangan yang paling besar dalam bidang hal ehwal Islam.

Beliau juga melakukan pelbagai kajian mengesan kandungan tidak halal pada produk makanan.

Produk pengesanan kandungan babi yang dihasilkan telah menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dalam jangka masa singkat sekali gus membawa nilai tambah yang tinggi dari aspek pemakanan dan ekonomi Malaysia.

Kemenangan Yaakob bukan sahaja disebabkan penghasilan inovasi tersebut, bahkan penglibatan beliau dalam membangunkan Standard Halal yang pertama di dunia sejak tahun 1996.


LEBIH 117 jenis produk dan perkhidmatan telah dipamerkan sempena karnival ini.


Bagi kategori Inovasi Pendidikan Islam pula, Khairul Anwar Ramlan dari Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru, Johor, berjaya mengondol anugerah tersebut melalui Portal e-Pendidikan ciptaan beliau.

Khairul yang pernah dianugerahkan sebagai Guru ICT Kebangsaan 2009 itu menghasilkan Portal e-Pendidikan dengan khidmat muat turun seperti nota-nota pembelajaran bank soalan, kertas peperiksaan dan format jawapan. Projek ini juga sangat mesra pengguna kerana aksesnya adalah percuma.

“Ia juga memberi banyak manfaat kepada pelajar untuk menjalani sesi pembelajaran Pendidikan Islam pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada tanpa bantuan guru.

“Pelajar dapat menguji pemahaman mereka terhadap sesuatu topik dengan membuat latihan interaktif dan latih tubi yang berterusan terutamanya apabila hampir musim peperiksaan,” katanya mengenai portal yang telah dibentangkan di Brunei pada bulan Mei 2009.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz, karnival itu bermatlamat memberi mesej kepada masyarakat tentang betapa pentingnya menerapkan budaya inovasi dalam pembangunan, produktiviti dan pengurusan hal ehwal Islam.

“Ia bersesuaian dengan saranan kerajaan yang mengisytiharkan tahun 2010 sebagai tahun inovasi,” jelas beliau.

Wan Mohamad memberitahu, pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk kementerian dan jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA), badan berkanun, dan Johor Corporation.

Rencana Utama!»

Teruja sambut Aidilfitri di Malaysia

MUHAMMAD Rasyad, (kiri), Muhammad Adam (tengah) dan Zuhaira menyambut hari raya pertama bersama mualaf lain di Hidayah Centre Foundation sebelum berlepas ke Abu Dhabi pada hari raya kedua.

Process time in ms: 47