DUNIA

Lelaki pertama ikut laluan Amazon

Lelaki pertama ikut laluan Amazon


GAMBAR bertarikh Disember 2008 menunjukkan Stafford berjalan meredah Sungai Amazon.


MARAPANIM, Brazil - Seorang warga Britain, Ed Stafford yang berumur 34 tahun mencipta sejarah kelmarin apabila dia menjadi lelaki pertama berjalan di sepanjang Sungai Amazon selama 859 hari termasuk digigit 50,000 nyamuk.

Dia yang merupakan bekas kapten tentera Britain menghabiskan masa selama dua setengah tahun bersama rakan penunjuk arah dari Peru, Gadiel 'Cho' Sanchez Rivera.

"Saya telah diberitahu bahawa saya akan mati. Namun, saya tidak mati. Saya kini berada di sini. Saya membuktikan bahawa jika anda mahukan sesuatu, anda boleh melakukannya," katanya.

Stafford pengsan pada Ahad lalu, kira-kira 85 kilometer daripada lokasi penamat.

Dia menyambung perjalanan selepas berehat selama beberapa jam.

Lelaki itu kemudian berlari ke arah Lautan Atlantik di pantai Crispim, Brazil kelmarin yang merupakan lokasi penamat jelajah Sungai Amazon.

Pada mulanya, Stafford memulakan ekspedisi itu bersama seorang rakan Britain pada 2 April 2008 di selatan Peru.


ED STAFFORD (kanan) berlari bersama Gadiel 'Cho' Sanchez Rivera di pantai Crispim, Brazil kelmarin.


Selepas tiga bulan berjalan, rakan Britainnya itu menarik diri.

Pada satu ketika di Peru, sekumpulan penduduk orang asli telah memenjarakan dia bersama rakannya itu kerana disyaki menjadi pembunuh sebelum dibebaskan selepas 48 jam ditahan.

Namun, Stafford meneruskan ekspedisi berjalan melalui hutan sebelum menemui Rivera yang berumur 31 tahun dan menemaninya sehingga ke lokasi penamat.

Ekspedisi itu melibatkan kos sebanyak AS$100,000 (RM315,200) yang ditaja oleh beberapa syarikat dan sumbangan.

Sepanjang ekspedisi itu, dia mendapati banyak pokok hutan ditebang sekali gus menyebabkannya memahami lebih mendalam mengenai peranannya untuk melindungi Amazon dan berusaha mengatasi masalah perubahan cuaca. - Agensi

Process time in ms: 47