INFINITI

Karya kreatif di alam maya

Karya kreatif di alam maya


KAPASITOR dibangunkan untuk penggiat karya kreatif seperti penulis, pelukis, penggubah lagu dan pemain muzik.


KEBANYAKAN orang tidak menyedari sisi kreatif di dalam diri kerana ia tidak pernah diterokai. Banyak faktor menyebabkan kreativiti itu terbantut begitu sahaja, salah satunya adalah kerana tiada medium untuk mengembangkan karya-karya kreatif itu.

Selain keterbatasan peluang menerbitkan karya kreatif, kos yang terlalu tinggi juga sering kali menjadi penghalang kepada usaha memahirkan bakat tersebut.

Lantaran itu, seorang anak muda membangunkan sebuah laman web www.kapasitor.net pada awal tahun 2001 untuk dijadikan platform kepada penggiat karya kreatif mengenengahkan bakat terpendam mereka.

Pengasas dan Ketua Arkitek Kapasitor, Muhammad Johari Rahmad, 28, berkata, Kapasitor adalah sebuah laman jaringan sosial dan platform terbaik kepada orang ramai untuk menajamkan kemahiran penulisan puisi, cerpen serta novel mereka.

"Kapasitor dibangunkan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai berkarya dengan lebih bebas dengan melontarkan idea-idea bernas mereka kepada umum di alam maya.

"Memandangkan Kapasitor merupakan sebuah laman jaringan sosial, hasil karya yang dihasilkan mereka dapat dilihat dengan lebih meluas," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Selain penulisan kreatif, Muhammad Johari menambah, Kapasitor juga memberi peluang kepada orang ramai mengembangkan bakat dalam seni visual dan muzik.

Antara seni visual yang boleh dimuat naik dalam Kapasitor termasuk lukisan komik, lakaran, fotografi, seni halus, reka bentuk grafik dan banyak lagi.

"Kami juga tidak mengenepikan bakat-bakat penggubah lagu terpendam di negara ini dengan menyediakan platform kepada mereka berkarya dalam Kapasitor," katanya.

Ujar Muhammad Johari, laman web itu menawarkan tiga bahasa dalam penghasilan karya kreatif iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia.


MUHAMMAD Johari (kiri) boleh berbangga kerana idea dan kesungguhannya membangunkan Kapasitor diiktiraf dunia.


Katanya, dia merasakan pelbagai bahasa yang digunakan dalam Kapasitor mampu memeriahkan pembikinan karya kreatif di laman web berkenaan.

"Dalam pada itu, kami juga memberi peluang kepada pembaca untuk melontar komen-komen terhadap sesuatu karya kreatif yang terdapat di laman web berkenaan.

"Pendekatan itu diharap dapat membantu penggiat karya kreatif alam maya, memperbaiki dan menajamkan lagi kemahiran mereka dalam berkarya dengan mudah serta pantas," katanya.

Tiada caj ahli

Menariknya tentang laman jaringan sosial Kapasitor itu adalah ia terbuka kepada sesiapa sahaja dan tiada bayaran dikenakan kepada mereka yang ingin menjadi ahli.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Aplikasi dan Animasi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya itu menambah, Kapasitor sudah mempunyai 3,000 ahli yang bergiat aktif dalam melontarkan dan berkongsi karya kreatif mereka.

Katanya, kelebihan menjadi ahli di laman Kapasitor adalah mereka boleh menggunakan gajet seperti Facebook, Twitter dan Google.

"Dengan menawarkan kemudahan ini, pengguna yang menggunakan laman Kapasitor boleh mengikuti perkembangan semasa ahli yang berkarya dalam laman dengan mudah dan pantas.

"Sebagai contoh, jika menggunakan gajet Google ahli-ahli akan menerima e-mel mengenai kegiatan ahli lain atau pun karya terbaru yang dimuat naik dalam Kapasitor.

Selain itu, katanya, apabila menggunakan gajet Facebook dan Twitter juga mereka boleh berkomunikasi dengan lebih terperinci serta rapat dengan ahli-ahli lain.

Ujar dia lagi, mereka yang tidak menjadi ahli juga boleh mengakses ke laman web berkenaan untuk membaca hasil karya kreatif.


DENGAN lebih 3,000 orang ahli, Kapasitor menjadi platform sihat untuk golongan muda beraktiviti.


Katanya, dia tidak membataskan kepada ahli sahaja kerana sasaran utama laman web itu dibangunkan adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam penghasilan karya kreatif.

"Saya mendapati tidak semua orang yang mempunyai keyakinan diri apabila berdepan secara bersemuka untuk mengetengahkan hasil karya kreatif mereka.

"Menggunakan platform alam maya ini, ia banyak membantu khususnya mereka yang berbakat besar tetapi mempunyai perasaan malu atau segan untuk mempersembahkan hasil karya mereka," katanya.

Hak intelek

Ujar Muhammad Johari lagi, laman web Kapasitor juga menitik beratkan isu hak cipta intelek ahli-ahli yang berkarya.

Katanya, mereka yang menaik turun hasil karya dalam Kapasitor boleh menggunakan Creative Commons untuk menjaga hak intelek karya kreatif tersebut.

"Kita bukan sahaja ingin mengenengahkan bakat-bakat baru yang terpendam dalam menghasilkan karya kreatif tetapi mendedahkan tentang kepentingan hak mereka.

"Sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui bahawa hasil karya kreatif mereka boleh dilindungi. Dengan adanya Creative Commons ia dapat membantu mereka menghormati dan menghargai hak orang lain," katanya.


MELALUI Kapasitor seseorang bukan sahaja memahirkan bakat kreativiti malah, meningkatkan keyakinan diri di depan khalayak.


Dalam pada itu, Muhammad Johari menambah, Kapasitor juga mempunyai sidang redaksi yang akan mengumpulkan karya-karya penulisan kreatif terbaik untuk dibukukan dalam majalah elektronik iaitu Prasasti.

"Pengumpulan hasil karya-karya terbaik ini akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga bulan untuk dijadikan bahan dalam Prasasti.

"Majalah elektronik yang dibukukan dalam format PDF boleh dimuat turun pada bila-bila masa sahaja mengikut kehendak pengguna," katanya.

Dia menambah, idea untuk membukukan hasil karya kreatif tersebut lahir kerana terdapat pengguna yang terlepas untuk membaca penulisan kreatif di laman web berkenaan.

Katanya, majalah elektronik ini memberi kebebasan kepada mereka untuk membaca hasil karya terbaik mengikut kesesuaian waktu dikehendaki.

Apa yang pasti, Muhammad Johari juga boleh berbangga kerana hasil cetusan ideanya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah e-Culture World Summit di Venice, Itali pada tahun 2007.

Dia berkata, anugerah berkenaan merupakan pemangkin kepada dirinya untuk terus membantu penggiat karya kreatif dalam mengembangkan bakat mereka di alam maya.

Bagaimanapun, dia menambah, pengiktirafan tersebut tidak mungkin tercapai jika tidak mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), ahli keluarga dan rakan-rakan.

Menyentuh mengenai hala tuju Kapasitor, dia berkata, pihaknya sedang berusaha melaksanakan pelbagai bengkel untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli.

Process time in ms: 47