RUANG

Spa batuan sungai

Spa batuan sungai


UNSUR senibina Melayu turut diserlahkan pada pintu masuk Damai Spa.


ANDAI pusat mandian sauna menggunakan elemen simen dan memilih gaya kotemporari, tatarias Spa Damai nyata menongkah arus.

Bukan saja pemilihan kayu dan ukirannya yang menjadi titik tumpuan tetapi hamparan batu sungai di sepanjang laluan nyata berjaya mengubah persepktif spa dan sauna biasa.


SIMBOLIK pada alam, penggunaan batu sungai dan granit memberi dimensi tersendiri apabila berada dalam Damai Spa.


Pelbagai fungsi batu

Menurut pengusaha Damai Spa, Rodziah Abdul Manaf, selain daripada mencari kelainan, setiap elemen yang ada dalam spa tersebut mempunyai fungsi tertentu.

“Batu sungai yang sering di gunakan sebagai penghias taman-taman rekreasi kini dimanipulasikan untuk menyuntik kelainan di ruang menunggu Damai Spa.

“Penggunaan batu-batu sungai bukan saja cantik tetapi pelanggan boleh menggunakannya sebagai alat refleksiologi kaki,” katanya.

Disusun dengan sempurna, batu sungai pelbagai bentuk dan warna tersebut bukan saja melatari lantai ruangan spa malah merangkumi segenap dinding.

Berkeluasan 20x30 meter, Damai Spa dilengkapi lima bilik berlainan fungsi dengan elemen tersendiri bagi keselesaan pelanggan.

Sebaik saja pintu kayu bilik sauna yang berukir motif abstrak dibuka, semerbak haruman herba menusuk hidung kru Jurnal.

Menggunakan kayu sebagai ganti simen, jelas Rodziah, ia penting bagi menstabilkan suhu bilik sauna tersebut agar tidak terlalu panas.

“Penggunaan kayu juga bertujuan untuk memastikan suhu tidak naik dengan mendadak berbanding simen. Teknik ini membolehkan pelanggan bertahan sehingga 45 minit kerana suhunya lebih nyaman,” ungkap wanita berusia 53 tahun ini.

Spa yang terletak di Jalan Kemboja, Kuang, Selangor itu mampu menempatkan di antara lapan hingga 10 pelanggan dalam bilik sauna pada satu-satu masa.

Berkongsi cerita, Rodziah memberitahu, idea pembinaan sauna berkonsepkan sauna Greek Kuno ini tercetus melalui idea suaminya, Razak Mahusin.


TAB mandi gaya Jepun yang dihasilkan daripada kayu khas digunakan secara eksklusif bagi mandian susu.


Sauna kayu

Ungkapnya, pengalaman mengunjungi sauna dan spa memberi inspirasi kepada mereka berdua untuk membuka pusat kesihatan tersebut.

“Melalui aspek konsep, memang suami mahu mengelak daripada menggunakan simen. Terlalu kaku katanya,” katanya memanjangkan penjelasan.

Dekorasi Damai Spa terhasil daripada ilham hati selain suntikan idea melalui pembacaan dan pemerhatian.

“Dengan menggunakan unsur alam seperti kayu dan batu sungai, ia secara tidak langsung membawa pelanggan ke satu alam lain. Alam kampung,” tuturnya sambil menunjukkan beberapa ukiran yang terdapat di dinding serta pintu.

Di samping itu, bekas untuk merebus bahan herba bagi mandian sauna juga disediakan di dalam bekas kedap daripada kayu.

Selain mengekalkan haruman dan kualiti wap herba, penggunaan elemen kayu nyata menjadikan tempat istirehat tersebut lebih hidup.

Bagi yang mahu mencuba rawatan sauna secara infra merah, bilik yang disediakan juga tidak kurang hebat dan selesa.

“Masih mengekalkan ciri kekampungan walaupun terdapat beberapa hiasan seperti ruang persalinan yang diberi sedikit sentuhan moden,” kata Rodziah.


CORAK geometri yang melambangkan senibina Islam diadaptasikan pada siling kayu.


Siling berukir

Turut mendapat tempat dalam hiasan ialah siling yang menerima sentuhan seni berteraskan Islam.

Bercorak geometeri, kesan ukiran pada siling ini ditimbulkan dengan begitu baik melalui penggunaan ton warna dan ukiran pada kayu.

“Kawasan bersiling ini juga menjadi tempat kegemaran pelanggan kerana ia lebih mendamaikan.

“Malah, untuk rawatan kaki, ramai yang memilih untuk melakukannya di sini,” jelas Rodziah.

Rencana Utama!»

Waspada sajian pada Aidilfitri

PESAKIT diabetes perlu menjalani rawatan dan menjaga pemakanannya sepanjang hayat. - Gambar hiasan.

Varia!»

Jual kerana suka-suka

EYQA (kanan) dan rakan kongsi Muhammad Zulkarnaen gembira penat lelah mereka membuahkan hasil.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31