SUKAN

Penyandang jawatan kurang menonjol

Penyandang jawatan kurang menonjol




GENAP seminggu lagi, barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berubah kecuali kerusi presiden.

Adakah ia akan menjadi kenyataan atau sebaliknya?

Peminat tempatan yang sayangkan bola sepak negara ‘sangat-sangat’ mengharapkan akan ada perubahan, agar cerita lama tidak berulang.

Barisan kepimpinan yang akan dipilih nanti hendak diberikan kepada golongan yang betul-betul ‘buat kerja’.

Dalam masa seminggu lagi senarai 15 nama untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2010- 2014 akan diketahui pada Kongres badan induk bola sepak negara itu pada 31 Julai ini.

Hanya satu kerusi daripada 15 kerusi itu sudah diketahui pemiliknya iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Presiden FAM apabila baginda menang tanpa bertanding.

Namun, sesi pemilihan pada Kongres FAM ke-47 itu yang akan berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie, Shah Alam 31 Julai ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya jawatan Timbalan Presiden, Naib Presi- den dan Ahli Eksekutif (Exco) menjadi rebutan ramai calon.

Enam calon akan merebut dua slot Timbalan Presiden, lapan calon merebut empat slot Naib Presiden manakala 13 calon mencuba nasib bagi mengisi lapan slot Ahli Eksekutif.

Daripada 27 calon tersebut, hanya empat individu tampil mempertahankan jawatan yang mereka sandang sepanjang penggal 2007-2010, sekali gus membayangkan bahawa FAM bakal mendapat nafas baru daripada muka-muka baru untuk penggal 2010-2014.

Bagi pengkritik sukan terkemuka negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, hanya tempoh setahun boleh diberikan kepada mereka yang akan menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menonjolkan pembaharuan dalam badan induk bola sepak negara itu.

“Saya berasakan bahawa penyandang yang mahu mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan kali ini bakal menghadapi masalah untuk menang.

“Ini kerana, tiada apa-apa kemajuan yang boleh kita nampak sepanjang tempoh mereka memegang jawatan di dalam FAM.

“Cuma, apabila mereka bakal diganti- kan dengan muka-muka baru, kita pun tak tahu lagi yang muka baru ini nanti boleh buat kerja atau sebaliknya.

“Bagi saya, kita perlu beri mereka (muka baru) masa setahun untuk membuktikan yang mereka boleh buat kerja. Kalau mereka pun sama, lebih baik letak jawatan selepas tempoh tersebut,” kata- nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Empat orang lama yang akan mempertahankan jawatan mereka ialah Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad (Timbalan Presiden), Datuk Afandi Hamzah (Naib Presiden) serta Datuk Ibrahim Shamsud- din dan Datuk Soh Chin Ann (Exco).

Ketika diminta mengulas tentang kemunculan semula bekas Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kembali bertanding jawatan yang dilepaskannya pada 2007, Kay Kim berpendapat Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu memiliki peluang untuk menang.

“Kita memang memerlukan individu seperti ini yang benar-benar berpengalaman dalam bola sepak dan faham tentang tanggungjawab yang perlu dipikulnya.

“Bagi calon-calon lain juga, andai mereka terpilih nanti apa yang penting mereka perlu tunaikan segala janji yang mereka taburkan,” ujarnya.

Memandangkan sesi pemilihan FAM dijalankan secara demokrasi iaitu dua undi setiap perwakilan yang berjumlah 19 perwakilan semuanya, Kay Kim mengingatkan mereka supaya bijak membuat pilihan pada Sabtu depan.

“Ini salah satu kelemahan proses demokrasi. Perwakilan sebenarnya perlu bijak membuat pilihan.

“Jika mereka sendiri memilih individu yang akhirnya nanti tidak boleh buat kerja, mereka juga sebenarnya patut disalahkan kerana itu apa yang mereka telah pilih,” jelas Kay Kim.

Justeru buat semua yang akan mewakili 19 ahli gabungan FAM untuk mengundi pada Sabtu depan, buatlah pilihan yang bijak dan tepat demi kemajuan bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Berikut adalah senarai calon-calon bagi setiap jawatan yang dipertandingkan serta analisis Kosmo! tentang siapakah yang bakal terpilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2010-2014.

TIMBALAN PRESIDEN

SALAH satu daripada dua jawatan ini diramalkan akan menjadi milik Tengku Abdul- lah Sultan Ahmad Shah berdasarkan kredi- biliti baginda yang pernah menjadi Timbalan Presiden FAM untuk tempoh jangka masa cukup lama sehingga membuat keputusan meletak jawatan pada 2007.

Kini selepas tiga tahun tidak bersama FAM, Tengku Abdullah tergerak hati untuk kembali membawa pembaharuan dalam tampuk pentadbiran bola sepak negara, sekali gus dapat mengukuhkan semula kedudukannya selaku Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Satu lagi slot pastinya akan menjadi rebu- tan lima calon lain yang terdiri daripada pe- nyandang, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Redzuan dilihat keseorangan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2004 itu kerana seorang lagi penyandang, Khairy Jamaluddin Abu Bakar awal-awal lagi telah ’menyerah kalah’ apabila tidak mahu meneruskan hasrat untuk bertanding pada pemilihan kali ini.

Jika berdasarkan trend semasa, Redzuan diramal tidak mampu untuk mempertahankan jawatannya itu seandainya semua perwakilan sependapat untuk merasai angin baru dalam pentadbiran FAM.

Begitu juga Che Mat yang mungkin dianggap telah berjaya menggalas tugas seba- gai Naib Presiden FAM serta menjadi Penge- rusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan sepanjang penggal 2007-2010 tetapi dilihat belum cukup mampu untuk bergelar Timba- lan Presiden.

Yang tinggal hanyalah Annuar, Shahidan dan Mokhtar tetapi saingan sengit dijangka hanya akan melibatkan Annuar dan Mokhtar kerana Shahidan secara lisan sudah pun me- nyatakan akan menarik diri daripada pencalonan merebut jawatan ini.

Annuar dilihat memiliki karisma dan kemampuan. Beliau berjaya membawa kegemi- langan buat bola sepak Kelantan sejak meme- gang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dua tahun lalu.

Namun, apa yang menjadi kerisauan ialah mampukah Annuar bekerjasama dengan Presiden FAM dan seorang lagi Timbalan Presi- den FAM yang dilantik kerana dia selama ini lebih dilihat menonjol secara individu dan bolehlah dianggap masih baru dalam kancah bola sepak negara.

Berbanding Mokhtar, biarpun beliau tidak sepopular Annuar yang wajahnya sering terpampang di kaca televisyen mahupun akhbar-akhbar tempatan, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu terbukti lebih berpengalaman kerana telah berkecimpung dalam bola sepak tempatan hampir 20 tahun.

Setelah begitu lama bersama FAS, mungkin sudah tiba masanya Mokhtar mencurah- kan pula segala pengalaman dan pengetahu- annya dalam bola sepak pada peringkat kebangsaan pula bersama FAM.

NAIB PRESIDEN

TANPA ragu-ragu, salah satu daripada empat slot bagi jawatan Naib Presiden FAM ini pasti akan menjadi milik Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Pengalamannya mengetuai sekretariat FAS selain turut berjaya sepanjang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM dianggap bekalan yang cukup selesa untuk Hamidin ‘dinaikkan pangkat’ setelah dilantik sebagai Exco FAM pada 2007.

Maka tiga lagi slot Naib Presiden akan menjadi saingan sengit tujuh calon lain iaitu Datuk Afandi Hamzah, Datuk Subahan Kamal, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Datuk Lawrence Gimbang dan Datuk Abdullah Hishan Mohd. Hashim.

Afandi menjadi penyandang tunggal jawa- tan setelah tiga lagi rakan sejawatannya bagi penggal 2007-2010 tidak bertanding memper- tahankan jawatan masing-masing.

Che Mat bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden manakala Datuk Gulzar Mohamad dan Ahamad Mohamad awal-awal lagi sudah melepaskan jawatan mereka dan tidak berhasrat mempertahankannya.

Afandi yang juga Naib Presiden KAFA dilihat tidak mampu untuk mencatat kemena- ngan kali ini memandangkan tiada apa yang ditonjolkannya sepanjang tiga tahun dipilih sebagai Naib Presiden FAM.

Begitu juga Raja Ahmad Zainuddin yang pernah memegang jawatan Naib Presiden FAM sehinggalah beliau tewas pada pemili- han 2007 dan tiada sebarang aura untuk me- raih undi pada pemilihan kali ini.

Yang tinggal hanyalah lima calon yang semuanya merupakan muka baru iaitu Suba- han, Subramaniam, Zahrain, Lawrence dan Abdullah Hishan.

Subahan dilihat berpeluang untuk menang memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu merupakan penolong pengurus skuad kebangsaan sejak Jun 2009 yang menjadi ‘tulang belakang’ kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009.

Selain itu, Subahan turut memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Selangor (SHA) dan pernah menjadi penolong pengurus skuad Liga Super Selangor dan pengurus skuad Piala Presiden Sela- ngor, sekali gus membukti- kan minat mendalamnya dalam bidang sukan.

Subramaniam juga mungkin terpilih berdasarkan jawatannya sebagai Presiden Majlis Sukan India Malaysia yang mungkin mampu menjadi suara kaum India dalam FAM.

Zahrain pula biarpun dikecam kerana Pulau Pinang bakal tersingkir ke Liga Perdana musim depan memandangkan beliau adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), kedudukannya sebagai seorang Ahli Parlimen mungkin menjadi satu kelebihan.

Ini kerana beliau boleh bersuara mewakili FAM ketika isu bola sepak negara menjadi topik perbincangan dalam sidang Dewan Rakyat setelah ketiadaan Khairy.

Tidak banyak pula yang boleh diperkata- kan mengenai dua lagi calon iaitu Lawrence dan Abdullah Hishan kerana nama mereka tidak begitu menyerlah atau popular di dalam arena bola sepak negara.

AHLI EKSEKUTIF (EXCO)

HANYA lapan daripada 13 calon akan terpilih bagi jawatan ini dan beberapa nama dianggap pilihan untuk mendapat majoriti tertinggi pada pemilihan itu nanti.

Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astaman Abdul Aziz, Wan Mohd. Nizam Wan Omar dan S. Sivasundaram dilihat sebagai empat calon yang mungkin tiada masalah untuk menang.

Takiyuddin dengan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) bakal menjadi pilihan perwakilan.

Astaman pula selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) dan ‘orang kuat’ di sebalik penganjuran kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia dan Le Tour de Langkawi (LTDL) sejak 2007 membuktikan beliau berkredibiliti tinggi untuk berada dalam Kabinet FAM kali ini.

Wan Nizam selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dan Siva- sundaram selaku Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pula tidak lagi boleh diragukan sumbangan mereka kerana kedua- duanya begitu aktif sepanjang menjadi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sehingga hari ini.

Empat lagi calon mungkin diisi Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman (Pahang), Dr. Hamdan Mohamed Khalib (Kedah), Datuk Jeferey Low Han Chau (Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia) dan Mejar Rani Abdul Rahim (ATM).

Dua penyandang, Datuk Ibrahim Shamsud- din dan Datuk Soh Chin Ann serta Bendahari FAM, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim pula mungkin memiliki peluang yang tipis untuk menang.

Rencana Utama!»

Mahasiswi sulung sandang gelaran

MAIZURA hanya memulakan latihan debat secara intensif dari pukul 6 petang sehingga 10 malam setiap hari.

Varia!»

Peristiwa berdarah di Sungai Siput

SEBUAH ladang getah di Sungai Siput yang menjadi mangsa sabotaj komunis semasa Darurat.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16