PESONA

Misi Salam di Pulau Carey

Misi Salam di Pulau Carey


SERAMAI 50 sukarelawan Yayasan Salam berkampung di Pulau Carey untuk menanam pelbagai jenis pokok hutan.


KETIKA orang lain mungkin masih diulit mimpi di kala cuti pada hujung minggu, seramai 50 sukarelawan Yayasan Salam berkumpul seawal pukul 7.30 pagi untuk satu misi murni. Atas kesedaran untuk terus memelihara dan memulihara bumi, mereka bertemu bagi menanam pelbagai pokok hutan di kawasan Wild Sanctuary, Sime Darby yang terletak di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor pada 3 Julai lalu.

Mengambil masa hampir satu setengah jam ke kawasan penanam dari bangunan Salam, Petaling Jaya, projek di bawah seliaan pengarahnya, Noraini Long itu berjalan lancar walaupun menggunakan konsep berkongsi kereta.

Semua sukarelawan yang tiba kira-kira pukul 9 pagi disambut oleh beberapa kakitangan Sime Darby yang bersedia menunggu di tapak penanaman tersebut.

Usai mendengar taklimat ringkas, semua peserta yang nampak sangat bersemangat memula melakukan tugas masing-masing untuk memastikan 154 pokok berjaya ditanam.

Antara spesies pokok yang ditanam ialah pokok balau sengkawang air atau nama saintifiknya Shorea Sumatrana, durian dauk (Durio Lowianus) dan mata pelanduk (Ardisia Elliptica).

Turut ditanam ialah pokok kayu arang (Diospyros Pilosanthera), keladan (Dryobalanops Oblongifolia) dan myrtacea (Syzygium Pyrifolium).

Menurut Noraini, selain menanam 154 batang pokok, setiap sukarelawan juga menulis nota ringkas yang mengandungi harapan mereka terhadap pokok-pokok yang ditanam di kawasan tersebut.

Kemudian katanya, nota ringkas itu dimasukkan ke dalam satu kapsul yang ditanam di bawah sepanduk Yayasan Salam sebagai salah satu memorial. Nnota-nota itu akan dilihat semula untuk beberapa tahun lagi.


SEORANG sukarelawan khusyuk mengikat pokok yang baru ditanamnya pada sebatang batang buluh.


"Kami merancang untuk membuat lawatan susulan setahun sekali ke sini untuk melihat perkembangan pokok-pokok yang ditanam.

"Kita juga akan memasukkan program ini dalam ruangan Portal Kempen Menanam Pokok Kebangsaan sebagai salah satu sumbangan dan tanda usaha sama sukarelawan Salam dalam menyahut seruan negara mencapai kira-kira 20 juta pokok ditanam menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam, Md. Ghani Ibrahim yang turut serta dalam program penanaman pokok berkata, beliau sangat berpuas hati dengan komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh semua sukarelawan sepanjang aktiviti itu berlangsung.

Malah, Md. Ghani turut mengakui beliau begitu berbangga apabila sukarelawan tersebut menunjukkan semangat kerjasama begitu tinggi apabila terlibat secara total dalam program berkenaan termasuk bersama-sama menyediakan segala kelengkapan untuk program berkenaan.

"Program ini merupakan aktiviti julung-julung kali diadakan antara Yayasan Salam dengan Sime Darby di Pulau Carey. Saya begitu berterima kasih kepada pihak Sime Darby yang memberikan kami ruang untuk sama-sama berbakti pada alam sekitar.

"Kami difahamkan bahawa kawasan penanaman pokok ini menjadi tempat persinggahan burung-burung yang datang berhijrah atau singgah di Pulau Carey. Malah, Sime Darby juga dikatakan sedang berusaha untuk menjadikan kawasan ini sebagai hutan simpan dan kita sangat berbesar hati kerana dapat berbakti serta bersama-sama menyumbang ke arah pemuliharaan alam sekitar," ujarnya.

Beberapa sukarelawan yang ditemui jelas menunjukkan rasa puas hati dan gembira apabila misi untuk menjayakan program itu terlaksana sepenuhnya.

Walaupun perlu mengorbankan cuti hujung minggu dengan 'mengotorkan' tangan untuk mengorek tanah dan menanam pokok, itu bukan halangan besar bagi sukarelawan Yayasan Salam.

Nur Ly Azyani Azmi, 30, yang mengakui keseronokan bersama para sukarelawan sejak awal pagi berkata, setiap peserta telah bersedia dengan peralatan sendiri.


YAYASAN Salam mengumpulkan sukarelawan daripada segenap lapisan masyarakat untuk pelbagai aktiviti murni daripada kebajikan masyarakat sehinggalah memulihara sekitar.


Bagi kakitangan kerajaan itu, persediaan awal untuk membawa peralatan seperti sarung tangan dan sudip bagi mengorek tanah memang sudah diingatkan oleh rakan-rakan yang lain.

"Sebagai sukarelawan, saya memang gemar dengan aktiviti yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan alam sekitar seperti ini.

"Saya juga rasa teruja dan gembira apabila cuti hujung minggu seperti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk kehijauan alam," katanya.

Pendapat yang sama juga diakui oleh K. Vellasamy, 44, apabila dia menambah, aktiviti itu memberi kesedaran kepada mereka tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

"Masyarakat mungkin tidak faham kenapa perlu aktiviti seperti ini tetapi apabila kita melakukan dan menyertainya, barulah kita nampak kebaikannya kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia bahkan ekosistem hidupan lain," ujarnya.

Bagi Mohd. Aizuddin Ramli, 24, yang baru hampir setahun menjadi sukarelawan pula, aktiviti yang dijalankan begitu menarik minatnya.

"Ini merupakan aktiviti sukarelawan saya yang kedua bersama Yayasan Salam dan saya sangat tertarik dengan program yang dijalankan kerana selain aktiviti kebajikan ia juga menekankan mengenai penjagaan alam sekitar," katanya.

Selain aktiviti penanaman pokok, peserta program tersebut turut dibawa melawat beberapa tempat menarik yang terdapat di situ seperti Golden Heritage Banglo, Arboretum Plot (plot tanaman herba), kandang rusa dan sarang burung hantu.

Rencana Utama!»

Waspada sajian pada Aidilfitri

PESAKIT diabetes perlu menjalani rawatan dan menjaga pemakanannya sepanjang hayat. - Gambar hiasan.

Varia!»

Jual kerana suka-suka

EYQA (kanan) dan rakan kongsi Muhammad Zulkarnaen gembira penat lelah mereka membuahkan hasil.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31