URBAN

Seni karya empat negara

Seni karya empat negara




SATU persatu lukisan yang terdapat di ruang pameran Artriangle, Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur itu dibelek, disentuh dan diamati oleh Muhammad Afandi Khalid, 20. Dia begitu taksub melihat hasil karya yang ditonjolkan pelukis-pelukis tersebut.

Baginya, lukisan-lukisan yang terdapat di galeri tersebut memberi 1,001 kisah dan cerita di sebaliknya malah, apa yang cuba disampaikan pelukis kadangkala sukar untuk difahami Afandi walaupun dia merupakan pelajar Diploma Reka Bentuk Grafik, Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), Kuala Lumpur.

"Seni yang ditonjolkan pelukis begitu tinggi. Hanya orang yang mempunyai bakat kesenian mendalam sahaja dapat memahami apa yang cuba disampaikan pelukis-pelukis ini. Sementara saya baru belajar mengenai seni lukis.

"Kami diminta pensyarah untuk meneliti hasil karya yang terdapat di sini dan seterusnya melakukan kerja kursus berkaitan lukisan," katanya yang bersemangat melakukan yang terbaik untuk kerja kursusnya itu seperti mana pelukis-pelukis itu begitu bersemangat menghasilkan karya mereka masing-masing.




Sementara itu, menurut pensyarah Reka Bentuk Grafik PTPL, Mohd. Syukri Mohd. Sharif, 30, tujuannya membawa pelajar-pelajar yang terdiri daripada semester satu hingga lima itu ke pameran tersebut kerana ingin memberi pendedahan kepada mereka mengenai lukisan sementelah lukisan merupakan salah satu subjek yang terdapat dalam Diploma Seni Reka Bentuk Grafik.

"Biar mereka tahu bagaimana lukisan dihasilkan, material yang digunakan dan sebagainya. Selepas itu, mereka akan diberi kerja kursus dan markah daripada kerja kursus tersebut akan dimasukkan dalam ujian penilaian semester," katanya mengenai program lawatan tahunan pelajar Diploma Seni Reka Bentuk Grafik PTPL ke galeri-galeri lukisan yang terdapat di Kuala Lumpur.

Sememangnya hasil lukisan yang dipamerkan begitu unik dan pelbagai. Malah, ia melambangkan sesuatu adat dan budaya masyarakat masing-masing.

Pameran yang diberi nama Artiangle itu merupakan buah tangan pelukis dari empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Pameran yang dianjur dan dikendalikan oleh HOM (House of Matahari), Ampang, Selangor dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara itu bukan sahaja mempamerkan lukisan tetapi juga beberapa arca menarik daripada 128 orang pengkarya empat negara itu.




"Seramai 84 pelukis dari Malaysia, 20 pelukis dari Indonesia, 14 pelukis dari Filipina dan 10 pelukis dari Singapura mengambil bahagian dalam pameran itu," kata Pengarah Projek HOM, Bayu Utomo Radjikin.

Jelasnya, pihaknya sentiasa berniat mengadakan sebuah program yang akan memberi manfaat kepada artis-artis dan dunia seni secara umumnya.

"Melalui pameran Artriangle ini, ia mampu menjadi salah satu program yang membolehkan Kuala Lumpur menjadi perantara artis-artis dari rantau Asia Tenggara bekerjasama dan mempamerkan hasil kerja-kerja mereka.

"Ia juga merupakan platform untuk artis-artis muda menonjol dan mengembangkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Pameran yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah BSLN, Datuk Mohd. Yusof Ahmad itu akan berlangsung selama sebulan bermula sejak 7 Julai lalu.

Ia dibuka kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan masuk adalah percuma.

Rencana Utama!»

Waspada sajian pada Aidilfitri

PESAKIT diabetes perlu menjalani rawatan dan menjaga pemakanannya sepanjang hayat. - Gambar hiasan.

Varia!»

Jual kerana suka-suka

EYQA (kanan) dan rakan kongsi Muhammad Zulkarnaen gembira penat lelah mereka membuahkan hasil.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31