INFINITI

Dua skrin sentuh Libretto

Dua skrin sentuh Libretto


LIBRETTO W100 menawarkan rekaan menarik dan mempesona kepada pengguna.


KERANCAKAN pembangunan peranti terkini menyaksikan terdapat banyak produk dihasilkan semakin kecil dan ringan untuk memenuhi keperluan pengguna pada hari ini.

Industri pengkomputeran tidak terkecuali dalam trend pembikinan peranti tersebut agar dapat menarik minat pengguna yang sentiasa inginkan sesuatu produk kecil dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja bersesuaian dengan gaya hidup mereka.

Menyedari permintaan pengguna, pengedar eksklusif sistem teknologi maklumat dan komunikasi Toshiba , Tele Dynamics Sdn. Bhd. (Tele Dynamics) bakal memperkenalkan model komputer buku mini dua skrin sentuh yang pertama di pasaran tempatan.

Model Libretto W100 itu dilengkapi dengan dua skrin sesentuh diod pemancar cahaya (LED) bersaiz tujuh inci disasarkan kepada mereka yang ingin menikmati teknologi terkini dalam industri pengkomputeran.

Dengan adanya dua skrin sesentuh LED tersebut, peranti terbaru keluaran Toshiba ini dapat membantu pengguna melakukan pelbagai tugas secara serentak.

Pengimejan yang bakal dinikmati pengguna juga lebih sempurna apabila ingin melayari Internet, menyaksikan video atau filem dan mendengar muzik.

Keunikan skrin sesentuh berkenaan adalah ia dapat digunakan secara menegak ataupun mendatar sekali gus memudahkan lagi penggemar perkhidmatan e-buku atau e-novel menikmati karya kegemaran mereka melalui peranti itu.


INOVASI dua skrin sentuh memberi pilihan kepada pengguna melakukan dua kerja serentak.


Libretto W100 turut menawarkan enam jenis mod kegunaan variasi papan kekunci maya mengikut kesesuaian pengguna. Papan kekunci maya yang lebih sensitif memudahkan lagi pengguna menaip, menekan butang dan melayari Internet.

Antara mod tersebut ialah mod papan kekunci penuh, mudah, angka dan papan kekunci terpisah.

Papan kekunci maya sesentuh ini membolehkan pemiliknya merasa tindak balas sentuhannya apabila menekan pada mana-mana butang papan kekunci.

Selain daripada itu, dengan aplikasi Toshiba Bulletin Board dan ReelTime, ia memudahkan pengguna mencari serta memasuki dokumen yang diingini pengguna lebih pantas.

Inovasi pembikinan Libretto W100 tidak melupakan aspek reka bentuk menarik dan ringan menepati cita rasa pengguna.

Bersesuaian perkataan mini peranti berwarna hitam berkilat dengan berat hanya 800 gram mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja khususnya mereka yang gemar mengembara.

Libretto W100 dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Pentium U5400, cakera keras 62 gigabit dan kamera web satu mega piksel serta sistem operasi Windows 7. Penggunaan gajet tanpa wayar seperti tetikus, fon kepala dan pembesar suara juga lebih efisien apabila didatangkan dengan Blueetooth versi 2.1.

Model terbaru itu dijangka berada di pasaran pada bulan September nanti dijual pada harga RM4,199.

Rencana Utama!»

Perjumpaan wajib
setahun sekali

BERGOTONG-ROYONG menganyam ketupat antara aktiviti lazim yang dapat dilihat di kampung-kampung.

Varia!»

Tapai pulut tiga perisa

TAPAI pulut Sarimah mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 31