GENK

Memori belajar di sekolah pondok

Memori belajar di sekolah pondok


ZAMAN KHAN (duduk empat dari kiri) sewaktu bersekolah di Sekolah Inggeris Kerajaan Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1953.


PERNAH memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, nama Datuk Muhd. Zaman Khan sememangnya sentiasa diingati dalam dunia kepolisan tanah air.

Malah, jika menyelusuri perjalanan kariernya, beliau tergolong sebagai seorang pegawai polis yang mempunyai pencapaian cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

Di bawah kepimpinan beliau, banyak kes berprofil tinggi dapat diselesaikan. Ini termasuklah siasatan mengenai penjenayah paling dikehendaki sekitar tahun 1970-an, Botak Chin dan Bentong Kali atau P. Kalimuthu serta kes pembunuhan kontroversi melibatkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris oleh Mona Fandey bersama suami, Mohd. Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Hussin.

Namun, di sebalik kejayaan yang telah dikecapi dalam hidupnya, mungkin ramai tidak mengetahui kisah silam yang dilalui Zaman Khan suatu ketika dahulu.


ZAMAN KHAN menerima pingat Darjah Setia Negeri dari Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar pada tahun 1978.


Berpeluang menemubual beliau di pejabat Majlis AIDS Malaysia (MAC) di Sentul baru-baru ini, perasaan kagum pantas menyelinap di dalam kotak fikiran penulis apabila melihat daya ingatan bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia itu yang sangat kuat dan tajam.

Bayangkan beliau mampu mengingati satu-persatu nama-nama rakan seangkatan sejak di sekolah rendah termasuk guru-guru yang menjadi sumber inspirasinya.

Memulakan bicara, Zaman Khan berkongsi cerita bahawa zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Daripada belajar di sekolah pondok, sekolah Melayu, dihantar ke sekolah Inggeris sehinggalah meneruskan pelajaran di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur pada tahun 1961, semuanya menyimpan kenangan yang sukar dilupakan.

"Waktu kecil dahulu, saya dihantar oleh ayah dan emak untuk tinggal bersama seorang bapa saudara, arwah Husin Harun di Kampung Serendah, Chetok, Pasir Mas, Kelantan.

"Di sanalah saya membesar bersama sepupu-sepupu yang lain. Walaupun ayah dan bapa saudara saya tidak berpendidikan tinggi, namun mereka tahu kepentingan dan nilai ilmu. Lantaran itu, mereka kemudian membina sebuah pondok kecil untuk dijadikan tempat belajar di dalam kawasan Sekolah Tok Uban," imbau Zaman Khan.

Biasanya beliau akan bertolak ke sana pada hari Ahad dengan berjalan kaki bersama tujuh atau lapan orang sepupunya dan pulang semula ke rumah selepas habis sekolah pada petang Khamis.


KENANGAN Zaman Khan (kanan) menyertai kursus khas di London semasa berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia pada tahun 1963.


Merupakan individu paling kecil berusia tujuh tahun ketika itu, Zaman Khan yang berketurunan Pathan iaitu salah satu suku di Afghanistan di sebelah bapanya memberitahu, di pondok tersebut hanya ada tikar, bantal dan kain selimut sahaja.

Untuk makan, mereka akan memasak lauk yang ringkas seperti ikan kering dan nasi serta ulam yang diambil di kawasan sekolah.

Pelajar pintar

"Kadang-kadang kami tak duduk di pondok, tetapi berulang-alik dari kampung. Pukul 5 pagi sudah bangun untuk ke sekolah. Kami akan bawa bekal dalam upih pinang yang dimasak oleh ibu saudara. Kemudian pukul 6 petang kami akan balik," katanya sambil menambah jarak perjalanan ke sekolah itu di antara tiga hingga empat kilometer (km).

Sekiranya musim tengkujuh melanda, Zaman Khan dan sepupunya akan menggunakan daun keladi besar atau daun pisang sebagai payung untuk berlindung dari basah kuyup.

"Pada waktu itu payung dianggap satu barang yang mewah. Jadi hanya orang kaya sahaja mampu memilikinya. Kami yang miskin terpaksalah menggunakan apa yang ada," ujar beliau yang mengakui tidak mempunyai cita-cita tinggi sewaktu zaman kecilnya.

Bagaimanapun, Zaman Khan tergolong sebagai pelajar yang pintar. Buktinya, beliau selalu melompat darjah disebabkan lulus dengan cemerlang ujian yang diberikan oleh guru. Contohnya, jika pelajar seusia masuk darjah satu, beliau akan terus lompat ke darjah dua dan begitulah seterusnya.

Menyentuh tentang aktiviti kanak-kanaknya, Zaman Khan suka bermain choh atau galah panjang, gasing, menonton pertandingan wau dan menauk ikan di sawah atau parit.

Ketika dalam darjah empat, Zaman Khan melihat orang yang menjadi guru sangat dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.


ZAMAN KHAN pada satu majlis ketika beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Penjara Malaysia.


"Walaupun mereka tak tahu tulis nama dan ambil gaji pun guna cop jari, tetapi mereka tetap disanjung oleh orang-orang kampung.

"Sedikit sebanyak saya mula menjadikan mereka sebagai inspirasi untuk berjaya," katanya sambil tersenyum.

Setelah beberapa tahun di Chetok, ayahnya datang untuk membawa beliau belajar di sekolah orang putih di Kota Bharu. Menumpang di rumah datuk saudara sebelah arwah ibu yang dikenali sebagai Haji Ismail, Zaman Khan kemudian dihantar ke sekolah Prebet Islah selama lima bulan.

Sebelum itu, dia juga mengikuti kelas bahasa Inggeris anjuran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) pada waktu malam berhampiran Masjid Kota Bharu.

Beberapa bulan kemudian, Zaman Khan dibawa pula ke Pasir Mas English School. Guru besar ketika itu, Yusuf Ghouse telah menguji beliau dan beliau lulus dengan baik.

"Saya masih ingat lagi dua orang rakan iaitu Nawi Hasan dan Mohamad Yusuf yang merupakan sepupu. Mereka inilah yang membantu saya lulus untuk masuk kelas pemulihan (special Malay).


BERGAMBAR kenangan sewaktu pembukaan Muzium Penjara Pudu. Pada masa itu Zaman Khan (tiga dari kanan) merupakan Ketua Pengarah Penjara.


"Dalam pelajaran Ilmu Hisab, saya agak lemah, jadi merekalah yang ajar saya cara-cara untuk jawab soalan sekali gus menyebabkan saya terus masuk ke special Malay 2 tanpa perlu mengikuti kelas special Malay 1," jelasnya.

Selepas tamat darjah enam, Muhd. Zaman menyambung pelajaran di Sultan Ismail College di Kelantan. Memilih untuk duduk di asrama, Zaman Khan bercampur dengan rakan-rakan yang baik.

Beliau sangat aktif terutama dalam kumpulan pengakap. Malah, kumpulan beliau merupakan kumpulan pertama yang menyertai pasukan pengakap diraja.

"Tapi malangnya, hingga ke hari ini saya dan empat orang sahabat masih tidak dapat sijil yang sepatutnya kami terima. Tak tahulah di mana ia 'tersangkut'," tuturnya sambil ketawa besar.

Di asrama, Zaman Khan juga aktif dalam sukan ragbi. Di sana beliau mendapat semangat dan dorongan daripada guru-guru seperti Bapoo Hashim, Kam Teck Soon, Azizi Sultan, Leong Chong Kai, Sidek Merican dan H.S Pereirra untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup.

Pada tahun 1961, Zaman Khan belajar di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur sebelum menyertai pasukan polis bermula sebagai Kadet ASP dengan gaji sebanyak RM430 sebulan dan terus berkhidmat dengan cemerlang sebelum bersara pada tahun 1997.

Rencana Utama!»

Waspada sajian pada Aidilfitri

PESAKIT diabetes perlu menjalani rawatan dan menjaga pemakanannya sepanjang hayat. - Gambar hiasan.

Varia!»

Jual kerana suka-suka

EYQA (kanan) dan rakan kongsi Muhammad Zulkarnaen gembira penat lelah mereka membuahkan hasil.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 63