URBAN

Bantah projek lereng bukit

Bantah projek lereng bukit


KERJA menarah lereng bukit menyebabkan nasib penghuni di enam blok Venice Villa di Batu 9 Cheras tidak ubah seperti telur di hujung tanduk.


BARANGKALI tragedi Highland Towers pada tahun 1993 dan tragedi Bukit Antarabangsa pada tahun 2008 masih tidak menyedarkan sesetengah pihak di negara ini.

Sekali lagi, atas nama pembangunan, manusia memandang ringan soal alam sekitar sehingga mengubah kawasan petempatan kepada kawasan yang bakal mengundang bencana.

"Ini sebenarnya tanah perkuburan yang sedang dibina dengan nama petempatan. Cuba lihat bukit ini dikorek dan dua blok seperti di awangan," kata William sambil menuding ke arah dua buah blok, Blok Tujuh dan Lapan yang hanya berpaut pada struktur bangunannya.

Beliau yang juga wakil penduduk Venice Hill itu memberitahu, pembangunan di lereng bukit itu mencabar alam sekitar dan didakwa membahayakan penduduk.

Kini, beberapa penduduk Venice Hill dalam proses menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) supaya mereka dapat membuat bantahan projek petempatan di lereng bukit berkenaan.

"Tindakan itu perlu kerana kami berada pada tahap yang kritikal di mana kerja-kerja menggondol bukit sudah sampai ke tahap yang membimbangkan," jelasnya.

Bagi seorang penduduk, Belinda Koo, keempat-empat blok di bahagian penempatan vila baru itu kelihatan tidak stabil. Venice Hill Kondo ialah penempatan mewah yang dibina di atas bukit di Batu 9, Cheras dengan keseluruhan sembilan blok yang mempunyai 17 hingga 30 tingkat dengan lima pilihan saiz rumah selain unit emper (penthouse).

Diketahui tidak mempunyai pengurusan yang sah, Venice Hill bagaimanapun mampu menjadi residensi yang terbaik buat penghuninya. Namun ia kini dicabar pembangunan di lereng bukit yang membahayakan semua penduduk di situ.

Belinda membeli unit kondo di Venice Hill pada tahun 1999 pada harga sekitar RM200,000. Kini dia bukan sahaja terpaksa menerima kejatuhan nilai tetapi berhadapan dengan risiko tanah runtuh.

"Walaupun blok saya bukan di lereng bukit tetapi saya juga akan terkena tempias jika berlaku tanah runtuh atau seperti tragedi Highland Towers," katanya yang berharap dengan paparan media ini satu penyelesaian akan dicapai.

Pemaju perumahan, Mah Sing Group dikatakan telah membeli tanah di lereng bukit Venice Villa dan membina tiga fasa pembangunan penempatan di bawah nama Hijauan Residence.


PEMANDANGAN begini mengundang risah dan bahaya kepada penghuni kondominium.


Fasa pertama telah siap, manakala fasa kedua dijangka akan disiapkan sebelum hujung tahun. Fasa ketiga yang terletak betul-betul di lereng bukit Venice Hill ialah penempatan townhouse yang baru dimulakan tahun lalu.

Nilai rumah berkembar dan townhouse di kawasan penempatan Hijauan Residence adalah sekitar nilai RM600,000 hingga RM3.6 juta.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa lagi selagi belum menubuhkan JMB iaitu badan pengurusan penduduk Venice Hill yang sah.

"Selepas menubuhkan JMB yang dirancang akan diadakan menerusi sesi pilihan raya pada Sabtu ini, kami akan mengadakan satu perjumpaan dengan pihak pemaju; Mah Sing untuk berbincang tentang masalah dan tahap keselamatan,"kata seorang lagi penduduk, James Ng.

Janji palsu

Belinda Koo mengakui dirinya seperti pembeli awal lain, tertipu dengan tawaran jualan di Venice Hill yang menjanjikan pemandangan hijau.

"Semasa menandatangani dokumen jual beli (S&P), kawasan di sekeliling ini dipetakan sebagai hutan simpanan.

"Ketika itu saya amat teruja kerana dapat tinggal di persekitaran hijau, lebih-lebih lagi hutan simpanan," kata Belinda.

Selain itu, kawasan lereng bukit yang kini dikuasai pemaju dengan projek kediaman mewah pula sebelum itu merupakan padang golf dengan tawaran pakej akses percuma kepada pembeli kondo di Venice Hill.

Pemaju ketika itu menawarkan kami dengan akses untuk ke kelab golf sebagai sebahagian daripada tawarannya.

Selepas dua tahun, Belinda memberitahu tanah itu dijual kepada pemaju dan pembangunan lain mengambil tempat.

Dengan kadar kependudukan yang hanya mencapai 60 peratus, Venice Hill dikatakan pernah didominasi pembeli dari Singapura.

Tetapi disebabkan masalah pengurusan dan keselamatan, pemilik Singapura terpaksa menjualnya kepada penduduk tempatan.

"Selepas masalah pengurusan hampir selesai dengan penubuhan JMB, setiap pemilik akhirnya berjaya mendapat status pemilikan strata. Tapi, kini masalah yang lebih besar pula timbul. Kami berhadapan dengan risiko tanah runtuh," keluhnya.

Sambung Belinda yang disokong rakannya, Robert Too, lereng bukit itu pernah dilanda masalah tanah runtuh ekoran hujan lebat pada awal pembinaan kondo tersebut

"Pihak pemaju telah mengukuhkan bukit itu dengan menggali lubang untuk saluran air hujan dan menguatkan struktur bukit.

"Itulah yang sedang digondol oleh pemaju sekarang," kata Robert yang juga seorang kontraktor pembinaan berpengalaman.


DARI kanan: Robert Too, Moo Heng, James Ng dan Belinda Koo menunjukkan memorandam yang akan dihantar kepada pihak berkuasa atas keselamatan Kondo Vanice Villa.


Berserah pada takdir

"Saya tidak boleh buat apa-apa sebagai orang perseorangan kerana jiran-jiran di sini semuanya masih berdiam diri," kata seorang penghuni di Taman Mudun. Rumahnya juga berdekatan dengan penempatan pembinaan fasa ketiga Mah Sing di lereng bukit itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Lisa, wanita berusia 57 tahun itu sudah tiga dekad menduduki Taman Mudun. Kini dia hanya berserah kepada takdir.

"Bila hujan lebat, lumpur mula memasuki ruang hadapan rumah. Akhir-akhir ini ia semakin parah lantaran kekerapan hujan," kata Lisa yang juga mengakui kebanyakan jiran lamanya telah berpindah ekoran masalah itu.

"Dahulu semasa kondo Venice Hill dibina kami ada berdepan dengan masalah lumpur tetapi selepas siap dibina, masalah itu selesai. Kini ia kembali lagi, lebih-lebih lagi apabila bukit digondol," katanya yang hanya berdoa supaya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasannya.

Dia yang khuatir dengan keselamatan blok kondo memberitahu, jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ia akan membabitkan kawasan dan penduduk yang besar termasuk deretan rumah teresnya yang berdekatan dengan kondo dan penempatan Hijauan Residence.

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 15