NEGARA

RFC diperluas ke seluruh negara

RFC diperluas ke seluruh negara


RFC menawarkan perkhidmatan makanan segera berkonsepkan ayam segar organik kepada mereka yang inginkan kelainan dan mementingkan kesihatan.


KANGAR - HPA Industries Sdn. Bhd. (HPA) yang memiliki Radix Fried Chicken (RFC) merancang memperluaskan rangkaian restoran makanan segeranya yang berkonsepkan ayam segar organik di seluruh negara pada penghujung tahun ini.

Dua lokasi yang telah dikenal pasti ialah di Bangi dan Shah Alam masing-masing di Selangor di samping 10 lagi cawangan yang akan dibuka di Kelantan, Pahang dan Johor.

Pengarah Urusannya, Ismail Ahmad berkata, pasaran di Lembah Klang akan diterokai sepenuhnya apabila RFC mendapat lesen francais yang akan membuka peluang perniagaan kepada usahawan mahupun orang ramai.

"Ayam goreng RFC kini semakin mendapat sambutan daripada orang ramai kerana kami menyediakan ayam organik yang segar dan baik untuk kesihatan serta halal," katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan restoran RFC di Seriab, Kangar iaitu cawangan keenam sejak syarikat itu dimulakan setahun setengah lalu.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan 2 HPA, Fisal Ahmas Tajuddin dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, Muslim Manja.

Menurut Ismail, pihaknya juga merancang membuka sebanyak 400 cawangan RFC di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun termasuk Sabah dan Sarawak melalui perniagaan francais.

Process time in ms: 47