RENCANA UTAMA

Tembakau bencana untuk wanita

Tembakau bencana untuk wanita


WANITA terdedah dengan lebih banyak penyakit apabila merokok berbanding lelaki.


SETIAP tahun, industri tembakau terpaksa mencari rekrut-rekrut baru bagi mengganti mereka yang telah 'meninggalkan' pasarannya.

Istilah 'meninggal' di sini merujuk kepada perokok yang telah meninggal dunia disebabkan penyakit-penyakit kronik yang dibawa oleh tabiat itu.

Industri ini sejak beberapa tahun lalu telah menemui satu kumpulan besar yang agak mudah dipengaruhi untuk menggantikan kekosongan tersebut iaitu wanita.

Usaha mereka nampaknya berjaya hinggakan statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan jumlah perokok wanita di negara maju dan membangun telah meningkat dibandingkan dengan angka bagi perokok lelaki yang semakin menurun.

Menurut WHO, kadar perokok wanita di seluruh dunia dijangka meningkat sekali ganda pada tahun 2025, berbanding hanya sembilan peratus pada tahun 2007. Bagi golongan lelaki dikatakan hampir 40 peratus kaum itu hari ini adalah perokok dan ia sudah sampai pada puncaknya. Malah, menariknya trend menunjukkan peratusan lelaki merokok semakin menurun.

Jurang antara remaja lelaki dan remaja wanita yang mula merokok juga semakin rapat dengan kadar tujuh peratus bagi remaja wanita dan 12 peratus remaja lelaki di seluruh dunia.

Di Malaysia, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 menunjukkan remaja perempuan (13-18 tahun) mula merokok pada umur purata 14.1 tahun berbanding remaja lelaki yang mula merokok pada umur purata 13.6 tahun.

"Kita menyaksikan peningkatan trend perokok wanita di Malaysia dan apa yang membimbangkan adalah umur mereka yang mula merokok adalah semakin muda," kata Ketua Institut Perubatan Respiratori, Datin Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin pada perasmian majlis sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Pelajar sekolah wanita mula merokok biasanya kerana pengaruh rakan sebaya dan adalah penting bagi kita menawarkan sokongan serta kepakaran bagi membantu mereka meninggalkan tabiat itu."

Menurut WHO, wanita merupakan 20 peratus daripada perokok di dunia yang berjumlah satu bilion. Ini bermakna jumlah perokok wanita adalah seramai 200 juta orang dan angka ini semakin meningkat kerana epidemik tembakau juga semakin meningkat di beberapa negara.

Kuasa membeli wanita

Menurut Aziah wanita adalah kumpulan sasaran terbesar industri tembakau pada hari ini kerana mereka dianggap sebagai potensi pasaran yang belum diterokai.

"Wanita pada hari ini adalah lebih maju secara sosial, berpelajaran dan berjaya dalam kerjaya mereka. Mereka mempunyai kuasa membeli yang lebih tinggi serta kebebasan dalam membuat keputusan jika dibandingkan dengan masa lampau. Jika kena dengan teknik pemasaran, mereka rasa boleh merokok tidak kira pada masanya," kata beliau.

Syarikat tembakau menyedari hakikat ini dan menghujani golongan wanita dengan iklan yang 'memujuk' kaum tersebut menganggap rokok adalah simbol bagi kebebasan, glamor dan tarikan seks.


TREND merokok dalam kalangan kaum wanita di seluruh dunia menyaksikan peningkatan ketara.


Sebenarnya strategi pemasaran menumpu pada rasa tidak yakin wanita seperti perlunya mereka mempunyai bentuk badan yang langsing, bergaya serta sepadan dengan rakan sejawat lelaki.

"Tiada keindahan serta kecanggihan dalam merokok. Hanyalah keburukan serta penyakit yang dibawanya," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Dunia.

Katanya, wanita dihidangkan dengan iklan atau kepercayaan yang mempunyai kononnya merokok adalah satu cara 'mengawal' berat badan.

"Tetapi iklan-iklan ini tidak menyatakan kesan buruk yang mengiringi tabiat merokok," kata Rosnah.

Kesan buruk bagi wanita

Penekanan terhadap perokok wanita muncul dengan kebimbangan sejagat setelah didapati jumlah perokok daripada kumpulan ini meningkat begitu ketara dan kemudaratan yang menimpa adalah lebih berat daripada lelaki.

Aziah menambah, pendedahan kepada rokok membahayakan wanita lebih daripada lelaki. "Selain daripada kanser serta masalah jantung dan pernafasan, wanita juga akan mendapat masalah kesuburan dan akan menghadapi risiko semasa mengandung dan kelahiran," kongsinya.

Menurut Aziah lagi, risiko seperti keguguran, bayi tidak cukup umur atau bayi mati dalam kandungan adalah lebih tinggi bagi wanita yang merokok ketika mengandung. Merokok juga meningkatkan risiko bagi menghidap kanser payu dara dan kanser rahim sebelum mencapai menopaus.

Perokok wanita juga menghadapi risiko tinggi terhadap COPD (masalah pulmonari obstruktif kronik) yang menyebabkan kadar kematian lebih tinggi dibandingkan dengan HIV/AIDS setiap tahun di dunia.

Statistik membimbangkan

Menurut Aziah, NHMS 2006 melaporkan daripada 2.7 juta perokok pasif di Malaysia yang berumur dari 18 tahun ke atas, 24 peratus terdiri daripada golongan wanita.

Katanya, satu lagi ancaman terhadap wanita adalah asap daripada perokok lain terutama lelaki.

Statistik WHO memberi gambaran yang lebih suram. Di seluruh dunia terdapat 600,000 kematian setahun disebabkan pendedahan terhadap asap rokok dan 64 peratus daripada angka tersebut adalah wanita.

Seperti kata Ketua Pengarah WHO Dr. Margaret Chan: "Melindungi dan menjaga kesihatan wanita adalah penting bagi pembangunan, bukan hanya bagi generasi hari ini malahan masa akan datang." - Bernama

Rencana Utama!»

Menyuburkan jiwa patriotik

SEBAHAGIAN daripada buku-buku mengenai ketenteraan milik Mohd. Ridhuan yang kerap diulang baca pada masa lapang.

Diva Interaktif!»

Lakonan Uqasha, Pekin

PEKIN dan Uqasha kini mengelak memberi komen tentang status perhubungan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0