INFINITI

Sayangi hutan paya gambut

Sayangi hutan paya gambut


USAHA penanaman pokok mahang ini diharapkan dapat memastikan kelangsungan ekosistem di hutan simpan tersebut.


TANPA kita sedari hutan paya gambut merupakan salah satu khazanah alam yang penting kerana ia merupakan ekosistem terdiri daripada hidrologi, tanah dan tumbuhan.

Kepentingan hutan paya gambut ini bukan sahaja dapat menyediakan pelbagai hasil hutan malah menjadi sumber rantaian makanan kepada kehidupan di sekelilingnya.

Ia juga dapat bertindak sebagai medium untuk mengawal malapetaka seperti kebanjiran malah menjadi sumber bekalan air bawah tanah sekiranya berlaku kemarau yang melampau.

Bagi menjaga kepentingan hutan paya gambut, badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Alam Sekitar Global (GEC) dan Jabatan Perhutanan Selangor telah mengadakan program komuniti penanaman pokok di Hutan Simpan Raja Musa, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.

Dalam program berkenaan seramai 200 peserta sukarela yang terdiri dari pelbagai peringkat umur telah mengharungi panas terik sinaran matahari untuk menanam 2,000 batang pokok mahang atau nama saintifiknya Macaranga pruinosa di hutan simpan berkenaan.

Pengarah GEC, Faizal Parish, berkata, program berkenaan bertujuan memulihkan semula hutan paya gambut sempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia.

"Program ini juga dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif GEC dalam memulihara Hutan Simpan Raja Musa sekali gus memupuk kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan alam semula jadi.


EKOSISTEM hutan paya gambut terdiri daripada elemen hidrologi, tanah dan tumbuhan.


"Ia bukan sahaja dapat memberi faedah kepada alam semula jadi malah dapat memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat sihat apabila komuniti dibawa untuk bersama-sama menanam pokok," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Sejak 10 tahun lalu, beribu-ribu hektar tanah di hutan simpanan berkenaan telah diceroboh oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti pertanian sehingga telah menyumbang kepada salah satu punca masalah jerebu di negara ini.

Walau bagaimanapun, pada 2008, tanah di Hutan Simpan Raja Musa mula mendapat perhatian. Itu menjurus kepada usaha membendung pencerobohan dan kerja pemuliharaan bagi memastikan khazanah tersebut terpulihara.

Faizal menambah, program itu telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk NGO dan syarikat swasta yang prihatin terhadap pemuliharaan alam sekitar.

Program berkenaan akan mengambil masa selama lima tahun bagi memastikan usaha pemulihan hutan paya gambut itu berjaya.

"Hutan Simpan Raja Musa menjadi projek perintis kajian pemulihan hutan paya gambut di peringkat Asia Tenggara," ujarnya yang menambah hasil kajian itu bakal menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Borhanudin Arshad, berkata, dia akan sentiasa memberi sokongan kepada NGO-NGO yang ingin memulihara alam semula jadi di negeri Selangor.

"Kita akan membantu daripada segi penanaman pokok mahang di hutan simpan ini kerana mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

"Kajian telah dilakukan dan pokok mahang amat sesuai untuk penanaman di sini malah mampu bertindak sebagai kanopi kepada pertumbuhan pokok-pokok lain," katanya.

Borhanudin menambah, pokok-pokok tersebut akan mengambil masa sehingga 10 sehingga 15 tahun untuk matang.

Ujarnya, apabila persekitaran di kawasan berkenaan semakin baik, pokok-pokok lain mampu hidup dan dapat mengekalkan semula kehijauan di hutan simpan tersebut.

Dalam pada itu, seorang peserta, Norariani Harris, 35, berkata, dia sangat berpuas hati kerana dapat memberi sumbangan dalam memulihara alam semula jadi apabila menyertai program berkenaan.


FAIZAL (kiri) bersama Borhanuddin turut berganding bahu menanam pokok mahang.


"Ini merupakan sumbangan kecil yang dapat saya lakukan demi menghijaukan bumi tatkala kita kini sedang berhadapan dengan isu pemanasan global," katanya.

Seorang sukarelawan, Chan Quin Er, 23, pula menambah, dia dapat memahami lebih mendalam mengenai cara-cara penanaman pokok mahang apabila menyertai program tersebut.

"Ini adalah kali pertama saya menyertai program ini dan banyak yang dapat dipelajari melalui pihak penganjur," katanya.

Rakannya Daniel Eng, 19, memberitahu, penanaman pokok itu amat penting untuk memastikan ekosistem di hutan simpan berkenaan terus terjamin.

"Paya gambut ini amat penting kerana dapat membantu mengatasi masalah banjir. Ramai orang tidak mengetahui tentang kepentingan paya gambut dan pendedahan perlu dilakukan lagi," ulasnya.

"Program sebegini perlu diterus dari masa ke semasa agar alam semula jadi dapat dipelihara dengan baik," kata Adrew Yit, 23, yang berharap usaha tersebut menjadi teladan buat generasi akan datang..

Program berkenaan turut mendapat sokongan daripada Bridgestone Malaysia dan Sathya Sai Central Council.

GEC akan meneruskan program penanaman pokok itu setiap hari Sabtu minggu kedua dan keempat bagi tempoh tujuh bulan dari bulan Jun hingga Oktober tahun ini.

Mereka yang berminat untuk menyertai program berkenaan boleh menghantar e-mel di alamat outreach@gec.org.my.

Process time in ms: 47