INFINITI

Aplikasi teknologi BE

Aplikasi teknologi BE




SEBAGAI sebuah stesen radio berita pertama di Malaysia yang bersiaran 24 jam, kecekapan menjadi tunjang utama bagi Bernama Radio24 untuk memacu penyampaian berita paling pantas ke telinga pendengar.

Peralihan dunia teknologi analog kepada digital yang kini diserap oleh industri-industri di seluruh dunia tidak mengecualikan stesen radio yang mula beroperasi sejak September 2007 itu untuk turut mengambil bahagian.

Apakah adaptasi kemajuan teknologi yang diguna pakai Bernama Radio24 yang terkenal dengan segmen Kerusi Panas itu? Setelah berlakunya peralihan kepada dunia digital bagi stesen-stesen radio di seluruh dunia, sudah tentulah adaptasi perisian dan peranti-peranti pintar berkemampuan tinggi.

"Bernama Radio24 mengguna pakai sistem Broadcast Electronics (BE) sebagai penyedia terkemuka untuk menyelesaikan misi kritikal ke udara dan radio Internet. Kemampuan BE meliputi pengurusan program, audio, data dan penghantaran digital," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Bernama Radio24, Sheikh Raffie Abdul Rahman.


KOMUNITI Bernama Radio24 sentiasa berhubung sesama sendiri melalui laman interaktif dan telefon pintar, BlackBerry.


BE ialah pembuat terbesar sistem radio di Amerika Syarikat (AS). Selama lebih empat dekad, BE menjadi perintis perkembangan dengan menetapkan standard industri untuk inovasi dan kehandalan, sambil memberikan penyiar dengan pilihan baru untuk produktiviti operasi.

Perkembangan teknologinya mengandungi peralatan terkini untuk kajian, reka bentuk produk baru, ujian dan fabrikasi prototaip.

Perisian terbaik

Kelancaran penyiaran Bernama Radio24 melalui sistem BE dipadankan dengan perisian-perisian penting yang kini mula diguna pakai stesen-stesen radio utama di seluruh dunia. Ia termasuk perisian Newsboss dan AudioVAULT Flex.

"Newsboss memudahkan komunikasi penerbit dengan peneraju melalui alam maya dan membolehkan pembacaan berita disalurkan kepada peneraju secara digital dan akan dipaparkan di salah satu skrin di dalam konti.

"Sistem yang digunakan membuktikan penyerapan teknologi Bernama Radio24 seiring kehendak semasa kerana ia ibarat pembacaan berita yang sering kita lihat di televisyen," jelas Raffie sambil memberitahu pembacaan teks laporan yang dicetak pada kertas tidak lagi praktikal dan memakan masa.

Ia juga membenarkan capaian kepada semua berita dan skrip yang dikemaskini oleh setiap ahli di dalam kumpulan pemberita, memastikan berita yang tepat disampaikan semasa acara berita terpecah.

Selain itu, kelebihan AudioVAULT pula adalah sebagai pengurus audio kerana ia menyediakan segala kelengkapan yang perlu bagi memudahkan capaian kepada fail-fail audio, sekali gus membantu penyampaian kandungan yang terbaik kepada pendengar.


PENERAJU Bernama Radio24, Yunus Sabri membaca laporan berita yang diterima secara digital.


Ia dapat berkongsi data dan audio secara automatik melalui Internet, membenarkan anda memainkan kandungan komersial yang disesuaikan dan boleh menyesuaikan diri dengan aplikasi lain anda perlukan.

Dalam pada itu, peranti pintar penting yang menghubungkan peneraju dengan komuniti di luar bilik konti ialah fader 16 panel Klotz Digital yang membenarkan sebarang kandungan ke udara.

"Gabungan mikrofon peneraju dan komuniti di luar bilik konti, bukan sahaja di dalam bilik berita dikawal sepenuhnya oleh alat ini. Ia menentukan kandungan-kandungan yang akan disiarkan ke udara.

"Ini termasuklah kandungan iklan, rakaman, lagu-lagu dan panggilan yang disambungkan melalui bilik hibrid oleh penerbit talian," katanya.

Adaptasi laman interaktif sosial

Kepantasan menjadi tunjang utama stesen Bernama Radio24 yang sentiasa mahu membekalkan pendengar dengan berita-berita terkini, sensasi mahupun terpecah. Justeru, capaian komunikasi yang terbaik antara wartawan dan bilik berita menjadi satu kemestian.

Tidak seperti beberapa tahun dahulu, kecanggihan teknologi masa kini membenarkan sebarang perhubungan jarak jauh menjadi mudah hanya di hujung jari. Bernama Radio24 turut mengambil kesempatan di atas kewujudan laman web, laman interaktif sosial dan telefon pintar untuk sentiasa berhubung.

Menurut Raffie, pengurusan tertinggi Bernama Radio24 dibekalkan dengan telefon pintar BlackBerry supaya mereka sentiasa dapat mengemaskini maklumat sesama mereka dan menjadikan komunikasi lebih pantas.

"Para wartawan juga dimestikan membuka laman sosial Facebook dan Yahoo Messenger (YM) sebaik sahaja mereka sampai ke pejabat bagi mengemaskini sebarang laporan, aduan atau kandungan berita yang dihantar melalui sistem berkenaan.


SHEIKH RAFFIE menjelaskan tugas penerbitan dan proses menyalurkan berita kepada seorang peneraju Bernama Radio24.


"Selain itu, YM penting kerana semua kakitangan termasuk penerbit dan peneraju berhubung melaluinya tanpa perlu bergerak ke sana sini. Ia mendorong komunikasi menjadi lebih efisien," katanya.

Penggunaan e-mel juga semakin tidak praktikal ketika ini. Sistem komunikasi Bernama Radio24 bergantung kepada pembangunan teknologi komunikasi semasa yang menjadi trend dan ikutan ramai ketika ini.

"Dengan adanya berita Top5 dalam senarai laporan Bernama Radio24, wartawan perlu memikirkan kaedah perhubungan terpantas untuk menyampaikan laporan mereka ke bilik berita sama ada melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas, Facebook, Twitter dan sebagainya.

"Mereka juga bersiaran secara langsung menggunakan telefon bimbit terus dari lokasi tanpa menunggu untuk pulang ke pejabat terlebih dahulu," katanya.

Dengan kemajuan teknologi tersebut, masyarakat turut dapat mengambil bahagian dalam melaporkan berita kepada wartawan atau bilik berita untuk tindakan lanjut.

Komunikasi dua hala dengan pendengar dan masyarakat amat penting apatah lagi 80 peratus isi kandungan Bernama Radio24 adalah berita dan hanya 20 peratus lagu. Bagaimanapun, setiap laporan yang diterima perlu disahihkan terlebih dahulu bagi memastikan kredibiliti bahan berita.

Dengan sumber yang pelbagai, Bernama Radio24 menjadi sebuah stesen radio yang bergerak seiring teknologi, dalam membantu kelancaran capaiannya kepada bahan berita dan menyalurkannya kepada pendengar.

Rencana Utama!»

Persiapan warga emas hadapi banjir

PAK LEH yang tinggal di Kampung Pasar Lama, Pasir Tumboh, Kampung Pasar Lama, Kota Bharu, Kelantan menunjukkan jarak sungai dengan rumahnya yang terlalu hampir.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 47