HIBURAN

Toy Story 3 - Bila Andy dewasa

Toy Story 3 - Bila Andy dewasa




PERTAMA kali muncul di layar perak pada tahun 1995 dan kali kedua pada tahun 1999, filem animasi Toy Story dan Toy Story 2dengan mudah membuatkan penonton jatuh cinta kepada watak-watak di dalam filem yang mengisahkan kehidupan dunia permainan secara fantasi.

Buat pengikut setia dua sekuel filem animasi itu, pasti mengenali dua watak utama penggerak filem ini iaitu si koboi, Woody dan Buzz Lightyear yang percaya dia merupakan makhluk angkasa lepas.

Bersama Woody dan Buzz Lightyear, beberapa watak sampingan turut memeriahkan lagi layar perak dengan perangai dan kekecohan yang tidak berkesudahan seperti Mr. dan Mrs. Potato Head, Barbie, Jessie, Bullseye, Rex the Dinosaur, Slinky Dog, Hamm The Piggy Bank dan Squeeze Toy Aliens.

Menerusi Toy Story pertama, penonton dibawa mengenali setiap watak permainan yang terisi dalam bilik kanak-kanak bernama Andy.

Aksi menarik bermula apabila Woody secara sengaja menjatuhkan Buzz dari tingkap bilik dan memulakan misi menyelamat Buzz yang bermula daripada Pizza Planet sehingga ke rumah jiran Andy, Sid yang dikenali sebagai kanak-kanak nakal dan mempunyai hobi 'mendera' barang permainan.




Dalam Toy Story 2 pula, Buzz pula menyelamatkan Woody dari genggaman seorang pengumpul koleksi permainan, Al McWhiggen yang juga pemilik Al's Toy Barn. Al McWhiggen mencuri Woody daripada jualan murah di rumah Andy dengan hasrat untuk menjualnya kepada Muzium Permainan Kinishi di Tokyo, di Jepun.

Pelbagai aksi menarik dalam Toy Story 2 termasuk babak-babak yang menyentuh jiwa kerana dalam sekuel kedua itu Buzz akhirnya menyedari dia juga salah satu permainan apabila dia terlihat banyak permainan yang serupa dengannya di kedai permainan Al's Toy Barn.

Malah, dalam sekuel itu juga Woody baru mengetahui sejarah silamnya yang merupakan salah satu karakter kartun popular dalam sebuah program kanak-kanak di televisyen sehinggalah zaman kejatuhannya ketika muncul permainan versi angkasa lepas.

Kedua-dua sekuel itu digarap dengan baik oleh John Lasseter yang bertindak sebagai pengarah dan juga selaku panel skrip serta lakon layar sehingga melayakkan filem animasi itu mendapat beberapa pencalonan Oscar dan menerima beberapa anugerah.

Tahun ini, Woody, Buzz Lightyear dan rakan-rakannya kembali lagi memecahkan panggung wayang bermula esok, 17 Jun dalam Toy Story 3. Kali ini, filem animasi Toy Story 3 diarahkan oleh Lee Unkrich, seorang pengarah yang pernah terlibat dalam Toy Story 2 dan Finding Nemo memulakan aksinya gara-gara Andy yang kini telah berusia 18 tahun sedang sibuk mempersiapkan diri untuk ke kolej.

Secara tidak sengaja semua permainan kesayangan Andy berada di dalam sebuah kotak yang akan didermakan ke sebuah pusat asuhan kanak-kanak iaitu Sunnyside Daycare. Di situ bermulalah segala cabaran yang tidak pernah mereka bayangkan sebelum ini.


BARBIE bertemu cintanya, Ken di Sunnyside Daycare.


Tempat yang disangka umpama syurga permainan dalam mimpi indah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka digunakan secara kasar oleh kanak-kanak kecil sehingga setiap anggota badan mereka terpisah kepada beberapa bahagian.

Di Sunnyside Daycare mereka turut bertemu dengan rakan-rakan yang baru seperti Lots-o'Huggin' Bear yang bertindak sebagai ketua tempat tersebut, Big Baby dan beberapa lagi karakter baru.

Bagaimanapun, rakan-rakan baru yang diharap dapat membantu mereka melepaskan diri daripada Sunnyside Daycare rupa-rupanya umpama warden penjara yang mengurung mereka di tempat tersebut dek sejarah silam Lots-o'Huggin' Bear dan Big Baby yang ditinggalkan oleh tuan mereka.

Sejak itu, mereka berdendam dengan pemilik permainan dan menganggap Sunnyside Daycare tempat yang sepatutnya untuk semua permainan berada.

Woody yang begitu taat kepada tuannya, Andy bersedia untuk keluar daripada Sunnyside Daycare sebelum Andy pergi melanjutkan pelajarannya di kolej.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 31