RENCANA UTAMA

Rabun silau cetus sakit kepala

Rabun silau cetus sakit kepala




SELAIN rabun dekat dan jauh, rabun silau turut menjadi masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan individu di seluruh dunia.

Bukan saja menyukarkan pengliharan secara normal, rabun silau acapkali mengganggu pemanduan seseorang terutama di waktu malam.

Menurut Pakar Mata Hospital Ampang Puteri, Dr. Rozita Ahmad, tidak ramai yang mengetahui bahawa silau yang dihadapi berpunca daripada dua faktor.

“Kebanyakan silau berpunca daripada astigmatism manakala yang lain berpunca daripada keradangan atau jangkitan pada mata,” jelasnya.

Astigmatism berkait rapat dengan penglihatan menjadi kabur pada semua jarak yang disebabkan oleh permukaan kornea atau kanta tidak sekata.

Apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan pesakit melihat imej yang tidak jelas dan pecah-pecah terutama cahaya pada waktu malam.

Tambah Rozita, astigmatism yang sedikit atau kurang daripada 0.50D biasanya tidak mengganggu penglihatan.

“Namun, sekiranya ia lebih, ia boleh menyebabkan sakit kepala, mata letih dan silau yang kronik. Apabila ini terjadi, pembetulan kornea atau kanta harus dilakukan seperti pemakaian cermin mata atau kanta sentuh khas,” ujarnya.


KEADAAN kornea pesakit rabun silau (kiri). Dengan daya penglihatan yang kabur, ia menyukarkan pesakit terutama memandu pada waktu malam.


Rozita memberitahu, rabun silau boleh berlaku serentak dengan rabun dekat atau rabun jauh dan penyebab kejadian rabun jenis tersebut adalah pelbagai.

Antara faktornya ialah keturunan, kecederaan kornea mata, berlaku selepas pembedahan mata seperti pembuangan selaput katarak, ketumbuhan pada kelopak mata atau penyakit kornea seperti keratoconus.

“Bagi pesakit kencing manis, astigmatism bukanlah satu perkara luar biasa. Ia dikenali sebagai renticular astigmatism, kandungan gula yang berlebihan mampu mengubah bentuk kanta pesakit.

“Bagi pesakit diabetes yang mengalami rabun silau, mereka dinasihatkan agar tidak menjalani pembedahan terlebih dahulu,” katanya.

Bukan fotofobia

Dalam pada itu, Rozita menjelaskan, rabun silau boleh terjadi pada semua peringkat umur. Penghidap akan menyedari masalah astigmatism yang dihadapi apabila berasa tidak selesa terhadap cahaya terutama bagi mereka yang selalu memandu di waktu malam.

Namun ujar Rozita, terdapat perbezaan yang jelas antara mereka yang mengidap astigmatism dan fotofobia.

“Melalui pemeriksaan penglihatan, ujian permukaan kornea dan pantulan, pakar mata akan mengetahui sama ada pesakit tersebut mengalami rabun silau atau fotofobia,” terang Rozita.

Di samping itu, berbeza dengan penghidap jenis rabun yang lain, kadar peningkatan kerabunan mata bagi pengidap astigmatism amat perlahan dan lebih stabil.


PERMUKAAN kornea pesakit astigmatism (kiri) yang berntuk seperti bola ragbi dan tidak sekata.


Senam mata

Selain daripada penggunaan cermin mata, RGP yang menggunakan teknik orthokeratology iaitu memakai kanta sentuh separa keras semalaman bagi membentuk semula kornea menjadi rawatan alternatif bagi memperbaiki keadaan rabun tersebut.

“Teknik senaman yang dikenali Eye-Robic merupakan pilihan terbaik dalam merawat permukaan kornea dan kanta ini. Malah, ia membantu melegakan ketegangan pada otot mata,” katanya.

Bagi kes-kes tertentu, rawatan Photorefractive keratectomy (PRK), Laser-Assisted Sub-Epithelial Keratectomy (LASEK) atau Laser-assisted In Situ Keratomileusis (Lasik) akan digunakan.

“Dalam kes yang serius, pengimplanan kanta atau kornea (Restore) dilakukan bagi memulihkan tahap penglihatan pesakit,” jelasnya.

Rencana Utama!»

Tagih kehidupan baharu

Awal Muharam dijadikan titik permulaan kepada penghuni rumah pemulihan Perkid untuk mengubah kehidupan mereka.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 0