GARAJ

Jentera sarat teknologi

Jentera sarat teknologi




BAGI mereka yang mempunyai bajet sekitar RM300,000 untuk membeli sebuah kereta, pilihan yang terhidang nyata sangat banyak. Jika dikecilkan skop itu kepada model sedan mewah dalam segmen D, beberapa jenama dari Jerman pasti akan terlintas di fikiran.

BMW, Mercedes atau mungkin Volkswagen, semuanya memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Sebelum membuat sebarang pilihan, apa kata anda lihat dahulu produk terbaru yang ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia (VCM) ini.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Volvo sering menjadi jenama alternatif. Maksudnya, ia tumpuan buat mereka yang sudah bosan atau mahu lari daripada kebiasaan yang memilih model Mercedes atau BMW sebagai pengukur kejayaan dalam kerjaya.

Namun begitu, harus diketahui bahawa pembuat kereta dari Sweden itu tidak pernah mahu mengalah. Model-model baru keluarannya tetap mendapat sambutan biarpun pun angkanya tidaklah terlalu besar untuk dicanang ke seantero dunia.

Pendek kata, Volvo berjaya mencipta kelompok peminat setia yang unik. Golongan yang tidak kisah jika harga jualan semula kereta mengalami susut nilai sangat ketara. Apa lebih penting adalah kepuasan memandu kereta yang sering diklasifikasikan sebagai paling selamat dalam kelasnya.

Fokus jentera kali ini adalah model saloon yang diberi nama S80. Sudah memasuki generasi kedua, ia menerima perubahan dari segala segi. Rekaan bersegi-seginya yang konservatif pada tahun 1980-an dan 1990-an sudah diganti dengan gaya lebih segar dan kontemporari.

Ia mengekalkan konsep rekaan yang tidak jauh bezanya dengan model sedan lebih kecil seperti S40 dan S60.

Paling ketara adalah penggunaan reka bentuk lampu belakang yang membuatkan sesiapa sahaja mengetahui bahawa itu ialah sebuah Volvo.

Bagi versi terbaru ini, Volvo S80 juga dibina agar lebih rendah dan kelihatan lebar. Mahu menjadikannya lebih sporty, VCM melekatkan sticker belang berwarna kelabu pada sebuah V80 putih. Hasilnya, pelbagai maklum balas yang diterima.


VOLVO kini menghasilkan reka bentuk jentera yang lebih futuristik.


Ada yang suka. Tidak kurang juga yang menyatakan gaya itu sedikit pelik untuk sebuah Volvo dan saya termasuk dalam kelompok ini. Jangan bimbang, pelekat itu tidak termasuk dalam varian S80 yang ditawarkan. Bagaimanapun, jika anda tetap mahukannya VCM pasti tidak keberatan untuk membantu.

Buat sekian kalinya, Pulau Pinang menjadi destinasi untuk sesi pandu uji. Laluannya meliputi lebuh raya dan jalan kampung yang membolehkan setiap peserta merasai pengalaman mengendalikan Volvo S80 dengan lebih intim.

Kuasa enjin S80

Tidak mahu ketinggalan dalam mengikut trend pembuat kereta dan pasaran global yang mula menggantikan enjin berkapasiti besar kepada lebih kecil dan berkuasa, perkara sama diaplikasikan kepada S80.

Sebelum ini, S80 dibekalkan dengan enjin bersesaran 3.2 liter dengan anjakan kuasa mencecah 200 hp dan tork 300Nm. Namun, penggantian enjin 2.5 liter nampaknya lebih berkuasa. Kuasa maksimum ialah 231 hp pada putaran ejin 4,800 rpm dan tork bertambah sebanyak 40Nm pada rpm serendah 1,700 hingga 4,800 rpm. Justeru, memang sukar untuk anda merasai jentera itu seperti malas hendak bergerak.

Sama ada memandu di bandar yang sesak, lebuh raya mahu pun melayani selekoh di laluan berbukit atau berselekoh, enjin itu boleh membuatkan anda tersenyum. Kuasa yang dihantar ke roda hadapan terasa begitu lancar tanpa perlu dipaksa. Agihan kuasa menerusi kotak gear enam kelajuan automatik geartronic juga dapat memenuhi apa jua corak pemanduan anda.

Andai mahu mengendalikan sendiri kedudukan gear, silakan. Tolak sahaja tuil gear dari kedudukan D ke sebelah kiri dan rasai momentum kuasa yang lebih ketara. Namun bagi saya, meletakkannya pada mode D sudah memadai.

Memang betul kerangka S80 meletakkannya berada di tempat selesa dalam apa jua piawaian keselamatan antarabangsa. Bagaimanapun penetapan sistem suspensi yang saya rasa terlebih lembut, kadangkala menghilangkan dinamik pemanduannya.


MENGGUNAKAN enjin 2.5 liter kuasa maksimum S80 mencapai 231 hp.


Pemandu dapat merasai ia seakan-akan hilang cengkaman terutama ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Rasa hentakan juga agak ketara, membuatkan anda rasa ia perlu diperlahankan. Saya faham bahawa penetapan sedemikian dibuat untuk memberi keselesaan maksimum kepada penumpang, tetapi saya rasa apa yang berlaku mungkin sebaliknya.

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa duduk di kerusi belakang S80 membuatkan anda berasa seperti seorang ketua pegawai eksekutif (CEO). Tempat duduk kulitnya selesa, ruang kaki dan kepala yang luas, ditambah dengan sistem hiburan lengkap bersama serta skrin rata (pilihan) pasti membuatkan perjalanan jauh tidak membosankan.

Ciri keselamatan yang ada pada Volvo pula sering mendahului pesaingnya. Jika akronim yang tertera pada brosurnya memeningkan anda, mungkin ada baiknya andai saya ceritakan berdasarkan kepada pengalaman mengendalikan S80.

Pengarah Jualan dan Pemasaran VCM, Eugene Tay meminta kami agar berhati-hati dan tidak menggunakan semua sistem keselamatan yang ada pada S80. Tetapi sebagai model yang cukup premium aspek keselamatannya, pemandu sudah dapat membuat penilaian sendiri kenapa S80 layak diangkat sebegitu rupa.

Blind Spot Information System (BLIS) berfungsi memberi isyarat kepada pemandu supaya lebih berhati-hati. Isyarat dihantar menerusi kerlipan lampu merah pada tiang A, apabila kamera yang dipasang pada bahagian bawah cermin sisi mengesan kenderaan lain yang menghampiri pada sisi kiri dan kanan S80.

Amaran mengantuk

Selepas beberapa minit memandu, sistem Lane Departure Warning akan mengenal pasti garis yang ada pada permukaan jalan. Sekiranya anda melanggar garis itu tanpa memberi isyarat membelok, ia akan berbunyi. Jika ternampak ikon kopi panas pada paparan maklumat digital, itu bermakna sistem Driver Alert Control (DAC) mendapati anda mungkin sudah penat dan perlukan rehat.


KEMASAN dalam kabin S80 boleh mendapat pujian.


Sebelum pulang dari Pulau Pinang, kami diingatkan bahawa terdapat operasi perangkap had laju di beberapa lokasi. Ini bermakna mahu atau tidak kami terpaksa memandu pada had laju kebangsaan, 110 kilometer sejam (km/j) sahaja.

Terasa amat perlahan dan membosankan, mujurlah Adaptive Cruise Control (ACC) banyak membantu. Tetapkan sahaja kelajuan pada takat 110 km/j, selebihnya biar ACC yang mengawal S80 bagi pihak anda.

ACC bukan sekadar mengekalkan kelajuan tersebut, malah akan membrek sendiri apabila terdapat halangan atau kenderaan di hadapan. Apabila halangan itu sudah tiada, maka S80 akan memecut sendiri untuk sampai semula ke kelajuan tersebut (110 km/j). Memang sangat berguna untuk mengelakkan anda daripada menerima saman oleh pihak berkuasa.

Kalau diikutkan, masih banyak sistem keselamatan yang ada pada S80. Tetapi biarlah anda sendiri yang mengujinya. Untuk semua kelebihan dan kekurangan itu, S80 ditawarkan pada harga RM296,685 seunit tidak termasuk insurans. Bagi memberi ketenangan kepada pemiliknya, S80 hadir bersama jaminan dan perkhidmatan bantuan kecemasan Volvo on Call selama tiga tahun. Anda juga tidak perlu kerap untuk mengunjungi pusat servis kerana ia hanya perlu diservis selepas mencecah perbatuan setiap 20,000 kilometer.

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 46