HORIZON

Perkampungan Orang Utan

Perkampungan Orang Utan




MUSIM cuti sekolah sudahpun tiba. Inilah masanya untuk membawa anak-anak bercuti setelah mereka penat menelaah pelajaran, selain boleh dijadikan peluang untuk ibu bapa mendekatkan diri bersama mereka.

Berbanding memilih percutian yang sekadar memberikan keseronokan semata-mata, apa kata bawa anak-anak anda ke pusat-pusat ekopelancongan mahupun edutainment seperti melawat muzium, zoo, Petrosains mahu pun Planaterium Negara agar mereka boleh menambah pengetahuan di samping beriadah.

Bagi menaikkan mood percutian, anda boleh membawa mereka terbang jauh dari ibu kota ke negeri Di Bawah Bayu kerana terdapat pelbagai sumber pelancongan yang menarik di situ.


PETUGAS di SOURC sedang memberi Orang utan makan, sambil beberapa ekor monyet turut menanti peluang berkongsi makanan.


Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok (SOURC) yang terletak di Sandakan, Sabah adalah antara lokasi menarik untuk dikunjungi kerana selain dapat merehatkan minda, pengunjung turut dapat merasai keseronokan menyaksikan spesies Orang Utan yang semakin pupus.

Pusat tersebut yang telah ditubuhkan pada tahun 1964 pada asalnya berperanan untuk memberi pemulihan kepada anak Orang Utan yang terbiar dan kini telah dijadikan sebagai pusat penyelidikan serta tumpuan pelancongan dengan terdapat kira-kira 60 hingga 80 ekor Orang Utan.

Dengan berkeluasan sekitar 4,300 hektar dan terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kabili-Sepilok, kawasan tersebut didiami oleh pelbagai spesies flora dan fauna antaranya, bunga terbesar dunia raflesia, periuk kera dan badak sumbu.

Menyaksikan bagaimana Orang Utan diberi makan pisang, tebu dan susu sebanyak dua kali sehari iaitu pada jam 10 pagi dan 3 petang pasti meninggalkan memori kerana pelbagai telatah haiwan itu dapat disaksikan. Apatah lagi aksi lucu 'juadah' mereka dicuri oleh monyet ekor panjang.


ORANG UTAN akan diberi makan tebu, pisang dan susu dua kali sehari.


SOURC yang dibuka setiap hari untuk kunjungan pelancong bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu mengenakan bayaran sebanyak RM5 bagi pengunjung dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak. Bayaran tiket bagi pelancong asing pula adalah sebanyak RM30 bagi dewasa dan RM15 (kanak-kanak).

Merakamkan momen indah ketika melancong pasti menjadi sesuatu perkara yang tidak boleh dilepaskan. Dengan bayaran sebanyak RM10 pengunjung dibenarkan untuk merakamkan gambar-gambar Orang Utan mahupun foto peribadi dengan menjadikan kehijauan hutan tropika sebagai latar belakangnya. - SYALMIZI HAMID

Process time in ms: 16