RENCANA UTAMA

Belakang almari jadi dinding

Belakang almari jadi dinding


DINDING ini bukan diperbuat daripada batu konkrit sebaliknya merupakan belakang beberapa buah almari di bilik bersebelahan.


MENJEJAKI pejabat yang terletak di tingkat dua bangunan kedai di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi itu, ruangnya terasa seperti luas.

Meskipun hanya berkeluasan standard 130 meter persegi, kebijaksanaan pemiliknya bermain dengan seni dekorasi membuatkannya kelihatan lebih besar daripada saiz asal.

Hal itu mungkin dibantu oleh kewujudan pembahagi-pembahagi ruang di dalam pejabat tersebut.

Pejabat Faizah Zainal Lifestyle Design terbahagi kepada dua bahagian iaitu pejabat perundingan reka bentuk dalaman dan pusat pelajar.

Pemisah-pemisah ruangnya pula bukanlah dinding konkrit sebaliknya perabot atau elemen bukan objek seperti kuasa warna.

Penggunaan dua warna lantai dan dinding yang berbeza mampu menjadikan sesuatu kawasan itu seperti terbahagi dua.

Ini boleh dilihat di kawasan pusat pelajarnya yang mempunyai dua warna dinding.


WARNA turut memainkan peranan dalam pembahagian seksyen.


Zon

“Kebanyakan orang fikir pemisah ruang perlu dinding batu. Kalau hendak diikutkan, tidak ada dinding pemisah ruang di pejabat ini termasuk yang ini.

“Ini sebenarnya belakang almari bilik mesyuarat sebelah,” kata Faizah Zainal Abidin sambil menunjukkan belakang almari yang telah diubahsuai menjadi dinding kepada krew Jurnal yang tidak menyedari ia bukan konkrit.

Faizah, 46, dan suaminya, Zahari Md. Yasin, 43, merupakan pemilik bersama pejabat itu.

“Suami saya merupakan pereka bentuk dalaman yang juga mempunyai kepakaran dalam perkayuan. Dialah yang buat dinding ini,” kata Faizah.

Terdiri daripada beberapa buah almari, bahagian belakang almari itu telah digabung dan ditampal dengan papan alas bagi membolehkan dinding kelihatan rata.

Setelah itu, ia ditampal dengan petak-petak papan empat segi sama yang menjadikannya nampak cantik.

Faizah berkata, kaedah itu juga dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membina dinding konkrit.

Selain daripada mewujudkan ruang dengan pembinaan bilik-bilik, ruang-ruang boleh dipisahkan menerusi penciptaan zon atau seksyen.

Sesuai dengan kepakaran suaminya dalam bidang perkayuan, terdapat pemisah ruang yang menggunakan kayu yang kemudian dicat warna putih seperti yang terdapat di pejabat perundingan reka bentuk dalaman.


BILIK mesyuarat dengan dinding cermin menjadi papan putih.


Faizah dan Zahari juga menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dengan dua ruang berkongsi satu pendingin hawa.

Kedua-dua ruang itu dipisahkan oleh dinding kayu bertetingkap laluan udara.

Pintu masuk ke ruang pejabat sengaja dibina tinggi dengan dua daun pintu bagi memberikan ilusi ruang lebih gah dan besar.

Jika kebiasaan orang menghasilkan pintu dengan ukuran ketinggian 2.1 meter, pintu itu berketinggian 2.4 meter. Secara umumnya, ruang pejabat itu berkonsepkan semula jadi.

Warna putih sebagai warna utama yang dijalinkan bersama warna coklat pada sofa dan perabot-perabot kayu mencetuskan perasaan tenang.

Hiasan ukiran kayu yang unik di dinding pula melengkapkan lagi elemen semula jadi.


PINTU masuk di tingkat bawah yang dihasilkan secara kreatif oleh Zahari.


Cahaya

“Kami juga banyak bermain dengan elemen pencahayaan menerusi lampu yang tersembunyi.

“Sebab yang penting bagi kita ialah cahaya bukan cahaya itu datang dari mana,” ujar Zahari.

Beralih ke bahagian pusat pelajar, warna-warna yang lebih ceria pula menjadi pilihan.

Untuk menerbitkan aura keterujaan, suntikan warna merah diperlukan.

Sebagai seorang bekas guru, Faizah meneruskan minatnya untuk terus mendidik anak-anak muda dengan membuka pusat pelajar itu.

Faizah menawarkan khidmat bantuan pengajaran, ‘klinik’ membantu pelajar bermasalah dan sebagainya.

Dinding dengan mural lukisan-lukisan tangan merah, biru dan coklat menggambarkan ia satu ruangan aktiviti pelajar.

Terdapat juga rak-rak buku, meja dan kerusi, kusyen santai, televisyen, radio, pantri dan surau untuk kegunaan pelajar.

Percaya atau tidak, tidak terdapat sebarang papan hitam atau papan putih di pejabat ini, sebaliknya mereka menggunakan dinding dan cermin pemisah ruang untuk menulis.

“Kita hanya mengecat satu petak berwarna hitam atau coklat pada dinding untuk menyerupai papan hitam. Kemudian ambil kapur dan tulis.

“Dinding cermin kaca pula kami transformasi menjadi papan putih,” ujarnya mendedahkan kreativiti mereka menjimatkan penggunaan peralatan.

Idea itu juga dilihat menarik untuk diaplikasikan di rumah bagi ibu bapa yang risaukan anak-anak kecil menconteng dinding sesuka hati.

Di tengah-tengah dinding pula ditampalkan cermin untuk memberikan ilusi ruang lebih luas selain berfungsi untuk melihat imej pantulan mereka yang berada di muka pintu masuk.


FAIZAH dan Zahari.


Zahari berkata, penggunaan warna dinding atau lantai yang berbeza dapat menghasilkan pengasingan zon secara tidak disedari.

Beliau menasihatkan agar padanan warna-warna yang dipilih biarlah tidak janggal.

“Apa pun, ia bergantung pada tema sesuatu ruang berdasarkan fungsinya,” ujar Zahari yang pernah bekerja dengan syarikat penyumberan perabot antarabangsa.

Zahari berkata, pejabat itu menyatukan minat mereka suami isteri. Ia dinamakan ‘Lifestyle Design’ kerana gabungan mereka berdua.

“Saya sebagai pereka bentuk dalaman sementara Faizah selain membimbing pelajar, membantu saya menyelami gaya hidup pelanggan bagi menghasilkan rekaan bersesuaian. Kami saling melengkapi,” ujarnya.

Infiniti!»

Beli tiket dengan mudah dan cepat

KAKITANGAN CatchThatBus, Nadiah Syazana Abdullah menunjukkan cara pembelian tiket menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Varia!»

Rawatan bekam ketika berpuasa

BERBEKAM ketika berpuasa paling sesuai dilakukan antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16