RENCANA UTAMA

Puja kubur zaman moden

Puja kubur zaman moden

Individu yang sudah mati sebenarnya tidak mampu memberi sebarang manfaat atau mudarat kepada manusia.


MEMUJA kubur sebenarnya lebih kepada menyembah jin dan syaitan. - Gambar hiasan


BARU-BARU ini Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak merobohkan binaan batu di atas tapak Makam Tujuh Beradik di Pulau Besar bagi membendung amalan khurafat.

Tindakan itu diambil kerana terdapat individu yang tidak bertanggungjawab membina dua kubur baru bersebelahan tapak makam tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bakar memberitahu, kubur baru itu dipercayai sengaja dibina oleh mereka yang melakukan pemujaan di makam tersebut sejak dua tahun lepas.

“Sebenarnya kawasan makam tidak lagi mempunyai mayat kerana kesemuanya telah kami pindahkan berdekatan Makam Sultan Ariffin tetapi beberapa pihak yang sering melakukan pemujaan membina semula kubur berkenaan.


KAIN kuning menjadi antara bahan yang sering digunakan untuk memuja kubur. - Gambar hiasan


Dalam insiden sama di Port Dickson, Negeri Sembilan, kubur seorang pembesar Melayu, Raja Busu turut menjadi lokasi aktiviti-aktiviti khurafat seperti puja nombor ekor.

Satu kejadian di Pantai Timur tidak lama dahulu turut mengejutkan masyarakat setempat setelah kubur seorang bayi dikorek semula bagi tujuan pemujaan nombor ekor.




Realitinya amalan pemujaan kubur bukan perkara baru yang terjadi pada masyarakat khususnya masyarakat Melayu.

Semua amalan tersebut dilakukan kerana untuk mendapatkan nombor ekor selain meminta keramat daripada penghuni kubur untuk maksud tersendiri.

Logik akal

Mengulas perkara ini, pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini memberitahu, perbuatan memuja kubur sebenarnya lebih kepada pemujaan terhadap jin dan syaitan.

“Individu yang sudah mati tidak mampu memberi mudarat ataupun manfaat pada orang lain. Ini jelas menunjukkan kelemahan manusia itu sendiri.

“Malah, lebih malang ramai yang memuja kubur untuk mendapatkan nombor ekor. Mereka memuja untuk mendapatkan wang tetapi secara logik orang yang sudah mati tidak mampu memberikannya,” katanya.

Ujarnya, amalan memuja kubur adalah satu kesalahan malah ia bukan ajaran Islam.

“Perbuatan ini jelas syirik dan berdosa besar. Ingin menjadi kaya dan cemerlang perlu bekerja kuat dan berdisiplin kerana itu kunci utama. Selain itu, kita yakin rezeki yang kita perolehi itu halal. Itu petua sebenar untuk kaya dunia dan juga akhirat,” katanya.

Jumud

Sementara itu pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berpendapat, amalan pemujaan kubur sebenarnya sudah berlaku sejak ribuan tahun lalu.

“Bukan sekarang sahaja diamalkan. Perbuatan ini berlaku sejak dahulu lagi dengan memuja kepada pokok, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bulan dan bintang.

“Kemudian masyarakat menganut agama Hindu dan selepasnya Islam tetapi pengaruh terdahulu masih diamalkan termasuklah memuja kubur.

Ujarnya, melalui penyebaran ilmu Islam yang meluas seseorang seharusnya mengetahui baik dan buruk perbuatan mereka sendiri.

“Tetapi, itulah realiti manusia. Suka mengambil jalan mudah untuk berjaya sedangkan hasilnya jelas membawa kemudaratan semata-mata,” katanya.


PULAU Besar, Melaka merupakan antara lokasi popular bagi individu tertentu memuja kubur. - Gambar hiasan


Pengasas dan pakar pusat rawatan Islam Manarah, Dr. Jahid Sidek berpendapat, perbuatan memuja kubur kerana dipercayai keramat dan mampu mendatangkan kebaikan sebenarnya tidak wujud dalam Islam.

“Manusia sering berfikir perkara yang tidak sepatutnya sedangkan realiti setiap insan jika berusaha sesungguhnya boleh berjaya dalam hidup. Buang segala pemikiran jumud kerana itu penghalang kemajuan,” katanya berfalsafah.

Process time in ms: 47