RENCANA UTAMA

Piawaian pembotolan air mineral

Piawaian pembotolan air mineral




BERBEZA dengan air minuman yang dibotolkan dari mana-mana lokasi termasuk sumber seperti paip dan sebagainya, pembotolan air mineral sebenarnya melibatkan banyak proses.

Spritzer, jenama yang air mineral tempatan misalnya, sentiasa menetapkan standard yang tinggi dalam menghasilkan produk-produknya.

Sejak mula beroperasi pada tahun 1994, kilang Spritzer yang terletak di kawasan seluas 90 hektar di lereng berbukit di Ayer Kuning, Taiping itu mampu mengeluarkan purata 240 juta liter air mineral setiap tahun.

Pengurus Kanan Spritzer, Chong Mee Yoong memberitahu, operasi kilang terbabit kini bergantung sepenuhnya kepada tujuh punca air bawah tanah yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut Mee Yoong, sebelum punca-punca air terbabit dikenalpasti, Spritzer telah mendapatkan khidmat dua pakar geologi berpengalaman. Kedua-duanya akan memberi cadangan lokasi yang mempunyai sumber air mineral terbaik.

"Kita tidak sesekali menyedut air dari dasar bumi jika kandungan dan kualiti airnya tidak menepati piawaian yang ditetapkan.

"Apabila ahli geologi terbabit mengesahkan punca air berkenaan benar-benar berkualiti, barulah kita akan memulakan proses mengepam dan sebagainya," katanya dalam satu pertemuan bersama Kosmo! di kilang terbabit baru-baru ini.

Secara purata semua punca air bawah tanah berkenaan mempunyai kedalaman 121 meter dan air mineral yang dipam perlu melalui sekurang-kurangnya enam peringkat tapisan utama sebelum sedia dibotolkan.

Namun air yang dipam menggunakan peralatan khas itu perlu menjalani ujian sampel yang dijalankan setiap jam demi memastikan ia kekal berkualiti sepanjang masa.

"Memandangkan kilang ini beroperasi tanpa henti 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu, sampel air diambil sekerap mungkin.


PAKAR-PAKAR penyelidik Spritzer akan mengenal pasti unsur mikrobiologi dan kandungan mineral air.


"Pakar-pakar penyelidik Spritzer akan mengenal pasti unsur mikrobiologi dan kandungan mineralnya pada satu-satu masa," katanya.

Katanya, antara prosedur tapisan awal yang dijalankan sebelum air mineral terbabit dipam ke tangki takungan adalah pengoksidaan menggunakan ozon.

Air mineral terbabit kemudiannya ditapis menggunakan penapis berpasir, penapis karbon, penapis membran selain pembasmian kuman secara total sebelum proses pembotolan.

Ujarnya, air yang dipam dari dasar tanah kebiasaannya hanya perlu menunggu kurang satu jam sebelum ia dibotolkan.

"Kita cuba memastikan air yang dibotol benar-benar segar namun dalam proses ini, ia tertakluk kepada kapasiti pembotolan di kilang utama.

"Buat masa ini, kilang Spritzer di sini mampu membotolkan 18,000 unit air minuman bagi setiap jam dan selain itu, kita turut memeriksa secara rawak kualiti kandungan botol yang siap terisi dengan air mineral," katanya.

Apakah perbezaan air mineral, air minuman, osmosis berbalik (RO) dan air suling?

"Pertama, selain air mineral ia diperoleh dari sumber bukan bawah tanah bahkan ia berkemungkinan besar air paip atau sekadar air dirawat.

"Selain itu, air mineral secara semula jadinya mempunyai kandungan mineral pepejal yang sangat tinggi merangkumi vitamin, silikon, kalsium, potasium dan sodium yang kesemuanya sangat seimbang.

"Air minuman, RO atau air suling tidak mempunyai langsung unsur-unsur sedemikian dan mungkin ia hanya sekadar mampu menghilang dahaga," kata Mee Yoong.


AIR yang dipam dari dasar lazimnya perlu menunggu kurang satu jam sebelum dibotolkan.


jarnya, kandungan pepejal terlarut yang terdapat dalam produk Spritzer telah diperakui sekumpulan pakar dari Universiti of London mempunyai kandungan tinggi dan mampu menyahkan unsur aluminium yang terdapat dalam badan.

Mampu tahan lama

Dalam pada itu katanya, air mineral juga sebenarnya mampu bertahan bertahun-tahun berbanding air minuman, melebihi jangka hayat dua tahun yang dipamerkan pada setiap botol.

"Air mineral mampu bertahan dalam tempoh yang lama jika penutupnya tidak dibuka dan tidak terdedah kepada cahaya matahari. Jangka hayat yang tertera hanyalah formaliti seperti yang ditetapkan oleh pihak berwajib," katanya.

Semua pengilang yang mempunyai lesen membotolkan air mineral tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985, ujarnya.

"Semua pemilik lesen mesti membotolkan produk masing-masing punca (air) selain wajib mengemukakan keputusan analisis air dari makmal yang diluluskan kepada kementerian terlibat.

"Ia termasuklah analisis mikrobiologi setiap tiga bulan, analisis kimia setiap enam bulan dan analisis radioaktif yang dilakukan setahun sekali," katanya.

Selain itu, syarat-syarat berkenaan turut mewajibkan pengilang air mineral menggunakan penutup botol berwarna kecuali putih.

Tambah Mee Yoong, tidak timbul isu gimik pemasaran dan sebagainya kerana setiap pemegang lesen sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan.

Malah label jenama air mineral yang hendak dipasarkan perlu dihantar kepada pihak terbabit untuk kelulusan.

Beliau bagaimanapun turut mengakui harga air mineral yang sedikit tinggi berbanding air minuman mahupun RO menyebabkan ramai memilih bukan air mineral.


SUMBER air osmosis berbalik lazimnya bukan berpunca daripada air bawah tanah.


"Secara umum, pengilang tidak menetapkan harga dan ia ditentukan oleh peruncit. Jika dilihat di pasaran ketika ini, harga air mineral hakikatnya tidak terlalu jauh beza dengan air minuman.

"Manfaat dan kebaikan yang terkandung dalam setiap botol air mineral merupakan jawapan kepada perbezaan harga ini," katanya.

Sebagai sebuah syarikat utama yang menguasai lebih 27 peratus pasaran air mineral tempatan, Spritzer sejak sedekad lalu telah mempelbagaikan produk-produknya.

Selain memperkenalkan air mineral berperisa Spritzer Tinge, syarikat terbabit turut membotolkan Sparkling Spritzer, minuman mineral yang dibotolkan bersama kandungan karbonat tanpa gula, pewarna dan perisa tambahan.

Sehingga kini, produk-produk air mineral Spritzer telah berjaya menembusi pasaran beberapa buah negara luar termasuklah Jepun, Australia, New Zealand dan Singapura.

Rencana Utama!»

Kehamilan berakhir dengan pengguguran

KLINIK swasta di Hanoi menyediakan perkhidmatan menggugurkan bayi secara terbuka di premis mereka.

Pesona!»

Senaman tingkat stamina kanak-kanak

Persekitaran, susun atur dan peralatan yang digunakan dalam gimnasium Zac & Zibbo direka khas untuk keselesaan kanak-kanak.

Varia!»

Jutawan bumiputera Phyto Science

NUR FAZLIN FAHSYA (dua dari kanan) bersama rangkaiannya, Mkrich88 menjana pendapatan menerusi produk keluaran Pyhto Science.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 16