RENCANA UTAMA

Terapi udara Jepun

Terapi udara Jepun


KAFE dan ruang rehat ini menjadi titik tumpu fokal di tingkat dua.


Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke pintu masuk spa yang diberi nama Ecoparadise di Kuala Lumpur baru-baru ini, tercari-cari 'syurga' yang tersurat pada namanya.

Rupa-rupanya ia hanya bermula sebaik melepasi pintu itu.

Mata dihidangkan lukisan panjang bermotifkan pokok sakura di atas sutera kilat yang dihiasi rantingan kayu kering pada laluan masuk itu.

Bertentangan dengannya pula, terpapar jalinan batang buluh yang diatur ringkas, menterjemahkan seni reka asas yang didatangkan dari Negara Matahari Terbit itu.

Seiring aura Timur yang diterapkan pada keseluruhan spa, langsir separa labuh dengan motif ahli gusti sumo serta hiasan tatami dilekap secara memanjang pada dinding, menimbulkan ilusi luas pada ruang dalaman.

Berbeza dengan spa yang pernah dikunjungi sebelum ini, tiada aroma terapeutik yang mengisi ruang udara Ecoparadise.

"Kami memilih untuk menerapkan udara dan suasana semula jadi di pusat rawatan kesihatan ini. Tanpa sebarang orientasi khusus melainkan konsep Jepun yang ringkas dan minimalis.


ELEMEN air dan dinding telus matahari antara feng shui yang diterapkan dalam rekaan taman.


"Kami mahu pengunjung menikmati udara bersih yang bebas daripada bakteria," ujar Pengurus Ecoparadise, Leroy Chiam.

Memilih rona lembut pic untuk keseluruhan ruang spa dua tingkat ini, suntikan ketenangan dapat dirasai apatah lagi alunan irama instrumental turut dihidang sebagai halwa telinga.

Terletak di tengah ibu kota, Ecoparadise menawarkan konsep spa yang berlainan berbanding pusat rawatan kecantikan lain.

Ecoparadise tidak menawarkan pakej rawatan kecantikan lengkap seperti spa lain tetapi ia memberi fokus kepada terapi udara yang bebas pencemaran serta tidur di hamparan katil panas yang dipercayai dapat menyahtoksik.

Enzim dalam dinding

"Ecoparadise menggunakan binaan dan persekitaran spa ini sebagai medium terapi udara. Semasa proses ubahsuai bangunan ini, kami telah meletakkan enzim khas di dalam konkrit sebelum ia dilitupi jubin.

"Dinding pula dicat menggunakan formula khusus yang didatangkan khas dari Jepun," kata Leroy.

Apa yang lebih istimewa, cat tersebut berupaya mengeluarkan antioksida yang terkenal sebagai penawar semula jadi kepada ancaman bagi zarah radikal bebas.


SELAIN menjamu mata dan mengambil angin, ruang luas di taman mini juga sering menjadi lokasi parti santai dan majlis makan malam.


Menurut Leroy, zarah radikal bebas banyak terdapat dalam persekitaran. Ia boleh menyebabkan penyakit terutama terhadap kulit dan organ dalaman sekiranya ia terdedah kepada pencemaran seperti asap, racun serangga atau bakteria lain.

"Pengunjung hanya datang untuk menghirup udara bebas bakteria dan tidur selama 40 minit di atas batu panas untuk mengeluarkan toksik melalui perpeluhan.

"Ejen antioksida yang digunakan pada seluruh spa boleh mengawal dan menyingkir radikal bebas pemusnah yang akan memperkukuhkan ketahanan sel tubuh pengunjung.

"Malah, ia juga dapat melambatkan penuaan dan membantu merangsang pemulihan sel dengan pantas selain dapat membaiki asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dirosakkan zarah radikal bebas tersebut," katanya.

Menurut beliau, cat tersebut juga mempunyai daya serapan bau dan kelembapan yang tinggi maka tidak hairanlah jubin di spa tersebut lebih kering berbanding spa di tempat lain.

Mudah diselenggara dan boleh mengeluarkan antioksida selama 10 tahun, spa yang diusahakan bersama antara bapanya, Chiam Soon Hock dan sebuah syarikat berpangkalan di Jepun itu menelan belanja yang tinggi berikutan cat eko yang digunakan adalah lima kali ganda lebih mahal berbanding cat biasa.

Katil panas


ATAS: BATUAN putih dipilih menjadi hiasan lantai di Ecoparadise.


Melewati ruang terapi khas yang diberi nama sempena bungaan indah, tiada perhiasan sarat yang ditempatkan melainkan bantal kayu dan lampu dinding di setiap bilik.

"Kami sengaja hendak menimbulkan mood nyaman. Justeru, pencahayaan dibiar tidak terlalu terang supaya pelanggan berasa lebih rileks," ujarnya.

Suasana santai yang ditemani aluanan muzik mengasyikkan, ditambah pula dengan cahaya suram itu sudah cukup untuk menggamit perasaan ingin lena walaupun berada dalam bilik dengan suhu 47 darjah Celcius.

Membina tanggam khas sebagai dekorasi pemisah antara pengunjung, satu bilik terapi dapat memuatkan dua hingga empat pengunjung dalam satu masa.

"Pelanggan akan berbaring di atas jubin yang dipanggil katil panas ini selama 40 minit untuk setiap sesi.

"Fungsi terapi ini sama seperti sauna, cuma ia tidak menggunakan batu panas yang berasap. Sebaliknya ia menggunakan haba daripada air panas yang disalurkan melalui bawah jubin.

"Oleh kerana tiada asap dan suhu yang ditentukan untuk bilik terapi ini adalah konsisten dan terkawal, pelanggan akan lebih selesa berada di dalamnya," kata Perunding Pembangunan Perniagaan Ecoparadise, Dr. Chua Hui Yen.

Ecoparadise menyediakan 28 katil panas serta ruang khusus untuk pelanggan VIP.

Demi menyesuaikan penampilan material gabungan konkrit dan cermin bermutu tingi, jubin campuran rona coklat dan perang gelap dipilih bagi menghiasi dinding ruang persalinan dan kamar mandi buat tetamu VIP.


JALINAN buluh kuning menyambut tetamu di pintu masuk spa.


Memiliki taman mini Jepun di bahagian bumbungnya, Hui Yen berkata, ia dibina untuk menurunkan suhu panas di tingkat bawah bangunan.

"Elemen air, buluh dan tanaman bonsai yang membentuk taman bergabung dengan kafe terbuka itu menjadikannya destinasi tumpuan untuk diadakan parti santai. Selain itu, ia memberi peluang kepada pengunjung untuk mengambil angin selepas menjalani sesi terapi," katanya.

Spa Ecoparadise kini memiliki lapan cawangan di dalam negara dan empat di luar negara. Harga yang ditawarkan bermula serendah RM20 setiap sesi. Jelas Hui Yen, pengunjung boleh mendapatkan tiga sesi terapi untuk harga RM50.

Process time in ms: 15