RENCANA UTAMA

Manusia sumpah-sumpah

Manusia sumpah-sumpah


STATUS sebagai orang kenamaan untuk menerima imbuhan wang menjadi antara motif kes menyamar di Perak.


MUDAH sahaja Maria Idris memenuhi segala permintaan seorang lelaki yang mendakwa dirinya peguam bertauliah, asalkan suaminya dapat dikeluarkan dari penjara.

‘Peguam’ itu mengambil kesempatan terhadap Maria yang tidak mampu membayar wang ikat jamin seperti yang diputuskan mahkamah.

Maria kemudian bertindak menjual barang kemasnya dan membuat pembayaran melalui akaun bank suspek yang mendakwa boleh membebaskan suaminya dengan jaminan diskaun sebanyak RM10,000.

Selepas seminggu, Maria diminta menambah RM5,000 tetapi dia mula berasa curiga dan akhirnya membuat laporan laporan polis.

Rentetan daripada laporan tersebut, ‘peguam’ itu ditahan bersama beberapa dokumen palsu.

Insiden pahit ditemberang peguam palsu beberapa bulan lalu menyebabkan Maria trauma sehingga kesan itu berbekas di mindanya.

Kes terpedaya akibat aktiviti penyamaran di Malaysia bukan baru malah saban hari, banyak laporan mengenai jenayah licik ini dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Mereka menyamar menjadi polis, kerabat diraja, jutawan, artis malah ada yang berpura-pura menjadi wartawan dalam menjalankan misi masing-masing.

Pensyarah psikologi forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Affizal Ahmad menganggap kes menyamar sebagai sesuatu yang biasa.

“Tiada istilah khusus dalam bidang kriminologi bagi menterjemahkan aktiviti penyamaran. Namun, dari segi psikologi, individu yang terlibat dalam kes menyamar seringkali membabitkan (masalah) personaliti,” katanya kepada Jurnal.


KES 'Tuan Muda' membuktikan aktiviti menyamar tidak mengenal usia.


Profil penyamar

Sikap yang diumpamakan seperti sumpah-sumpah itu membuatkan penyamar lebih senang mengadaptasikan tabiat mereka mengikut situasi, peluang dan persekitaran.

“Dalam erti kata lain, tingkah laku mereka ketika menyamar adalah untuk menutup kelemahan diri sendiri,” jelas Affizal.

Kecelaruan identiti atau personaliti berganda turut dikaitkan dengan tabiat suka menyamar.

Bermula daripada zaman kanak-kanak, perilaku seperti sumpah-sumpah itu adalah hasil daripada pengadaptasian kepada penderaan yang mungkin pernah dialami oleh penyamar.

“Di sinilah wujudnya satu personaliti lain yang akan mendominasi personaliti sebenar penyamar. Objektif kewujudan personaliti alternatif ini adalah untuk mendapatkan perhatian,” katanya.

Kes seperti Muhammad Zul Ariff Abdullah yang menyamar sebagai ‘Tuan Muda’, kononnya anak angkat Tengku Mahkota Pahang mungkin bertujuan untuk mendapat perhatian dan status dalam masyarakat, kata Affizal.

Dalam pada itu, Affizal menegaskan, terdapat profil tertentu bagi kes-kes menyamar.

“Dalam personaliti alternatif ini, penyamar akan menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi untuk mempengaruhi serta meyakinkan mangsanya.

“Walaupun tidak semua penyamaran itu dikategorikan sebagai jenayah, namun kemampuan mereka untuk mengawal mangsa perlu diambil perhatian,” tegas Affizal.

Dalam sesetengah kes, kegiatan menyamar tersebut boleh menyebabkan ketagihan dan suspek memerlukan bantuan kaunseling, kata beliau.

Penyamar sering menjadikan orang kaya dan berlainan jantina sebagai sasaran.

“Ada juga yang menyasarkan kumpulan status tertentu seperti kerabat diraja, institusi atau kumpulan tertentu,” katanya lagi.

Di samping itu, Affizal menjelaskan bahawa menyamar mungkin berada antara jenayah kolar putih dan biru kerana ia bergantung kepada kecenderungan jenayah serta karakter penyamar tersebut.

Motif tertentu

Mengupas lanjut isu penyamaran, Pakar Sosiologi Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Azlan Mohd. Noor berkata, penyamar pun perlu ada ilmu dan kemahiran untuk menjadikan lakonannya berjaya.

Antara faktor penting yang perlu ada bagi menjadikan penyamaran berjaya ialah proses sosialisasi, katanya.


TRANSGENDER merupakan antara contoh klasik menyamar yang bertujuan untuk menyembunyikan kelemahan diri dan introvert. - Gambar hiasan


“Sebagai contoh, seseorang itu tidak akan berjaya menyamar sebagai polis, kerabat diraja atau pegawai agama sekiranya dia tidak mempunyai latar belakang atau pernah hidup dalam lingkungan sosial tersebut.

“Ini amat penting kerana menerusi latar belakang tersebut, penggunaan perkataan, tingkah laku atau perkataan tertentu dapat digunakan dengan baik dan sekali gus, mampu memperdayakan sesiapa sahaja,” jelas Azlan.

Berkongsi pengalaman ketika membuat kajian di sebuah pusat pemulihan akhlak, Azlan mendedahkan, antara ruangan yang paling gemar dibaca oleh pesalah juvana ialah mahkamah dan jenayah.

“Mereka belajar mengenai hukuman dan kesan jenayah. Malah pendedahan terhadap dunia luar terutama jenayah, mudah saja didapati menerusi Internet,” katanya.

Tegasnya, tidak mustahil aktiviti menyamar mampu dilakukan dengan baik walaupun pada usia muda kerana medium belajar kemahiran tersebut ada di mana-mana.

Process time in ms: 15