HIBURAN

Kris Dayanti tidak paksa cinta

Kris Dayanti tidak paksa cinta




SEJAK bercerai, kisah peribadi bintang terkenal Indonesia, Kris Dayanti tidak pernah surut dikorek media. Bercerai dengan Anang Hermansyah bagai satu dosa bagi penghibur tersebut. Kris dituduh mempunyai hubungan sulit dengan usahawan dari Timor Leste bernama Raul. Kerana mabuk cinta itulah dia mahu berpisah dengan Anang.

Kini pada saat meniti perjalanan sebagai seorang janda, Kris Dayanti yang senang disapa KD terus dihimpit kontroversi. Jauh daripada jangkaan banyak pihak, dia dituduh telah menggugurkan kandungannya hasil hubungan sulit dengan Raul yang kini bukan lagi kekasihnya.

Menafikan sekerasnya dakwaan menggugurkan anak, KD yang ditemui baru-baru ini bercakap tentang masa depan sebagai artis dan hala tuju kehidupan peribadi sebagai ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Titania Aurelie, 12, dan Azriel Akbar, 10, yang kini semakin mesra dengannya.

KOSMO!: Khabarnya sambutan album duo kamu dan Datuk Siti Nurhaliza, CTKD, kurang mendapat sambutan di Indonesia?

KD: Ya, memang album CTKD kurang mendapat sambutan di Indonesia. Senario pasaran Indonesia dan Malaysia berbeza. Di Indonesia, jika selepas album dilancarkan dan artis kurang membuat promosi atau persembahan, sambutan album memang agak perlahan. Sementelah, banyak band di Indonesia yang mengaburi artis solo. Tapi saya harus berbangga kerana album tersebut telah terjual sekitar 10,000 unit.

Mungkin pencalonan yang banyak dalam Anugerah Industri Muzik 17 (AIM17) yang berlangsung esok mampu membantu penjualan album tersebut nanti?

Ya, mudah-mudahan begitu.

Terlalu banyak kisah negatif tentang kamu kebelakangan ini. Kamu tertekan?

Kalau nak diikutkan, saya bukan artis sensasi Indonesia. Namun selepas kisah masalah rumah tangga saya terbongkar, kehidupan saya menjadi sensasi. Sebagai manusia, kita melalui turun naik kehidupan. Ya, saya akui saya alpa, namun saya banyak belajar daripada kesilapan. Saya rasa tertekan dalam situasi seperti saya dikepung oleh 100 media yang cuba membongkar kisah saya. Tapi sebenarnya dalam kehidupan harian, saya menjalani kehidupan normal dan tidak tertekan. Syukur kerana keluarga dan teman-teman rapat banyak memberi sokongan buat saya.

Bagaimana status hubungan kamu dan Raul kini?

Status saya dan Raul kini hanya sebagai teman, bukan lagi kekasih. Saya perlu hormati wilayah dia (Raul masih lagi suami orang). Tapi pada masa akan datang, saya tak tahu apa akan terjadi.

Putus cinta dengan Raul, kehidupan peribadi dibogelkan, menyesal berpisah dengan Anang?

Saya tidak pernah kesal kerana ini yang dinamakan jodoh. Mungkin saya gagal dalam cinta, tapi Tuhan memberi hadiah lain dalam kehidupan saya.

Komen kamu tentang keintiman Anang dengan pendatang baru Syahrini?

Sejujurnya saya tidak pernah bertanya pada Anang dan saya sudah tidak mengambil tahu hal peribadi dia. Tapi anak-anak ada memberitahu saya tentang hubungan mereka. Saya pesan pada anak-anak, siapa pun teman ayah atau pilihan ayah, harus menghormatinya. Yang penting kini, hubungan saya dengan anak-anak sudah semakin baik. Mereka juga sudah mula menghubungi saya.

Kamu kini sudah bersedia dengan cinta baru?

Cinta tidak boleh dipaksa dan kebahagiaan tidak boleh dicari.

Sukar menjadi janda?

Yang penting hati dan kepala harus jalan tertib.

Kontroversi-kontroversi yang melanda menggugat perjalanan kerjaya kamu?

Perkara yang jelek jangan terus diulang. Saya percaya apa yang saya lakukan punya alasan. Keluarga sentiasa menyokong saya. Walaupun banyak perkara yang mengguris hati keluarga saya, tapi mereka tetap bertahan. Kakak saya juga adalah seorang pahlawan dan kerjaya saya berjalan seperti biasa. - MALIAH SURIP & JESSABELL SOO

Stailo!»

Rentasan karier Anaabu, Nur Safira

Nur Safira dan Ana ialah bakat mentah industri fesyen yang masih digilap keistimewaannya.

Varia!»

Mengimbau kenangan lampau Malaysia

SAMSUDIN (kiri) memberi penerangan kepada tetamu pada majlis pelancaran Paint&Ink: Just Add Water di Muzium dan Galeri Seni BNM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Iklan@KOSMO!

Process time in ms: 46